Anda adalah tetamu ke blog ini.

Ahad, 25 November 2007

Khidmat panduan berkendali mod digital

Assalmualaikum dan salam sejahtera.

Adalah dimaklumkan pada 2 Disember 2007 pada Acara Pasar Lambak di Kelab Mares nanti akan diadakan satu sesi khidmat bantuan teknikal Mod digital radio amatur. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, masalah atau ingin belajar mengenai mode digital RTTY, SSTV, PSK, Amtor, Pactor, Echolink, radio packet, APRS dan banyak lagi bolehlah hadir ke tapak jualan buku radio amatur nanti.

Juga dimaklumkan bagi pihak rakan saya ini juga, beliau akan menjual CI-V ICOM/YAESU/Kenwood. Bagi yang berminat boleh juga bertanyakan terus pada rakan saya nanti di tapak jualan buku radio amatur.

Gambar diciplak dari S56AL (Ilustrasi adalah sekadar menggambarkan)

CI-V ini merupakan perkakasan penting bagi rakan-rakan yang ingin mengawal radio anda (yang menyokong fungsi CI-V) melalui PC. Ia juga membantu rakan-rakan memprogram, mengubah seting dan sebagainya radio anda dengan mudah.

Jumpa di pasar lambak pada 2 Disember nanti!!

Rabu, 14 November 2007

Mari memuat turun fail belajar CW 9M2GL

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Minggu ini saya masih lagi sibuk dengan beberapa aktiviti rasmi. Dan akan saya kemaskini beberapa posting menarik minggu depan Insyallah.

Minggu lepas saya sempat menghadiri perjumpaan bekas rakan sekelas semasa di Politeknik Shah Alam (kini Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah). Oh ya, saya hampir terlupa yang saya pernah belajar di sana hehe...

Mungkin kerana saya kurang rapat dengan mereka ataupun mungkin kerana faktor hampir semua pelajar lelaki (di dalam kelas saya) setelah tamat pengajian telah pergi belayar mengelilingi dunia mungkin... Ada yang dengan MISC dan ada juga dengan MERSK dan sebagainya (paling dekat pun Inai kiara hehee). Kerana jarang bertemu dengan mereka menyebabkan saya terlupa perkara ini. Tinggal beberapa orang sahaja rakan yang tidak pergi belayar seperti saya dan Rahmat, memilih bidang berkaitan dengan keselamatan. Manakala Hafez pula menyertai syarikat minyak dan gas. Mungkin ada lagi tapi yang lain-lain saya tidak dapat mengingati.


Gambar yang sempat saya ambil semasa malam angkasawan pertama negara berkomunikasi dari ISS. Saudara Mutalib tersenyum riang disamping antenna UHF-Microwave buatan tangan En. Rahim. Alhamdullillah, pada malam itu saya mendapat pelajaran baru teori memancarkan isyarat menggunakan freq amatur dengan konsep reflect atau pantulan. Ianya jauh lebih bagus dari yagi.

Aktiviti saya beberapa kebelakangan ini setiap kali pulang bercuti di kampung, mencari tanah.. hehehe..


Dan Interface terbaru homebrew buatan saya akan menggunakan transformer baru yang lebih efektif dan efisien.

Bagi rakan yang ingin belajar CW, boleh memuat turun fail pengajaran CW sebanyak 3 lesson. Pengajaran ini disampaikan oleh Allahyarham Hj. Idris 9M2GL. Mudah-mudahan ilmu yang disampaikan oleh Allahyarham dapat dimanfaatkan oleh rakan-rakan radio amatur. (harap sabar dan ikut langkah-langkah bagaimana memuat turun fail dari laman di bawah)
1) Muat Turun Lesson 1 Pelajaran CW 9M2GL CD1
2) Muat Turun Lesson 2 Pelajaran CW 9M2GL CD2
3) Muat Turun Lesson 3 Pelajaran CE 9M2GL CD2
Walaubagaimanapun lampiran kertas bercetak setiap huruf yang dihantar di dalam rakaman ini tidak dapat saya sertakan kerana tiada pengimbas. Jika ada rakan yang berhajat bolehlah datang bertemu dengan saya semasa flea market di Kelab Mares pada 2 Disember 2007 nanti.
Oh ya, disamping itu nanti semasa Flea market saya akan menjual beberapa barangan menarik. Antaranya
1) Buku Wire & Wave (Practical Wireless Publication) - Mengandungi teori dan projek-projek radio amatur (RM28)
2) Buku Out Of Thin Air (Practical Wireless Publication) - Buku yang mesti dimiliki mengandungi projek-projek antenna, atu dan sebagainya (RM24)
3) CD ARRL - Mengandungi buku-buku rujukan sebagai seorang radio amatur dalam bentuk softcopy mudah akses seperti Video high resolusi Amateur Today, ARRL Handbook (800mks lebih!!), operating procedure, antenna setup dan rujukan mutakhir. (RM10)
4) CD RSGB - Mengandungi beberapa buku berbentuk softcopy penerbitan wajib miliki seperti
a) Buku Propagation - Amtor, Pactor, Satellite, Dxing, Reference Technical (350mks),
b) How to interface radio,
c) RSGB handbook!! 900mks - Pic 'n' mix digital audio, Building own transceiver, Data Comm, Propagation etc.
d) Buku SWR and Dipole
e) Buku Ham Radio For Dummies (350mks)
f) The Radio Handbook (versi tahun 60an)
dan yang dicari ramai kaki buat antenna... g) Antenna Handbook 4th edition (810mks) - Dipole, yagi, vertical, quad, parabolic etc!!. Semua buku ini dalam 1 cd hanya RM10!!
4) CD Digital Amateur Radio - Mengandungi lebih 150 perisian wajib ada untuk aktiviti digital, software memprogram radio anda seperti kenwood, Yaesu, etc, Litar skematik radio anda, kalkulator antenna dan komponen radio serta banyak lagi. 80% kandungan ini tiada dalam internet!! hanya RM10
5) CD Perisian SatcoDX untuk kaki satelit - database satellit, pengiraan azimuth, pemprogram dec serta peta liputan satelit Hanya RM10
6) CD Electronic Amateur radio Profesional - Rujukan, pengiraan antenna, software dan sebagainya hanya RM10.
7) CD belajar CW secara audio -Boleh dengar di dalam kereta atau tempat kerja atau semasa lapang 2 keping CD (RM12)
8) SSTV, RTTY, PSK etc Radio Interface. Malas buat? nak sambung antara radio anda dan PC dirumah? Nak berkendali di Mode Digital? Main hantar gambar gunakan walkie talkie anda? Interface hanya RM55. Untuk tempahan atau pembelian online boleh menghubungi saya di alamat emel di sebelah.
Berminat? temui saya semasa flea market di Mares nanti untuk khidmat maklumat. Terima kasih!! :)
73!!

