Anda adalah tetamu ke blog ini.

Isnin, 22 Januari 2007

Membeli belah udang untuk sepinggan char kuew teaw?

Hai..

Bertemu lagi... setelah 2 hari berhempas pulas menyiapkan kicap char kuew teow sepanjang minggu, saya hampir lupa yang ada blog yang harus saya update. :)

Rakan-rakan terlalu meminta saya menyediakan char kue teaw, setelah beberapa kali saya menangguhkan permintaan mereka akhirnya saya akur. Malangnya harga udang di ibu kota jauh berkali ganda mahal berbanding di tempat saya. Memang tidak berbaloi kalau saya menjualnya sepinggan dengan harga yang sama di pulau mutiara. Apapun pencarian udang membawakan saya sebuah pengembaraan yang penuh dengan 'kepokaian' hahahaha..... :)

Dalam hidup saya bersama-sama hobi ini, memiliki sebuah pesawat untuk bersama-sama rakan-rakan yang lain menikmati hobi ini adalah satu idaman. Ianya ibarat ingin berlumba motosikal bersama juara-juara cubprix tetapi tidak mempunyai motosikal. Bagaimamana itu?

Sepanjang saya berkecimpung dalam hobi ini, tidak pernah lekang rakan-rakan amatur yang membantu. Ketika mula-mula mendapat tiket, saya agak bertuah kerana saya dikelilingi oleh kalangan ham yang berpendapatan sederhana. Ada dikalangan mereka yang hanya mempunyai sebuah handie talkie sahaja. Itulah Base, itulah mobile dan itulah portable. Alhamdullillah.... walaupun disebalik kekurangan itu ada sesuatu hikmah. Mereka cuba mengaplikasikan apa sahaja bahan disekeliling mereka. Homebrew adalah alternatif terbaik!.Saya kagum...

Mereka hebat, berbakat! Saya merasa bertuah kerana bermula dikalangan mereka. Tiada istilah Silverthunder, Larsen, Diamond dan mana-mana antenna berjenama. Hanya apabila di meja bulat, ayat-ayat yang keluar dari mulut mereka hanyalah merujuk terus pada jenis antenna, bukannya jenama yang disebut. Di awal penglibatan saya dalam amatur saya masih belum mampu memiliki pesawat, tiada pekerjaan tetap. Jika ada pun gaji saya kurang dari jumlah bayaran bulanan sebuah kereta Kenari. Alhamdullillah, tempat saya bekerja ketika itu menyediakan satu pesawat handie untuk R&D, dan disitulah bermulanya permilikan pesawat handie yang pertama. Walaubagaimanapun orang yang harus saya ucapkan ribuan terima kasih ialah 9W2AU. Tanpa beliau saya mungkin tidak akan mampu memiliki sebuah handie. Juga saya ucapkan jutaan terima kasih pada 9W2KW atas bantuan beliau membuatkan saya mampu memiliki sebuah pesawat mobile dengan bayaran ansuran.

Oklah, sebelum saya terlajak.. perjalanan saya minggu lepas mengingatkan saya pada perjalanan saya merentasi negara orang demi memiliki sebuah pesawat sendiri.
Saya pernah ke Akihabara Jepun semasa zaman pelajar pertukaran AntaraBudaya. Malangnya saya ketika itu tak mengetahui apa-apa.. arghh, ruginya :) kalau dah tahu tentu ada sesuatu yang saya bawa pulang.

10 tahun berlalu... perjalanan saya kali ini ke singapura semata-mata untuk mencari sebuah tranceiver 2 meter yang sesuai.

Rakan-rakan ham di Malaysia agak sukar untuk mendapatkan peralatan radio amatur disebabkan kekangan undang-undang dan kos cukai yang agak tinggi. Tidak banyak syarikat yang membekalkan Transceiver khusus untuk warga amatur. Jika ada mungkin orang perseorangan dan syarikat kormersil. Bagi syarikat-syarikat ini sudah tentu dibebani dengan Cukai import dan banyak lagi. Saya pernah bertanyakan pada satu syarikat di Klang tentang pesawat model Icom 706. Harga yang ditawarkan sungguh menjolok mata!! RM25k!!

