Bertemu lagi... setelah 2 hari berhempas pulas menyiapkan kicap char kuew teow sepanjang minggu, saya hampir lupa yang ada blog yang harus saya update. :)
Rakan-rakan terlalu meminta saya menyediakan char kue teaw, setelah beberapa kali saya menangguhkan permintaan mereka akhirnya saya akur. Malangnya harga udang di ibu kota jauh berkali ganda mahal berbanding di tempat saya. Memang tidak berbaloi kalau saya menjualnya sepinggan dengan harga yang sama di pulau mutiara. Apapun pencarian udang membawakan saya sebuah pengembaraan yang penuh dengan 'kepokaian' hahahaha..... :)
Dalam hidup saya bersama-sama hobi ini, memiliki sebuah pesawat untuk bersama-sama rakan-rakan yang lain menikmati hobi ini adalah satu idaman. Ianya ibarat ingin berlumba motosikal bersama juara-juara cubprix tetapi tidak mempunyai motosikal. Bagaimamana itu?
Sepanjang saya berkecimpung dalam hobi ini, tidak pernah lekang rakan-rakan amatur yang membantu. Ketika mula-mula mendapat tiket, saya agak bertuah kerana saya dikelilingi oleh kalangan ham yang berpendapatan sederhana. Ada dikalangan mereka yang hanya mempunyai sebuah handie talkie sahaja. Itulah Base, itulah mobile dan itulah portable. Alhamdullillah.... walaupun disebalik kekurangan itu ada sesuatu hikmah. Mereka cuba mengaplikasikan apa sahaja bahan disekeliling mereka. Homebrew adalah alternatif terbaik!.Saya kagum...
Mereka hebat, berbakat! Saya merasa bertuah kerana bermula dikalangan mereka. Tiada istilah Silverthunder, Larsen, Diamond dan mana-mana antenna berjenama. Hanya apabila di meja bulat, ayat-ayat yang keluar dari mulut mereka hanyalah merujuk terus pada jenis antenna, bukannya jenama yang disebut. Di awal penglibatan saya dalam amatur saya masih belum mampu memiliki pesawat, tiada pekerjaan tetap. Jika ada pun gaji saya kurang dari jumlah bayaran bulanan sebuah kereta Kenari. Alhamdullillah, tempat saya bekerja ketika itu menyediakan satu pesawat handie untuk R&D, dan disitulah bermulanya permilikan pesawat handie yang pertama. Walaubagaimanapun orang yang harus saya ucapkan ribuan terima kasih ialah 9W2AU. Tanpa beliau saya mungkin tidak akan mampu memiliki sebuah handie. Juga saya ucapkan jutaan terima kasih pada 9W2KW atas bantuan beliau membuatkan saya mampu memiliki sebuah pesawat mobile dengan bayaran ansuran.
Oklah, sebelum saya terlajak.. perjalanan saya minggu lepas mengingatkan saya pada perjalanan saya merentasi negara orang demi memiliki sebuah pesawat sendiri.
Saya pernah ke Akihabara Jepun semasa zaman pelajar pertukaran AntaraBudaya. Malangnya saya ketika itu tak mengetahui apa-apa.. arghh, ruginya :) kalau dah tahu tentu ada sesuatu yang saya bawa pulang.
10 tahun berlalu... perjalanan saya kali ini ke singapura semata-mata untuk mencari sebuah tranceiver 2 meter yang sesuai.
Rakan-rakan ham di Malaysia agak sukar untuk mendapatkan peralatan radio amatur disebabkan kekangan undang-undang dan kos cukai yang agak tinggi. Tidak banyak syarikat yang membekalkan Transceiver khusus untuk warga amatur. Jika ada mungkin orang perseorangan dan syarikat kormersil. Bagi syarikat-syarikat ini sudah tentu dibebani dengan Cukai import dan banyak lagi. Saya pernah bertanyakan pada satu syarikat di Klang tentang pesawat model Icom 706. Harga yang ditawarkan sungguh menjolok mata!! RM25k!!