Selasa, 30 Oktober 2007

Ia melewati dunia... sayang bukan pembuatnya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bertemu lagi kita kali ini. Setelah sekian lama bercuti saya masih lagi sukar menala kembali jiwa saya. Jauh sekali memikirkan hal pejabat pada hal cuti raya yang lepas hanya seminggu. :)... Diri ini masih lagi ada di tengah bendang menghijau di kampung.

Malam ini minda saya masih berkisar tentang peristiwa siang hari tadi, perantara muka kad bunyi (sound card interface) (atau saya bahasakan Radioman sempena jenamanya) yang telah saya bina dan jual secara kecilan tahun lepas telah dikembalikan pada saya. Ianya dihantar secara pos oleh pembelinya 2 minggu lepas atas permintaan memperbaiki kabelnya yang terputus. Bukan dekat... dari Switzerland. Mmm... menguntungkan ya! Saya teringat ketika saya aktif mencuba menambah pendapatan melalui membangunkan perkakasan tambahan radio amatur, ia adalah amat-amat menyeronokkan. Dengan pekerjaan saya yang tidak seberapa, ia mampu membantu mengubah hidup saya dari kais pagi makan pagi kepada yang lebih baik.

Ya, ada juga rakan-rakan yang perli saya dengan mengatakan yang saya mengambil kesempatan terhadap mereka yang tidak tahu tentang dunia radio ini (atau tidak mempunyai minat homebrew). Adakah mereka (pembeli) mahu membuatnya sendiri? Sekurang-kurangnya saya juga membantu mereka dalam menceburi perkara-perkara lain dalam hobi ini, merasai mod yang lain selain suara.

Begitu juga ketika saya menjual buku-buku projek radio amatur yang diduakan dipasaran terbuka. Saya telah ditempelak oleh rakan-rakan taulan kerana mengambil kesempatan meminjamkan buku itu dan kemudiannya disalin dan dijual secara terbuka. Saya awal-awal lagi memohon ribuan kemaafan atas tindakan saya. Tapi saya tetap dengan pegangan saya yang pertama saya harus mencari sesuap nasi, dan keduanya ialah manfaat buat semua warga radio amatur. Keliru? ayuh saya terangkan kenapa...

Pernahkan tuan-tuan dapat memperolehi buku-buku projek radio amatur dari pengamal radio amatur terdahulu? Atau pernah mendengar kewujudan buku-buku hebat seperti 'Practical Antenna Handbook'? 'ARRL Handbook'? koleksi cetakkan projek litar elektronik atau antenna 'Practical Wireless'? Kebanyakkan rakan-rakan radio kita dahulu kala amat menikmati hobi ini kerapa mereka mempunyai sumber bercetak seperti majalah-majalah radio amatur, koleksi projek antenna, projek-projek sampingan dan sebagainya. Sumber-sumber ini diperturunkan secara menyalin dari seorang ke seorang. Dikala lapang mereka akan membelek bahan ini dan dari situ timbullah idea melakukan projek-projek radio amatur. Bohonglah kalau ada rakan-rakan mengatakan Internet kan ada. Anda hanya mengakses Internet bila ada minat. Tetapi buku sebaliknya, ia mencetus minat. Saya gemar menyatakan dalam aspek radio amatur, Internet masih lagi adalah sumber sekunder pencetus minat homebrew.

Persoalann kedua bagaimana para pembaca boleh mendapatkan bahan-bahan bercetak ini? pada siapa? Oh ya, saya amat memahami (begitu juga diri saya sendiri) yang ada juga rakan-rakan lama yang sukar meminjamkan bahan-bahan ini. Jangan sesekali menyalahkan mereka kerana saya juga mengalami pengalaman seperti mereka. Ada bahan-bahan yang dipinjamkan tidak dikembalikan, ada juga yang hilang muka suratnya dan banyak lagi. Jadi sekurang-kurangnya tindakan saya adalah satu sumbangan sekurang-kurangnya bahan itu masih boleh didapati. Dan kesinambungan ilmu itu ada Insyallah.

Ok, tutup cerita.