Hummm..... alternatif rakan-rakan di utara ialah negara tetangga Thailand. Walaubagaimanapun mungkin sedikit kekurangan yang terpaksa dihadapi. Rakan-rakan amatur di negara ini terikat dengan undang-undang komunikasi tempatan dimana pesawat-pesawat yang dijual di sana dihadkan kuasa. Misalnya Icom IC2100 yang sepatutnya berkuasa 50Watt. Tetapi untuk spesifikasi Thailand, semua pesawatnya yang dijual dihadkan (diset dikilang) 35watt sahaja. Begitu juga freq bagi sesetengah pesawat amatur disana dikunci hanya berkendali antara 144-147Mhz sahaja. Berbanding warga amatur di Malaysia yang diperbolehkan berkendali 144-148Mhz. banyak rangkaiaan pengulang (repeater) di sini berkendali di 147-148Mhz. Disinilah masalah yang timbul.

Jika Thailand demikian, masih ada alternatif iaitu Kota Singa. Harga yang ditawarkan di Singapura jauh lebih murah berbanding di Jepun dan UK. Mungkin kerana mereka ini adalah pengedar eksklusif rantau Asia. Walaubagaimanapun terdapat satu lagi halangan iaitu prosedur Import . Ia bukanlah terlalu sukar untuk diimport asalkan anda mengikuti prosedurnya.

Di Singapura terdapat beberapa kedai yang khusus menjual peralatan komunikasi ini. Antara nya Blazer , Suneast, Tecomart di Sim Lim Tower Jl. Besar dan Di Sim Lim Square pun ada.

Sim Lim Tower- Jl. Besar



Blazer- Kedai yang paling popular dikalangan Ham. Menjual semua model radio dan pelbagai jenis aksesori radio amatur. Juga GPS dan peralatan navigasi.



Suneast- Kedai yang boleh tahan harganya, Tak kenakan Tax GST (tapi sebenarnya dah absorb GST dalam harga). Hanya jual model Icom dan Motorola sahaja.


Tecomart-Kedai yang menawarkan pembelian secara online



Eh, bukan di Jepun.. masih di Kota Singa


Radio idamanku hehehe...


Walaubagaimanapun, saya dimaklumkan oleh rakan-rakan amatur yang telah ke sana tempohari yang cukai GST 5% akan dinaikkan ke 7% bermula 1 Februari 2007. Ianya satu tamparan buat saya. Mmmmm... terpaksa semak semula tabungan saya hehehe...

Perjalanan saya tidak terhenti di Kota Singa. Kota Jakarta pula saya harungi. Pemergian saya ke Jakarta atas kerana ingin mencari GasFet untuk projek 1.5KW HF Linear Amplifier. Menurut rakan-rakan amatur yang senior, terdapat satu kawasan yang agak popular dikalangan warga ham negara YBland iaitu Bazar Elektronika di kawasan Pasar Golodok Jakarta Lama. Ianya terletak tidak jauh dari Tanjung Periuk, perlabuhan utama jakarta.

Tibanya saya di sana sesuatu yang memeranjatkan saya terjadi. Dari variable kapasitor hinggalah kepada komponen-komponen motorola terjual secara berleluasa di sana. Wow!!!!... Bagi saya, Glodok menawarkan aksesori radio amatur yang pelbagai. Transceiver dan receiver mungkin singapura lebih murah tetapi aksesori antenna, bekalan kuasa dan ATU jauh lebih murah di Glodok. Teleskopik antena 2m di singapura berharga hampir RM55 tetapi di Glodok hanya RM12!! Malangnya saya tidak bertemu dengan barang yang dicari.