Hummm..... alternatif rakan-rakan di utara ialah negara tetangga Thailand. Walaubagaimanapun mungkin sedikit kekurangan yang terpaksa dihadapi. Rakan-rakan amatur di negara ini terikat dengan undang-undang komunikasi tempatan dimana pesawat-pesawat yang dijual di sana dihadkan kuasa. Misalnya Icom IC2100 yang sepatutnya berkuasa 50Watt. Tetapi untuk spesifikasi Thailand, semua pesawatnya yang dijual dihadkan (diset dikilang) 35watt sahaja. Begitu juga freq bagi sesetengah pesawat amatur disana dikunci hanya berkendali antara 144-147Mhz sahaja. Berbanding warga amatur di Malaysia yang diperbolehkan berkendali 144-148Mhz. banyak rangkaiaan pengulang (repeater) di sini berkendali di 147-148Mhz. Disinilah masalah yang timbul.
Jika Thailand demikian, masih ada alternatif iaitu Kota Singa. Harga yang ditawarkan di Singapura jauh lebih murah berbanding di Jepun dan UK. Mungkin kerana mereka ini adalah pengedar eksklusif rantau Asia. Walaubagaimanapun terdapat satu lagi halangan iaitu prosedur Import . Ia bukanlah terlalu sukar untuk diimport asalkan anda mengikuti prosedurnya.
Di Singapura terdapat beberapa kedai yang khusus menjual peralatan komunikasi ini. Antara nya Blazer , Suneast, Tecomart di Sim Lim Tower Jl. Besar dan Di Sim Lim Square pun ada.
Sim Lim Tower- Jl. Besar
Blazer- Kedai yang paling popular dikalangan Ham. Menjual semua model radio dan pelbagai jenis aksesori radio amatur. Juga GPS dan peralatan navigasi.
Suneast- Kedai yang boleh tahan harganya, Tak kenakan Tax GST (tapi sebenarnya dah absorb GST dalam harga). Hanya jual model Icom dan Motorola sahaja.
Tecomart-Kedai yang menawarkan pembelian secara online
Eh, bukan di Jepun.. masih di Kota Singa
Radio idamanku hehehe...
Walaubagaimanapun, saya dimaklumkan oleh rakan-rakan amatur yang telah ke sana tempohari yang cukai GST 5% akan dinaikkan ke 7% bermula 1 Februari 2007. Ianya satu tamparan buat saya. Mmmmm... terpaksa semak semula tabungan saya hehehe...
Perjalanan saya tidak terhenti di Kota Singa. Kota Jakarta pula saya harungi. Pemergian saya ke Jakarta atas kerana ingin mencari GasFet untuk projek 1.5KW HF Linear Amplifier. Menurut rakan-rakan amatur yang senior, terdapat satu kawasan yang agak popular dikalangan warga ham negara YBland iaitu Bazar Elektronika di kawasan Pasar Golodok Jakarta Lama. Ianya terletak tidak jauh dari Tanjung Periuk, perlabuhan utama jakarta.
Tibanya saya di sana sesuatu yang memeranjatkan saya terjadi. Dari variable kapasitor hinggalah kepada komponen-komponen motorola terjual secara berleluasa di sana. Wow!!!!... Bagi saya, Glodok menawarkan aksesori radio amatur yang pelbagai. Transceiver dan receiver mungkin singapura lebih murah tetapi aksesori antenna, bekalan kuasa dan ATU jauh lebih murah di Glodok. Teleskopik antena 2m di singapura berharga hampir RM55 tetapi di Glodok hanya RM12!! Malangnya saya tidak bertemu dengan barang yang dicari.
Pasar Glodok-Gerbang masuk
Deretan kedai di Glodok-Perhatikan konsep jualan antara jurujual dan pembeli. Terdapat kerusi disediakan pada pembeli. Pembeli diberikan ruang dan masa untuk memilih produk. Ianya berbeza dengan singapura. Khidmat nasihat yang memuaskan. Setiap kedai ada menjual khusus pada sesuatu jenama dan terdapat kedai yang menjual peralatan amatur second hand. Tetapi ingat, kad kredit tidak diterima :)
Kerusi yang selesa untuk pembeli- Kedai Gunung Mas Toko Amatir
Demikian sedikit sebanyak berkaitan perjalanan saya semata-mata kerana hobi. Siapa bilang hobi ini memerapkan seseorang di dalam shack? :)
Jika ada rakan-rakan yang ingin ke jakarta, KLM menawar tambang yang menarik. Mungkin ini lah masa terbaik anda bercuti sambil membeli belah peralatan amatur anda.
Dan kepulangan saya ke Malaysia dihidangkan dengan hidangan istimewa oleh KLM di dalam kabin Bussiness Class!
P/S: 9M2CNC juga ada mencoretkan pengalaman membeli belah di Singapura dan Akihabara , Menarik juga info dari laman beliau.