Berbalik pada Radioman saya. Kos membinanya adalah tidak sampai RM10 tetapi agak berbaloi menjualnya di Internet kerana permintaan yang agak tinggi terutama dari Eropah yang menggunakan matawang wang lebih besar.

Terdapat juga interface yang lebih baik buatan tangannya seperti HARKENSEN (Hasil Kerja Sendiri) buatan warga amatur Indonesia


Perhatikan Interface buatan tangan dibawah... jauh lebih baik dari buatan saya.



Demikian... saya tidak boleh lama di sini, masa untuk makan ubat. Insyallah jika ada sempatan nanti saya akan menulis lagi. Jadi pesanan saya buat rakan-rakan lama yang mempunyai koleksi buku-buku projek radio amatur agar jangan lokek. Sebarkan ilmu itu walaumacam manapun agar kesinambungan ilmu itu berterusan. Pahala lagi. Buat apa simpan lagi kalau ia sudah berhabuk, dimamah anai-anai atau sudah tiada manfaat bagi pemiliknya.

Saya masih lagi membelek Interface ini, jika tidak silap saya hampir 400 unit sudah terjual di ebay. Kebanyakannya sudah melewati ke pelusuk dunia terjual.... sayangnya bukan pembuatnya, yang masih termimpi untuk ke sana...


73!! All the Best

p/s: Saya tumpang terkejut atas kemalangan ngeri yang menimpa Pak Yon 9w2YR.. mudah-mudahan beliau cepat sembuh..

Selasa, 9 Oktober 2007

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada semua pembaca yang budiman.

Saya tertidur beberapa kali tadi ketika menunggu kuih samprit di dalam oven (ketuhar) di dapur garing. Alhamdullillah Arwah nenek telah meninggalkan oven ini sepeninggalannya. Jenama Butterfly, berwarna hitam dan hampir 26 tahun berkhidmat di dalam keluarga ini amat bermakna.

Apabila saya menjejak kaki ke Ibu Kota sebagai perantau, dapur ini turut mengikuti saya. Dan setiap kali tiba ramadhan ia kembali berfungsi. Malangnya tombol jangkamasa (timer) sudah patah dan saya terpaksa menggunakan jam biasa sebagai petunjuk. Tinggal 3 atau 4 kali dulang kuih semprit untuk dimasak. Kuih-kuih ini akan saya bawa pulang ke kampung nanti untuk hari lebaran.

Sambil menunggu oven ini selesai memasak saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Meyambut Hari raya Aidilfitri, Minal Aidil Wal Faizil buat para pembaca setia laman ini. Segala salah dan silap sepanjang penulisan saya datangnya dari saya sendiri dan segala kebaikan itu dari Allah s.w.t.

Bagi warga radio amatur yang akan pulang ke kampung halaman berhati-hati di jalan raya.

Dan akhir sekali marilah kita sama-sama saling maaf memaafi, saling bertegur-teguran dan berharmoni dalam menikmati hobi ini di bulan yang baik dan hari yang baik ini. Segala yang lepas lepaskanlah. Buang yang keruh dan ambil yang jernih... Insyallah hidup kita pasti lebih bermakna.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Batin

Jumaat, 28 September 2007

Tentukan hala tuju anda

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdullillah hari ini dapat lagi kita bertemu dalam lembaran yang agak terhad.

Saya masih lagi menunggu putaran akhir mesin basuh usang di dapur itu berakhir. Sambil itu saya melewati beberapa laman bercorak perbincangan umum berkaitan hobi ini. Apa yang membuatkan saya amat tertarik ialah keluhan seorang rakan radio amatur di negara tetangga yang melahirkan rasa bosan tentang hobi ini. Ya, saya seharusnya tidak menyalahkan beliau atas kebosanan tersebut. Tetapi apa yang diutarakan oleh rakan ini ada logiknya dan hampir menyamai sentimen yang berlaku di Malaysia mutakhir ini.

Saya percaya ramai rakan radio amatur yang membaca tulisan saya ini bukanlah dari teras (core) hobinya radio amatur. Mungkin kerana beberapa aktiviti atau hobi lain yang menemukan bidang radio amatur. Begitu juga ada yang kerana ajakan rakan-rakan lain atau menemani rakan semata-mata hinggakan terjebak dengan hobi ini. Perihal ini bagi saya yang akan menyebabkan mereka ini tidak lama dalam hobi ini.

Ini boleh dilihat dari statistik komunikasi pengamal radio amatur yang akan rancak apabila hari-hari pertama mendapat tiket. Graf ini akan semakin menurun hari ke hari hinggalah rakan ini tidak lagi kedengaran diudara. Ya, itu tidak mengapa tetapi lebih sadis ialah hinggakan terlupa kewujudan lesen sendiri dan akhirnya membawa kepada penamatan peruntukkan lesen tersebut. Itu yang malangnya.

Punca-punca 'kehilangan' mereka ini terlalu banyak. Dari perkara-perkara yang umum kepada yang peribadi. Dari yang melibatkan suasana sekitar hinggalah kepada soal yang remeh temeh.

Itu sebabnya ada rakan-rakan baru yang datang menyerahkan borang RAE untuk diajukan pada MCMC saya sering tanyakan apakah ianya datang dari minat atau semata-mata kerana ajakan kawan-kawan untuk menyertai alam radio amatur. Saya ingatkan yang mereka harus menetapkan apa hala tuju mereka apabila menyertai hobi ini. Hati mesti kental, hati mesti kering, sikap merendah diri harus dijunjung dan keterbukaan dalam pergaulan. Itukan konsep keperibadian dalam radio amatur kan? Jika dari awal kita tidak menetapkan dalam diri maka saya pasti hobi ini tidak akan kekal lama.