Pasar Glodok-Gerbang masuk


Deretan kedai di Glodok-Perhatikan konsep jualan antara jurujual dan pembeli. Terdapat kerusi disediakan pada pembeli. Pembeli diberikan ruang dan masa untuk memilih produk. Ianya berbeza dengan singapura. Khidmat nasihat yang memuaskan. Setiap kedai ada menjual khusus pada sesuatu jenama dan terdapat kedai yang menjual peralatan amatur second hand. Tetapi ingat, kad kredit tidak diterima :)


Kerusi yang selesa untuk pembeli- Kedai Gunung Mas Toko Amatir


Demikian sedikit sebanyak berkaitan perjalanan saya semata-mata kerana hobi. Siapa bilang hobi ini memerapkan seseorang di dalam shack? :)
Jika ada rakan-rakan yang ingin ke jakarta, KLM menawar tambang yang menarik. Mungkin ini lah masa terbaik anda bercuti sambil membeli belah peralatan amatur anda.


Dan kepulangan saya ke Malaysia dihidangkan dengan hidangan istimewa oleh KLM di dalam kabin Bussiness Class!



Begitulah perjalanan saya kali ini, Insyallah jika hayat saya masih panjang, mungkin saya akan coretkan lagi kenangan di Kota Medan dalam pencarian pesawat model Alinco di sana. Juga perjalanan saya menyusuri kota Bandung, Surabaya, Pontianak dan seterusnya Sibu Sarawak demi sebuah Kuali bersaiz 8 kaki. Bagaimana pula anda? :)

P/S: 9M2CNC juga ada mencoretkan pengalaman membeli belah di Singapura dan Akihabara , Menarik juga info dari laman beliau.

Sabtu, 20 Januari 2007

Kotak hitam misteri di atas mejaku

Hai, assalamuailaikum dan salam sejahtera rakan-rakan semua!!

Malam ini saya kehabisan ubat. Risau-risau juga kalau-kalau ada perkara yang tak diingini berlaku malam ni. Sambil terduduk seketika di 'shack' usang saya malam ni, tangan ni gatal-gatal menala ke beberapa frequensi HF yang senyap sahaja..mungkin propagasi tidak menyerlah lagi. Menanti hingga jam 2 pagi belum tahu lagi. Jika dulu saya mampu bertahan hingga ke pagi ber'DXing' tetapi sejak umur ini dimamah usia agak sukar saya teruskan. Entah bagaimana tersentuh satu kotak misteri berwarna hitam... Wah! ada cerita menarik yang terbayang di kepala saya untuk menulis.

Segala-galanya bermula apabila saya membina sebuah antena dipole untuk 40m band. Apa yang saya alami ialah antena yang saya bangunkan tidak 'match' dan bacaan SWR yang tinggi. Hasilnya apa ketika berkendali di mode SSB, kuasa yang keluar dari pesawat saya tidak 100%.

Bagaimana saya harus menipu pesawat saya yang antena saya benar-benar 50 ohm? supaya 100% kuasa pemancaran dapat dikeluarkan?

Dari sini wujudnya idea menggunakan Antena Tuning Unit (ATU) (http://en.wikipedia.org/wiki/Antenna_tuner) . Terdapat pelbagai ATU di pasaran, dari model MFJ hinggalah LDG. Semuanya mempunyai kelebihan masing-masing. Dengan harga yang agak mahal sudah tentu ramai yang mencari alternatif yang murah.. apa kata ATU homebrew? :>)

Cuba-cuba gunakan carian di google.com tentang homebrew ATU.

Dan dari sini bermulalah misteri kehadiran kotak hitam itu...... hehehehee..

Disebabkan kos memiliki sebuah ATU yang agak tinggi, saya bercadang membina sendiri ATU. Konsep yang saya pilih ialah gandingan Variable coil dan variable kapasitor. Atu ini meliputi 80m hingga 2m! Wow!! :) Ringan dan mudah ditala.

Berikut ialah beberapa gambar ATU buatan saya.