Dalam radio amatur, komunikasi bukanlah satu-satu caranya untuk menikmati hobi ini. Terdapat pelbagai cara kita boleh menikmatinya. Ada dikalangan pengamal radio amatur menikmati hobi ini melalui eksperimentasi dengan frequensi, elektronik ataupun alam. Mereka mencari masalah-masalah dalam hukum alam atau kejuruteraan dan menjana penyelesaiaan. Ada juga dikalangan rakan radio amatur yang bermasyarakat melalui hobi ini. Melakukan aktiviti-aktiviti masyarakat melalui pergaulan, kerja sukarela, khidmat bantuan dan sebagainya. Mereka ini jauh lebih matang dan berjaya mengikat hubungan baik sesama komuniti.

Begitu juga ada rakan yang menjadikan hobi ini sebagai platform melatih diri agar berketrampilan dan memahirkan diri dalam komunikasi secara aktif serta pasif. Mereka ini akhirnya mampu menjadi penyampai yang baik. Pembelajaran tidak berakhir begitu saja, warga amatur yang meminati komunikasi pelbagai bahasa juga boleh mengasah kemahiran berbahasa secara langsung. Pengetahuan tidak berakhir begitu saja. Anda juga dapat sentiasa didedahkan dengan pelbagai pengetahuan melalui interaksi radio amatur.

Bagi komuniti radio amatur yang berkongsi hobi ini dengan hobi yang lain mampu melancarkan hobi tersebut. 4x4, kaki mengembara ataupun kaki memancing mampu mempertingkatkan kepuasan berhobi masing-masing dengan adanya radio amatur. Ah.. terlalu banyak yang boleh kita bariskan di sini. Perkara yang penting ialah niat di hati tuan-tuan semasa mula tuan mejejakkan kaki dalam hobi ini. Dan apakah hala tuju tuan-tuan selepas itu.


Apabila para pembaca telah melepasi tahap-tahap awal dalam dunia radio amatur. Ianya tidak berakhir begitu saja. Proses pembelajaran masih lagi berjalan. Sebenarnya radio amatur adalah sebuah pengembaraan. Ia tidak berakhir selepas anda mendapat tiket A atau B. Ketika ini keterbukaan amat penting. Saya melihat seakan ada satu perkara yang kurang positif dikalangan pengamal radio amatur di Malaysia yang sukar untuk saling berkongsi pengalaman atau pengetahuan. Malahan sikap keterbukaan dalam menerima teguran atau pandangan juga semakin luntur selaras dengan usia individu terbabit dalam arena ini.

Satu lagi yang saya terperasan ialah sikap rakan-rakan yang baru mendapat tiket. Mereka memang dahagakan pengetahuan perihal dunia radio amatur. Malangnya terdapat satu sikap yang harus diubah iaitu 'disuap'. Saya amat-amat tidak menyenangi perangai ini. Misalnya ada rakan yang meminta rakan saya maklumat tentang antena slim jim. Bukankah perkara itu banyak terpampang dalam Internet? tetapi perihal itu pun diminta diberi bulat-bulat.. Oh!!

Generasi pemegang lesen radio sebelum saya jauh lebih berdikari. Dulu tiada internet. Jika adapun majalah yang difotokopi dari individu ke individu hinggakan salinan pada orang terakhir amat sukar dibaca. Tetapi mereka kejarkan juga. Mereka jauh lebih baik dari kita. Mereka bangunkan pesawat pemancar sendiri di zaman yang mana perpustakaan pun beratus kilometer dari mereka, apa lagi internet. Bagi saya biarlah kita usahakan dulu mencari maklumat itu kemudian barulah jika tiada kita turuti pada mereka yang disyaki mempunyai maklumat terbabit.


Demikian pendapat saya. Saya percaya jika anda ingin menjadi pengamal radio amatur yang juga menikmati hobi ini dengan baik, semua perkara ini hendaklah diambil kira. Insyallah, perjalanan anda menyusuri hobi ini akan lebis istimewa, terhibur dan penuh manfaat.


Keterbukaan, rajin berusaha mencari pengetahuan, berdikari dan berkomuniti dengan semua lapisan masyarakat tidak kira dari kem yang mana mampu membina mutu hobi anda. Buanglah semua sifat tidak elok. Insyallah anda pasti dihormati.
Nampaknya mesin basuh di dapur saya sudah berhenti berputar. nasihat dari saya mulai dari sekarang tentukanlah hala tuju anda dalam hobi ini. Jika tidak, anda akan menjadi seperti sesetengah rakan-rakan radio amatur yang lain yang kini terus senyap hilang ditelan masa.. kerana apa? kerana hilang hala tuju dalam hobi ini..... 73

Rabu, 26 September 2007

Mereka berada di kelas tersendiri..

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada para pembaca yang budiman.

Selamat bertemu kembali. Kali ini dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini saya menyusun jari memohon maaf sekiranya ada salah dan silap sepanjang penulisan saya dalam blog ini.

Semalam saya dikejutkan dengan berita yang amat saya banggakan. Seramai 16 calon menduduki ujian CW dan Alhamdullillah 6 orang calon sahaja yang lulus di Ibu pejabat MCMC. Manakala di Kota Kinabalu pula 11 orang lulus berbanding 14 yang menduduki. Butiran mengenai ujian ini boleh dibaca di laman http://9m2mgl.blogspot.com/2007/09/berita-terkini-dan-sensasi-sekalung.html . Pembetulan fakta dari laman beliau ialah 9W2KA saudara Arifin mengambil TIGA kali peperiksaan CW sebelum lulus dengan bergaya.

Mmmm... membanggakan bukan? hahaha... :)

Statistik calon dari negeri 9M6 lebih baik merungkai banyak persoalan saya. Saya percaya latihan yang sistematik belajar berkumpulan dan latih tubi) dikalangan calon disana serta persediaan awal adalah faktor kecemerlangan rakan-rakan dari Sabah. Mereka telah memalukan calon dari Semenanjung yang selalu mendabik dada 'telah dan telah besedia'. Oh... bagaimana harus ini berlaku? Bukankah kita telah melalui banyak ujian CW yang telah diadakan? Bukankah bilangan pengamal radio amatur di 9M2 jauh lebih banyak dari sana? Bukankah kita jauh berada dari mereka yang serba kekurangan? Kita harus merubah semua itu.

Saya percaya masih ada ramai rakan radio amatur di Malaysia yang berpegang pada pendapat suatu hari nanti jalur HF akan dibuka luas untuk pemegang bagi lesen B. Ini mungkin membuatkan ramai yang tertunggu-tunggu. Tetapi rakan di 9M6 tidak. Ahhh... biarkan ketentuan itu ditetapkan oleh pemerintah. Kenapa kita tidak mahu mencuba? Kenapa? tepuk dada tanyalah selera.

Jangan biarkan diri kita dibelenggu dengan kemalasan, mengikut telunjuk mereka yang mempunyai kepentingan peribadi. Mereka walaupun mempromosi agar terus memprotes CW bagi saya tidak patut mengheret rakan-rakan lain yang tidak tahu apa-apa agar bersama-sama bersependapat. Ya, itu tidak menjadi masalah tetapi ia ibarat menarik sama-sama terjun di dalam liang kubur. Tahukah anda, mereka ini juga saya dengar kerana gian mahu berkomunikasi di jalur yang diperuntukkan kepada kelas tertinggi sanggup mempergunakan callsign ayah atau kawan-kawannya. Mahu terjun ke liang lahad tapi ditarik kawannya dahulu. Tak ka kesian? Kesian labu.... Tipah tertipu.

Bagi saya pengamal radio amatur tidak akan rugi (langsung) untuk mempelajari CW. Mungkin atas dasar sekadar mahu mendapat hak istimewa dijalur HF (tidak untuk penggunaan CW nanti)... atau mengejar peluang mempertingkatkan diri ke kelas tertinggi dalam hobi ini... semua ini amat berguna. Jangan menjadi pepatah melayu, memasak batu dalam periuk akhirnya tak masak-masak, anak pula kelaparan.

Ayuh kawan-kawan... dikala rakan-rakan dikelas tertinggi sibuk mengejar ilmu melalui eksperimen, mengembangkan bilangan sahabat diseluruh dunia melalui ikatan radio dan berinteraksi diluar sana dengan masyarakat yang global, kamu masih lagi terlingkup dalam kepompong tempatan. Cubalah, ia tidak sesusah mana. Berpeganglah pada kata-kata saya, jika kamu berjaya dalam peperiksaan CW nanti... suatu perasaan yang tak terkata akan kamu rasa.. sangat-sangat gembira..!

Apapun kita kembali pada topik asal saya. Tentang 9W2KA. Saya amat sayu apabila mendapat berita yang beliau gagal dalam peperiksaan CW yang pertama. Beliau merajuk... satu tempoh yang agak lama jika tidak silap saya beliau menghilangkan diri. Hampir 1 tahun setengah barulah beliau menduduki semula peperiksaan ini, itupun berkat bantuan rakan-rakan memujuk beliau. Kali kedua masih tidak berjaya. Semalam, beliau datang lagi. Dengan persediaan rapi beliau berjaya. Semangat ini yang amat kita mahu dengar. Pertama beliau tidak putus asa. Kedua beliau berani membuat keputusan dan ketiga beliau belajar dari kesilapan. Jika anda. anda berada lebih baik dari beliau atau di bawah beliau? Hahaha.... maka tunjuklah pada peperiksaan nanti. :)




Ehsan Laman web Mares
Juga tidak dilupakan bagi rakan-rakan yang belum berjaya, jangan cepat putus asa. Pembelajaran CW ialah satu pengembaraan. Ia tidak berakhir setakat apabila anda gagal.. ia jauh lebih itu. Percayalah kami juga masih mempelajarinya walaupun telahpun berjaya. rempah ratus pengembaraan ialah halangan dan pencapaian. Kalau tiada rempah ratus ini maka tiadalah kesseronokkan dalam pengembaraan. Ingat! Gagal bersedia ialah bersedia untuk gagal. Dan ingat juga! Gagal hanya takrifan untuk mereka yang tersungkur tetapi tidak berusaha untuk bangun!



9W2HNY jangan putus asa.. perjalanan masih jauh lagi. Jangan lupa ajak 9W2FZ yang merajuk. 9W2SIX pun ambil kali kedua dan kali ini beliau jauh lebih bersedia. Ambil sekali lagi.. kalau dengan persediaan yang mantap insyaallah pasti berjaya. Saudara Rani pun begitu. Ujian seterusnya pastikan sudah bersiap sedia. Datang awal sehari atau semalam di Kuala Lumpur. Tenangkan diri. Sehan 9W2EG, saudara Zakran telah berjaya... Insyallah percubaan keduan nanti pasti lebih baik.