Gambarajah ATU saya


Pandangan depan


Walaubagaimanapun ATU ini mempunyai 2 penunjuk bacaan iaitu meter dan LED. Meter yang saya gunakan ialah yang saya perolehi dari pesawat Racal tentera. Meter ini boleh menunjukkan 2 keadaan iaitu kuasa output dan nilai SWR. Penalaan dilakukan hingga meter turun menunjukkan sifar. Manakala konsep LED sebagai penunjuk bacaan kuasa maksima yang dikeluarkan oleh pesawat. Ini bermakna ATU ini boleh dikendalikan dalam keadaan portable dan dalam keadaan gelap. LED akan menjadi semakin terang semasa penalaan menunjukkan kuasa semaksimum dicapai. Terima kasih 9M2RR atas teori yang ditunjukkan tentang konsep LED dalam projek kali ini. Anda juga boleh mencuba dengan menggunakan mentol lampu biasa, ia boleh menunjukkan status kuasa yang dikeluarkan oleh radio anda. Bagaimana? insyallah jika masih ada hayat, suatu hari nanti saya akan coretkan di sini.

Meter khas diambil dari Radio Racal Tentera


Pandangan belakang ATU


Pandangan sisi ATU (lubang tengan ialah Grounding)


Pandangan atas ATU


Dan yang paling istimewa ialah Variable Inductant yang saya gunakan (roller emas)


Demikian ATU buatan sendiri. Kos hanya sekitar RM30 sahaja untuk roller yang saya perolehi di Lokin Ipoh manakala variable kapasitor saya perolehi dari Rope Walk (lorong Kulit) Penang. Meter juga diperolehi dari Lokin. Manakala terdapat satu lagi konsep ATU tetapi buatan homebrew sahabat saya dari Kuala Lumpur.

Rajah litar ATU beliau


Gambar hadapan ATU (90% siap ketika itu)


Pemandangan dalam ATU


Pemandangan belakang ATU


Hmmmm.... apa kata anda semua? Apa yang sukar didapati ialah variable kapasitor terutama yang mempunyai gap bilah yang besar. Ini dapat mengelakkan arka (sparkling) dan ATU dapat mengendalikan watt pemancaran yang tinggi. Induktant boleh dibangunkan sendiri dengan melilit pada suatu objek khusus. Pastikan ATU anda dibumikan (grounding) dengan baik untuk memastikan ianya dapat berkendali dengan tepat. Apa yang penting ialah mencuba dulu. Blog saya mengajak rakan-rakan mencuba projek-projek ham radio seperti ini dengan maksud pembelajaran, pemahaman, pengurangan kos dan yang penting menikmati (enjoy) hobi ini. Selamat maju jaya!!! 73!

P/S: Tahukah anda, ATU yang dijual terdapat 2 jenis. Satu ialah jenis L dan satu lagi jenis T. Jenis L hanya dapat menala antenna dari jenis long wire, whip dan vertical SAHAJA. Dan jenis T hanya dapat menala antena dari jenis Dipole, Yagi dan sejenisnya SAHAJA. Jadi pastikan anda membaca dulu spesifikasi sebelum membeli. :)

Khamis, 18 Januari 2007

Simbol kerakusan di laman rumahku

Hai... jumpa lagi sahabat-sahabatku..

Seperti malam-malam yang lepas saya masih kepenatan setelah seharian membanting tulang 4 kerat ini menaiki motosikal mengelilingi lembah kelang. Banyak surat-surat yang belum diselesaikan.



Di luar sana hujan masih menggila, belum ada tanda-tanda hujan akan seriat. Dalam gempita cahaya kilat di luar sana ternampak susuk tiang monumen yang menggemparkan jiran-jiranku. Apa yang saya maksudkan ialah antenna loop yang terpacak diluar sana. Ketika mula-mula ianya diletakkan di laman, banyak jiran-jiran saya bertanyakan apakah benda ini. Ada pula yang perli kan saya dengan mengatakan ianya adalah simbol Klux Klux Klan.. hahahaha... dan ada yang menyarankan supaya ditambah simbol anak panah ke bawah pada loop itu. Hummm... macam simbol seks lelaki hehhehe.. :)


Apapun yang jiran-jiran saya kata, ianya tidak pernah mematikan semangat hobi saya.


Ianya bermula dengan masalah yang saya hadapi iaitu ruang antena yang terhad. Dalam memikirkan alternatif yang terbaik, saya teringat pengalaman saya ketika SWL dan setelah mendapat tiket menyertai hobi ini. Saya seringkali mendengar stesyen-stesyen amatur memperkatakan tentang Loop antena. Hinggalah pertemuan saya dengan 9MsSX En. Sato. Beliau memperkenalkan saya dengan antena Magnetik Loop milik beliau. Dan selepas itu acapkali saya memantau beliau ke udara, suaranya akan lebih mengatasi dari stesyen lain. Walaupun saya berada di Medan, perkara yang sama berlaku.


Dari peristiwa ini saya mendapat idea bagaimana membangunkan antenna yang praktikal sekiranya menghadapi masalah ruang yang terhad. Untuk pengetahuan rakan-rakan En. Saito tinggal di flat manakala antenna loop beliau di pasang pada beranda flat, betul-betul tepi tingkap.


Bagi projek ini, bahagian yang paling sukar didapati ialah variable kapasitor. Jenis kapasitor ini adalah dari jenis kapasitor voltan tinggi yang banyak terdapat di dalam radio-radio Collin Valve dan juga antenna tuning unit. Setiap bilah kapasitor mempunyai jarak yang besar. Ini kerana apabila ianya berkendali, ia dapat memisahkan elektron dari merentasi secara langsung. Jika anda menggunakan varriable kapasitor yang rapat setiap bilahnya, potensi arka (percikan) elektrik boleh berlaku seterusnya memberi potensi kerosakan pada pesawat anda.


Di bawah ini ialah variable kapasitor yang saya gunakan


Ianya di pateri ke badan loop


Rupa loop yang telah siap


Loop yang paling besar menggunakan bahan tembaga paip penghawa dingin manakala loop yang kecil adalah menggunakan kabel RG58. Loop yang kecil tidak bersentuhan dengan loop yang besar.

Oleh kerana nafsu, saya menukar loop yang kecil dengan tembaga.


Penyambungan kabel


Loop yang telah siap di tingkat upaya


Walaubagaimanapun ianya menjadi satu mimpi ngeri buat saya apabila mencubanya. Pada keesokkan paginya saya setelah semalaman TX, saya dapati mata saya mendapat simpton Konjunitis. Mata merah tetapi tidak berair. Menjelang malam, saya hilang penglihatan dan mata saya membengkak. Saya di tahan di wad Hospital Putrajaya pada malam itu.


Ini lah penangan loop antenna, kesilapan saya ialah memancar dengan antena tersebut dipasang di dalam bilik!. Dengan stesyen dari jepun 4-8 dengan hanya 5watt!! 2 hari selepas pulih dari terdedah pada medan RF terlampau, saya memasang antenna tersebut di luar rumah. Kesan yang ketara dapat saya lihat ialah apabila TX, antenna ini dapat menghidupkan lampu kalimantang jiran yang telah di Off kan!! Dashyat!!


Teringat satu peristiwa seorang rakan ham senior dari Nibong Tebal iaitu 9W2FL yang pernah mengalami perkara yang sama, malahan beliau mengalami melecur di kulit!! ketika mengendalikan antena ini.


Selepas itu saya mengambil inisiatif menjarakkan orang ramai dan saya ketika mengendalikan antenna ini. Perlarasan variable kapasitor tidak lagi secara manual tetapi dengan menggunakan Low RPM motor dan dikawal melalui kabel dari dalam bilik. Alhamdulillah, tiada lagi kesan yang buruk berlaku... :).