Juga pada beberapa rakan ham yang lain jangan putus asa.. cuba, ujian ini tak lah susah sangat. Pastikan anda bersedia seawal yang mungkin untuk CW seterusnya.


Sampai bilakah anda akan terus ketinggalan?
Untuk Panglima, adakah ujian seterusnya anda akan lebih bersedia? Menjadi Panglima? hahaha.... :)

Saya agak kurang pasti berapakah bilangan anak murid Allahyarham Haji Idris yang masih tinggal (belum lulus CW). Saya hanya mengecam 2 orang lagi iaitu Panglima dan rakan Ham 2 Alphabet Callsign yang tinggal di Kuala Lumpur. Rakan ini dahulunya sewaktu zaman Telekom telah lulus menduduki CW tetapi tidak mendaftarkan untuk mendapatkan callsign. Selepas perubahan ke zaman MCMC maka beliau dikenakan untuk menduduki semula CW. Bagi mana-mana bekas anak murid Allahyarham, diharap dapat menghabiskan perjuangan anda.

Oklah. Itu saja nukilan saya. Sambil saya melihat lampiran emel saya terselit beberapa keping gambar bekas guru-guru CW saya. Dua orang yang sudah tidak aktif lagi dan seorang yang sudah meninggalkan kita selama-lamanya. 9M2MP (Pak Manan), 9M2GL (Allahyarham Haji Idris) dan 9M2MAN (saya masih ingat anda menghantar ayat "hentam kromo sajalah" kerana terlalu marah dengan saya yang tak faham-faham CW :) ). Gambar pak Manan tiada dalam simpanan saya.



Demikian nukilan saya.... Pada Pn. Hajar, tahniah atas gelaran tersebut.




Hingga kita jumpa lagi, mohon maaf atas kata-kata saya di atas. jangan kecil hati dan khabarnya tahun depan masih ada lagi ujian CW (khabar anginnya bulan April). Ayuhlah.. sertai mereka di kelas teratas, kelas tersendiri. kami merindui kamu semua di sini (HF). :)

Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak!!

Khamis, 13 September 2007

Projek Amatur Kembali Lagi!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Apa khabar semua para pengunjung tetap laman saya.


Minggu ini idea saya masih lagi berlegar-legar dengan aktiviti membangunkan TNC (Terminal Node Controller) sendiri. Pembuatan TNC tidaklah sukar tetapi masa yang banyak diperlukan... begitu juga Long wire di luar bilik sana pun masih belum diuji stelah sekian lama terpasang...


Mmm... banyak lagi projek yang masih berjalan yang saya terpaksa ketepikan... antaranya


1) KISS TNC.. (kalau ada kawan yang pinjam flash PIC aku yang terbaca ni harap dapat pulangkan hehehe..)
2) Cube Satellite (Projek biayaan rakan dari Uitm hampir 60%, kesian kawan-kawan ni... angkasawan Malaysia dah nak pergi atas tapi projek mereka tak siap-siap lagi hahaha.. :) )
3) Cubical LW (kalau bawak balik tentu mak aku buat penyidai pakaian)
4) 2.4Ghz PCB Antenna terhalus (Belum tempah makmal Mikrowave lagi, 100% guna Microskop Mickron... sehalus rambut)
5) CIV Yaesu (terbengkalai lama, sorry dexter.. saya dah lupa ini projek)


Jadual hingga Disember dah pun penuh. Dari Bangkok hinggalah perancangan ke Gunung Bromo.. mmmm. :). Oktober cuti 11 Hari, November cuti 8 Hari dan Disember cuti 1 bulan.. Terima kasih pada 9M2BL atas nasihat beliau. Katanya, selagi ada ayah dan bonda pulanglah untuk menatap wajah mereka... kerana suatu hari nanti kita pasti merindui mereka. Minggu ini penuh, dengan Tattoo di stadium merdeka, sambutan kemerdekaan di Kuala Lumpur dan yang paling mengecewakan saya ialah tidak dapat ikut serta rakan-rakan 'Malas' Dxing di Gunung Ulu Kali.


Oklah, tinggalkan cerita-cerita di atas. Bagi peminat-peminat homebrew boleh emailkan pada saya hasil rekaan TNC masing-masing dan ulasannya. Saya menggunakan litar TNC KISS yang terdapat dalam laman ARRL ini dan sumber untuk memprogram PIC di link ini .



Rupa KISS TNC murah ehsan dari laman ARRL





Mmm... siapa sangka ya disebalik konsep Sound Card yang agak popular sekarang TNC masih lagi yang terbaik. Melibatkan beberapa protokol AX.25 serta TCP/IP masakini, ia masih belum dijelajahi. Begitu juga ada rakan-rakan yang berminat dengan APRS, cuba-cubalah bangunkan ia.....
Masa untuk bersahur.. 9W2YR sudah kedengaran di 2m mengalunkan acara net Sahur, kembali mengingatkan saya kenangan bersahur saban tahun di negeri orang, suka dan duka hanya radio yang menjadi teman....
Selamat menunaikan ibadah puasa bagi pengamal radio amatur berlesen di malaysia yang beragama Islam dan salam sejahtera buat rakal-rakan lain. Hingga jumpa lagi!!...
P/S: iklan CW dan RAE dah keluar bagi sesi terakhir 2007.
P/S: posting kali ni berterabur... tengah sahur dengan mee maggie dan air suam.. alahai..

Selasa, 28 Ogos 2007

Dunia ini kecil..