Permandangan antenna ini di luar rumah




Komen saya, loop antenna adalah antenna yang terbaik di kalangan koleksi antenna homebrew saya, nilai Q yang tinggi dan berkuasa tinggi. Walaubagaimanapun rakan-rakan dinasihatkan berhati-hati terutama bermain dengan RF bagi rakan-rakan yang belum dapat anak lagi hehehehe.. Jika anda berjaya membangunkannya, anda pasti merasai kehebatan antenna ini :), Selamat maju jaya....!!!! 73!!

P/S: Saya suka lihat apabila kapasitor dia sparkling, api biru siot!! ngan mampu hidupkan lampu kalimantang!! :)

Digitalkan hobi mu

Assalamuailaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang di hormati.

Siang tadi saya dikejutkan dengan panggilan dari seorang amatur yang amat saya kenali. Setelah sekian lama saya tidak berjumpa dengan beliau. Ketika dulu semasa saya masih remaja saya pernah memanggil beliau dengan elaran pakcik. Tetapi apabila usia ini sudah meningkat setaraf dengan usia berpangkat bapa orang, gelaran tersebut agak sukar untuk saya sebut. Takutkan terguris hatinya :), jadi saya acapkali mengulangi nama beliau dengan gelaran Encik.

Rupa-rupanya beliau bertanyakan tentang Interface untuk aktiviti SSTV, RTTY, Radio Packet dan PSK31 (Amtor+Pactor) berdasarkan Kad Bunyi Komputer (tahukah anda bahawa kad ini juga boleh digunakan untuk echolink dan eqso?). Ah! sudah lama saya tak melihat-lihat stok lama yang telah saya buat.

Sebenarnya untuk pengetahuan rakan-rakan saya pernah menjual kecil-kecilan membuat interface ini. Alhamdullillah, profit yang telah saya hasilkan pun cukup banyak! Terdapat beberapa variasi yang saya buat. Selain interface biasa ini saya juga pernah membangunkan radio modem berdasarkan tempahan. Walaubagaimanapun radio modem sekarang agak susah dibangunkan kerana terdapat satu chipset di dalamnya yang sudah tiada di pasaran.

Dibawah ini saya sertakan litar ringkas untuk membina perantaramuka antara radio dan komputer anda. Diharap ianya dapat membantu. Saya tidak akan mengulas panjang kerana terdapat banyak laman web yang menerangkan tentang ini :).


(sumber : dah lupa link dia)

Okla... jadi, ada beberapa koleksi gambar interface saya. Yang di bawah ini merupakan Versi ke 4. Interface ini fix mengikut model yang dibangunkan. Maksudnya jika pelanggan meminta model ke ICOM 746, maknanya interface itu terus ke soket khas Icom 746 sahaja. manakala lampu penunjuk TX sahaja yang ada.

Bahagian yang bersambungan ke komputer


Interface yang telah lengkap


Tombol kawalan Data In dan Data Out


External speaker untuk memantau aliran data


Interface yang telah siap di jenamakan hehehe :).


Dan tiga tahun berlalu setelah melalui beberapa versi, saya dapat membetulkan beberapa ralat akhirnya saya telah menyiapkan interface terlengkap. Versi yang seterusnya memasukkan elemen soket ptt pada interface dan perlindungan 100% transformer bagi memisahkan antara radio dan komputer seterusnya mengelak kerosakkan disebabkan aktiviti perantaraan ini. Saiz interface juga berjaya saya kecilkan. Lampu led interface berfungsi dan transmit juga ditambah agar kawalan yang efektif dapat dipamerkan. Selain soket ptt, soket external speaker ditambah bersama-sama suis ringkas.

Interface kali ini tidak lagi menggunakan fix kabel tetapi menggunakan soket biasa. Pengguna boleh membina sendiri kabel tambahan ke radio yang lain dengan mudah. Dalam erti kata interface ini boleh digunakan pada semua radio. Pastikan manual diperolehi semasa pembelian.
Di bawah ini ialah gambar interface versi 6. Versi terbaru ialah 6.8, insyallah saya akan paparkan gambarnya akan datang. Interface buatan saya ini alhamdullillah waktu saya usahakan kecil-kecilan berjaya terjual diserata Malaysia. Malahan negara tetangga Indonesia dan Brunei pun ada yang memesannya :).

Gambar lengkap


Perhatikan soket external speaker


Soket ke radio bobeh ubah (tidak fix seperti model sebelum ini)


Soket ke radio model Yaesu VX5R


Setiap pembelian kali ini disertakan CD


Demikian... diharap para pembaca dapat mencuba homebrew interface ini sendiri. Kos yang murah dan inilah projek elektronik yang paling mudah dalam bab-bab melibatkan komponen dalam hobi ini. Jika berjaya, selamat datang ke dunia digital ham radio!! 73!!

Rabu, 17 Januari 2007

Duit oh duit..

Hai.. jumpa lagi.

Malam ni saya agak kepeningan. Ianya bermula apabila saya pulang agak lewat tadi dari pejabat almaklumlah bertemu dengan salah seorang rakan amatur yang agak senior.


Sampai di rumah saja, dalam kepenatan saya menyelongkar seketika kabinet fail. Terjumpa pulak buku ASB dengan beberapa buku simpanan yang lain. Hummmm.... termenung seketika. Di dalam hati ni terbayang sesuatu yang sangat saya idamkan. Iaitu memiliki sebuah pesawat HF dari jenis base station yang berkuasa tinggi. Pelbagai pesawat yang telah di'review' dan pelbagai pendapat kawan-kawan yang diperolehi. Jika dahulu saya pernah memiliki pesawat HF sumbangan dari 9M2FF. Ianya adalah model Kenwood TS440. Walaupun dalam keadaan tidak berfungsi pada mulanya, berkat bantuan En. Andy 9M2DY, Pak Long Marzuki 9M2MZ dan beberapa rakan akhirnya ianya telah berjaya dihidupkan dan berkendali dengan baik.


Beberapa kali tabungan telah dibuat dan tidak berjaya. Harapannya kali ini tabungan pasti berjaya. Saya telah setkan 3 bulan dari sekarang saya akan memilikinya juga. heheheeh.....


Duit dalam tabung di atas tak sampai RM50 :)

Dugaan tetap ada, ada rakan yang mengajak saya menabung demi menyertai pakej MAS + tiket menonton liga Inggeris di Old Trafford.... ada yang mengajak saya menabung untuk mengembara ke Eropah selama sebulan.. tetapi semua tu harus saya tolak.... Walaupun dapat tiket promosi Air asia yang dijangka akan dibuka ke sana pun belum tentu.

Demi sebuah pesawat HF idaman..... hari ni saya makan maggie lagi. :p

P/S: Hidupku semakin Buncar apabila lewat petang tadi menerima satu panggilan, untuk sebuah barang....


Nampaknya, saya terpaksa bersedia lebih dari sebungkus mee segera untuk bulan ini .... hahahaha ......73!!

Isnin, 15 Januari 2007

Aiseh.. hujan lagi hari ni

Jumpa lagi...
Hujan lebat juga kat umah ni tadi, risau gak kalau-kalau air masuk ke dalam shack melalui kabel. Sambil-sambil melihat kat luar tu saya memeriksa kembali fail-fail gambar dalam pc ni. Banyak yang belum backup. mmmmm.... ada gambar yang baik ni untuk diolah.

Kebetulan pula terbaca email dari kawan-kawan sehobi mengenai 10m band yang saya kira boleh digelar sebagai band pemalu hehehehe... Bukan apa, sudah banyak artikel mengenainya dipaparkan di internet. Di Jepun, banda ini agak popular dan terserlah aktivitinya bila propagasi wujud. Mungkin di malaysia tak ramai rakan-rakan amatur yang berkeupayaan memancar di freq ini atas dasar peralatan pemancar mungkin. Apapun, lambat laun Band ini akan aktif juga, cuma masa yang akan menentukan.