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Minggu ini saya kembali sibuk dengan urusan separa rasmi. Setelah penat seharian menghantar surat saman di Ibu kota saya terduduk lama di hadapan komputer... mujurlah ada GPS, pencarian alamat-alamat dicelah-celah lorong ibu kota dengan motosikal banyak membantu.

Dalam terduduk ini baru saya terperasan yang ruang atas meja saya ini semakin sempit. Meja ini harus lebih lebar mampu mengisi perkakasan-perkakasan yang makin memenuhi bilik ini.



Ketika ini baru saya terasa dunia ini semakin kecil....... sangat kecil... Haji Syukur 9M2SY pernah berkata, "dulu nak tengok ham radio tak ramai, la ni baling batu saja mesti kena sorang".

Pada En. Zaiful, mohon maaf atas kelewatan membalas sms.... pada Sya, maaf kerana tidak dapat membantu tesis anda..... saya tersangat sibuk..
dan kini saya memerlukan sebuah meja untuk menampung ruang yang semakin sempit...


"Selamat Menyambut Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia ke 50"




Isnin, 13 Ogos 2007

Itu tanda noktah...

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Blog ini selepas ini akan semakin kurang saya kemaskinikan atas faktor yang tidak dapat dielakkan. Kesihatan, kewangan, sensitiviti masyarakat, masa dan banyak lagi perkara saya ambil kira. Harap maaf pada rakan-rakan yang menghantar emel kepada saya walaupun tidak berbalas.

Untuk makluman saya sudah menaiktarafkan pesawat pemancar saya dari yaesu FT 817 ke Kenwood TS680S seperti tertera di bawah. Atas nasihat pemilik asal supaya saya membalut dengan kain selimut pesawat ini sehingga malam jumaat minggu depan....... entah?? Saya ikutkan saja hehehehe....




Dunia dalam radio amatur ini amat menyeronokkan, cuma ada ketikanya tidak.... ianya tak ubah seperti bibit-bibit lirik Lagu Ilham Pujangga Nyanyian Ismail Haron ( www.youtube.com/watch?v=GeDinm6B5U0 )



Nukilan lirik ini sudah pasti membantu rakan-rakan radio amatur agar tabah dalam hobi ini. Dengar dan hayati lagu asal ini. anda pasti mengerti.....

Itu saja.... sekali lagi saya memohon maaf atas ketelanjuran selamat saya menulis di sini.... Insyallah, blog ini nanti pasti menemui noktahnya. Hingga jumpa lagi.. Bye!!! 73



.

Ahad, 22 Julai 2007

Malam Kemuncak Orari Jakarta Ham Festival 2007


Ketik Malam Kemuncak Orari Ham Festival Jakarta 2007 untuk melihat wajah gadis-gadis cantik dari Jakarta.... :)
Posted by Picasa

Pulang ke Kuala Lumpur...

Posted by Picasa
Ketik Pulang ke Kuala Lumpur untuk melihat barang-barang yang dibawa pulang ke Kuala Lumpur selepas Ham Festival berakhir

Berbelanja di Tanah Abang


Posted by Picasa
Ketik Berbelanja di Tanah Abang untuk melihat lain-lain gambar beraneka pakaian yang dijual di sini. Dimaklumkan misi kebanyakkan rakan-rakan yang datang ke sini ialah membeli ole-ole buat orang rumah masing-masing. Ternyata ketika ini, warna merah masih yang terbaik hehehehe... :)

Di Monas-Jakarta Ham Festival 2007

Posted by Picasa
Ketik Di Monas-Jakarta Ham Festival 2007 untuk melihat gambar sekitarnya :)
Alhamdullillah saya amat kagum dengan warga amatur Indonesia yang datang dari pelusok negara bergabung menyertai aktiviti-aktiviti ini. MEREKA 10 TAHUN JAUH KE HADAPAN dari kita. Insyallah saya akan ulas peristiwa sepanjang saya di sana dalam posting akan datang.

Malam di Jakarta-Hamfest 2007


Posted by Picasa
Ketik Malam di Jakarta untuk melihat gambar-gambar yang ada. Alhamdullillah... persamaan budaya dan bangsa membuatkan saya tidak terasa asing sepanjang di sana.

Liku-liku ke Jakarta-Ham Festival 2007


Posted by Picasa
Perancangan rapi telah di atur.. perjalanan saya kembali kota Jakarta kali ini amat saya dambakan. Kali ini atas tujuan hobi radio amatur. Ketik Liku-liku ke Jakarta untuk maklumat lanjut. Selamat melayari gambar-gambar dari lensa saya..........

Khamis, 19 Julai 2007

Antara Anyir Dan Jakarta

Sheila Majid (Odie Agam)

Antara Anyir Dan Jakarta

Derusan ombak bersilih ke pantai
Disambut alunan nyiur melambai
Rembulan megah di atas mahligai
Tersenyum melihat kita berdua

Angin membawa lagu cinta
Sejuta bintang bermain mata
Seakan rela dua insan
Di dalam senarionya

Antara Anyir dan Jakarta
Kita jatuh cinta
Antara Anyir dan Jakarta
Kisah cinta tiga malam
Kan ku ingat selamanya
Antara Anyir dan Jakarta

Kita seakan mimpi yang buruk
Ku alami setiap hari
Cinta yang sudah tiada lagi
Tinggal memori membawa kembali

Rabu, 20 Jun 2007

Malam mendengar radio

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Saya masih lagi agak sibuk untuk mengemaskini laman ini. Rasanya ini ialah posting terpendek saya. 2 minggu lepas saya ada menerima email dari seorang pembaca yang bertanyakan saya tentang Peperiksaan RAE. Maaf En. Ngatiman dari Kapar, persoalan anda terlalu lewat untuk saya jawab kerana peperiksaan RAE telah pun berlalu ketika saya menulis blog ini. Walaubagaimanapun mungkin soalan kedua anda mungkin boleh saya jawab.