Saya alihkan freq ke ke 28.202Mhz, wah... ada orang bermain CW!!...
Oklah, apapun mari kita mulakan langkah pertama. Antenna? apakah antenna yang sesuai. Jangan pening-pening kepala memikirkan antenna yang sofliskated atau kormersil. Antenna dipole sudah memadai.
Dipole? saya teringat beberapa bulan lepas saya ada bercadang membangunkan sebuah antenna yang boleh melangkaui semua band HF? Wow!!... tapi bagaimana? Dengan carian Google.com saya bertemu dengan satu bahan menarik iaitu Multi trap Dipole di laman ARRL. Dengan bantuan 9M2RS, saya dapat mengakses dokumen tersebut dan bersedia menghabiskan masa lagi dengan projek amatur heheeheh.......

Sebenarnya, satu antenna dipole yang diukur panjangnya mengikut sesuati freq yang dikehendaki terhad pada satu-satu band. Dengan menggunakan trap, kita dapat membuatkan antenna tersebut berkendali pada band-band yang lain. Agak sukar saya terangkan satu persatu tetapi rasanya ianya akan mudah jika pembaca mencuba membinanya sendiri. Pengalaman hanya datang melalui praktikal, kefahaman melalui teori dan kejayaannya hanya dari mahu atau tidak sahaja.
Oh, berkaitan dengan gambarajah di atas ialah asas sebuah antena dipole bagi 1/4 gelombang. Balun yang dinyatakan di atas ialah jika para pembaca menggunakan kabel bernilai 50 ohm. Galangan (Impedance) bagi sebuah antenna dipole ialah 300 ohm, iaitu sama seperti kabel ribbon TV. Bagi membetulkan nilai galangan maka Balun digunakan. (Perkataan Balun berasal dari Balance-Unbalance, ia membetulkan galangan sesuatu talian penghantaran)

Di bawah ini ialah antenna dipole buatan tangan saya berdasarkan artikel Multiband Trap Dipole dari majalah QST. Saya memilih matching 20m dan 40m sebagai tengah. Membuat dipole adalah mudah (antena termudah untuk dibina) tetapi trap, anda perlukan sedikit peralatan bertukang.

Pandangan dalam




Pandangan Depan



Siap



Trap di balut dengan tape

Manakala setelah trap yang telah siap di siap akan di gandingkan ke dipole sebagaimana di bawah:



Salutkan ianya dengan hot glue supaya tiada air atau kelembapan tidak masuk kedalam coxial cable dan menjejaskan nilai kapasitan dan aruhan (induktan). Dan.... ianya di uji!!



Perhatikan di bawah, saya menggunakan balun kormersil kerana saya menggunakan kabel 50 ohm. Walaubagaimanapun balun homebrew adalah terbaik pada pendapat saya... kerana murah :)


Keputusan dari antenna homebrew dengan trap ini memberi hasil yang memuaskan. Untuk 40m SWR 1.3.2 dan 20m SWR 1.2.1... manakala 80m dan 10m agak kurang memuaskan. Walaubagaimanapun iaitu adalah normal kerana trap yang digunakan memang utuk band-band tersebut. Untuk meliputi band-band yang lain, saya mungkin perlu menambah beberapa trap lagi sebagaimana di laman ARRL dan Coax trap
Walaubagaimana pun digalakkan para pembaca mengendalikan antenna dipole yang akan lebar (wideband) digunakan bersama-sama dengan antenna tuner.
Eh.., pastikan antenna tuner anda adalah sesuai untuk T-Match!!


Demikian.. jika ada dikalangan pembaca tertanya-tanya bagaimana saya memperolehi nilai kapasitan dan induktan pada trap yang dibangunkan. Saya akan tinggalkan persoalan apakah peralatannya?
A) Wattmeter
B) Dipmeter
C) SWR meter
D) Meter lain?nyatakan.

Selamat menjawab!! :)

Terima kasih atas bantuan 9M2RS atas bahan-bahan dan sokongan. Juga terima kasih pada 9M2BA atas nota lama tapi bermakna yang diberikan.. :) adios!!
Related Posts with Thumbnails