Pertanyaan kedua beliau adalah berkisar tentang strategi untuk menguasai sekurang-kurangnya 40% soalan dalam RAE. Saya dimaklumkan bahawa kebelakangan ini kebanyakkan soalan dalam RAE adalah berkisar tentang Piawai Prosedur Pengendalian (Standard Operating Procedur atau SOP). Manakala soalan-soalan berkisar pengiraan telah dikurangkan. Terpulang pada tuan-tuan untuk memastikan yang mana yang harus difahami. Difahami?dan bagaimana menguasai SOP?.

Biasanya kita akan lebih mudah memahami sesuatu perkara tatkala ianya menjadi perkara yang kita selalu kita lakukan. Maka cara terbaik ialah mempraktikkan ia. Dan bagaimana sedangkan seorang yang belum mempunyai lesen mempraktikkan kerana mungkin ketiadaan medium? Nah, maka terdapat beberapa inisiatif rakan-rakan ham mewujudkan pelbagai cara. Ada yang mengadakan kelas-kelas SOP radio amatur, ada juga yang memperuntukkan suatu jaluran bukan amatur untuk memberi peluang SWL (takrifan yang sebenarnya merujuk pada pendengar siaran kormersil di gelombang pendek tetapi kini dirujuk sebagai peminat amatur radio belum berlesen) berbicara secara bebas sesama mereka dalam ruang lingkup SOP amatur. Dan ada juga mewujudkan hari-hari istimewa warga SWAL (takrifan yang sama seperti SWL tetapi merujuk pada pendengar khusus gelombang amatur) mempergunakan callsign radio amatur individu berlesen untuk berkomunikasi sambil dipantau oleh pemilik callsign terbabit.

Pada pendapat saya aktiviti ini ada baiknya berbanding keburukkannya. Tinggalkan keburukkannya....Yang pertama ia membantu membentuk keberanian individu SWAL berkomunikasi di khalayak ramai (diudara). Keduanya membantu membentuk individu supaya mampu berkomunikasi mengikut lingkup SOP yang betul melalui kod Q, tatacara mengendalikan komunikasi ramai stesyen, keutamaan-keutamaan dan yang penting menghindari 5 perkara dalam perbualan. Ketiganya membantu mempertajam kemahiran serta idea dalam komunikasi spontan dalam penyampaian. Ketiga-tiga ini mampu mempersediakan SWAL untuk menghadapi soalan-soalan SOP di dalam RAE.

Oh ya, bercakap tentang perkara ini saya masih teringat. Saudara Abd. Rashid atau dikenali dengan panggilan manja 9W2YR banyak menyimpan kenangan apabila memperkatakan tentang SOP dikalangan SWAL. Perjuangan beliau dalam memberi peluang anak-anak muda mendekati dunia radio amatur banyak bertitik tolak dari penganjuran malam SWL beliau. Saya masih ingat apabila pertama kali menetap di TTDI Jaya, saya diajak oleh rakan-rakan mengikuti malam SWL anjuran Pak Yob. Antara beberapa anak-anak muda yang berjaya mendekati alam amatur ini termasuklah saudara Shafik dan beberapa lagi rakan-rakan dari bidang 4X4 ketika itu. Antara gambar-gambar diera tersebut boleh dicapai di http://www.astra.org.my/gambar/pics01/gam_yopromeo.htm .

Itu gambar-gambar di era tersebut di Ibu Kota. Jika di Utara juga sama meriah.... malangnya saya tidak mempunyai koleksi gambar-gambar kenangan itu. Saya juga ada menerima kiriman email dari Shaharuddin tentang gambar-gambar malam SWAL yang lepas. Saya sertakan gambar malam tersebut untuk tatapan rakan-rakan.

Malam SWAL di Kelana Jaya anjuran Pak Yob dan warga Shah Alam


Malam itu aktiviti dilimpahi cahaya stadium Kelana Jaya


Sudah pasti ada pemerhatinya


Antara mereka yang hadir....



Dan mereka yang terpaksa 'bertugas' hehehehe...
Lalu berakhir di....
Dan berlakulah pertemuan sahabat yang terpisah......


Tumpuan pada SOP..... apa yang boleh...

dan yang tak boleh masa berkomunikasi...
Saya juga tertarik pada hasil buatan tangan rakan ini.

Sebuah transceiver boleh ubah yang kemas

Cantik

Dan lain dari yang lain

Demikian catatan perjalan saya kali ini. oh ya saya terlupa sesuatu. Buat Saudara 9W2BCT, kuatkan semangat anda. Harapannya mudah-mudahan anda cepat sembuh. Insyallah...


Beliau sempat tersenyum semasa lawatan Pak LT


Itu saja dari saya, masih banyak lagi tugasan yang harus saya laksanakan. Dua guni jagung yang saya beli semalam belum dibersihkan. Esok semua itu harus saya jual di pasar malam... Harapan saya moga-moga jualan jagung rebus saya malam esok memberansangkan berbanding minggu lepas. Sambil membersihkan jagung-jagung malam ni saya mendengar radio..... 73!!




Related Posts with Thumbnails