Anda adalah tetamu ke blog ini.
Memaparkan catatan dengan label Astra. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astra. Papar semua catatan

Selasa, 15 November 2016

Puchong Malam Mega Eyeball Anjuran Astra Wilayah Tengah


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Komuniti Astra Wilayah Tengah akan mengadakan Malam Mega Eyeball sebagaimana di bawah pada 17 Disember 2016 di Bandar Kinrara Puchong Selangor.



Saya akan mengambil bahagian menjual beberapa barangan stok akhir saya. Antaranya ialah Slim Jim Homebrew yang menggunakan connector SO239


Menggunakan SO239


J-pole ada, tapi rasanya saya tak sempat siapkan kot menjelang malam eyeball.


Rupa lengkap antenna


Begini rupanya.

Saya juga akan menjual peta Yaesu, Interface SSTV, RTTY, JT65 etc ke Android.

Jumpa disana!

73.

Rabu, 1 April 2015

Selamat datang GST dan gambar kenangan yang lalu



** lama tulis tapi baru nak upload heheheh **

Assalamualaikum dan salam hormat. 

Baru beberapa detik yang lalu negara kita baru memulakan GST. Satu dasar yang tidak popular dikalangan rakyat marhaen.

Sambil mengemaskini fail-fail dalam portable hard disk yang tiba-tiba hidup kembali setelah sekian lamanya kaput huhuhu... ada beberapa gambar kenangan yang saya rasa boleh lah dikongsi bersama.



QSL kad yang saya tak ingat bila saya ber QSO dengan nya. Terdapat banyak QSL kad sesat yang terus ke inbox saya. Kebetulan pemilik callsign di kelas B ketika itu 9W2RZL sering berkendali di 10meter band. Disebabkan kami berkongsi Suffix yang sama mungkin yang menyebabkan qsl kad sesat ke peti surat saya hahaha..


Ini nama beliau ialah 9W2SQ Bang Sabri. Jika tidak silap saya beliau mepunyai 2 lagi saudara yang sangat-sangat seiras dan mempunyai callsign. Seorang di Syarikat Minyak negara dan satu lagi ialah seorang Guru.

Bang sabri adalah orang yang banyak memberi saya inpirasi untuk aktif mengadakan field day dalam hobi radio amatur. Gambar ini saya jangka sudah melebihi 13 tahun. Hingga saat terakhir sebelum saya berhijrah ke johor, beliau sering kali mengadakan Summit On The Air dan santai BBQ. Satu kata-kata yang saya pegang dari beliau adalah tentang pengurusan kewangan. Jangan habiskan gaji pada membina kuantiti dalam kehidupan tetapi simpan bahagian nya untuk kualiti dalam kehidupan.


Mutalib 9M2SQL... dulu 9W2SQL. Sahabat saya yang saya kenal beliau ketika awal tahun 2003 jika tidak silap. Bermula dengan satu panggilan dari Pak Yob 9W2YR (Ketika itu pengurus ASTRA Selangor) meminta saya membantu seorang pelajar di mantin membina kelab station Radio amatur di kolej nya... Ianya tidak berakhir disitu. Ketika Mares mula memiliki kelab station, kami sering aktif di sana. gambar di atas diambil di hadapan rumah 9M2RR Pak Rahim di Tanjung Piandang dalam satu lawatan sambil belajar hahaha..

Oh ya, sebelum dari itu, dalam perjalanan kami bertemu dengan 9M2SY pak syukur dan Pak Rahim 9W2KK (Allahyarham) dan dibawa singgah ke majlis perkahwinan Pak Megat 9W2DMG yang ke berapa entah.. hahahhaa..


Gambar yang ada dalam simpanan saya... Peta pada dinding depan shack. Cantuman kertas-kertas fotostep dari buku atlas cetakkan tahun 1980. Ketika itu saya hanya memiliki 2 unit transceiver sahaja iaitu Kenwood TM-261 yang mana dibeli secara bayaran ansuran dari Pak Hamid 9W2TU. Beliau merupakan seorang GM di hotel dalam Uniten.. Manakala handy pula adalah Motorola GP 338 Plus yang saya perolehi semasa bekerja di Penang. Motorola GP2000 ketika itu telahpun disimpan terus kerana masalah bateri.

Peta era 80an sebenarnya lebih lengkap dalam penandaan kontur. Dari kontur ini saya boleh menjangka liputan sesuatu repeater terutamanya yang bersambungan seperti ASTRA.




** gambar catatan diambil dari FB Astra bertarikh 8 Feruari 2016.

Antara kenangan di awal berkecimpung dalam dunia radio amatur ialah pengalaman memanjat majoriti gunung-gunung strategik bagi komunikasi. Ketika hari pertama saya menyambung pengajian di Shah Alam, pada masa yang sama repeater Astra yang pertama di Lembah Klang dipasang. Saya bergerak pada malam yang sama dengan team yang diketuai oleh 9M2RR dan rakan-rakan ham dari KL seperti Pak Sabri etc.

Gambar di atas ialah pemasangan semula repeater Astra di lokasi lebih sesuai memandangkan repeater sebelum ini tidak memenuhi kriteria wajib penjaga di atas sana. Di dalam gambar terdapat Pak Idris 9W2USA, Allahyarham Sonee, Allahyarham Pak Din 9W2BB, Azhar, Pak Yob, Pak kamsok 9W2KW (Kini 9M2MKW) etc..

Saya teringat juga ketika kami sampai untuk bermalam di puncak gunung ledang, sahabat-sahabat dari KL iaitu Pak dahlan 9W2DJ, Allahyarham Pak Idris 9M2GL, Pak Nik 9W2NV (kemudiannya 9W2NIK) dan lain-lain telah sedia memacak khemah. Mereka dah setup satu station HF... dan Pak Nik sudi memasakkan kami makan malam. sarapan paginya amat istimewa dari pak nik iaitu daging tumisan susu krimer... saya takkan lupakan hahahaha...


Gambar yang terperingkat dan diklasifikasi semula...


Dapat sampai puncaknya... Juga gambar ini mengingatkan kami pada keesokkan harinya kami memikul Cavity, bateri dan Kotak repeater ke gunung Pulai. Kebetulan sehari sebelum itu berlaku kepala air yang menyebabkan beberapa pengunjung hutan lipur gunung pulai terkorban..... dari tarikh tersebut hingga kini hutan lipur gunung pulai ditutup pada orang ramai.


Gambar nostalgia saya di samping 2 Timbalan Presiden Kelab radio Amatur Ungku Omar, Saya telupa seorang.. seorang lagi ialah Hafizul Effendi (9W2HE). Pada hari tersebut dengan bantuan Mr. Chin 9M2CW kami menyediakan setup pameran Radio Packet dengan handie talkie Kenwood TH234. Memang nostalgia lagi-lagi sebelah tapak pameran kami adalah meja jualan bunga kelolaan gadis-gadis jabatan perdagangan sempena Konvokesyen PUO. Jujur saya masih menyimpan nota berkenalan dari gadis kadazan disebelah kami.. huhuuhhu..

Tetapi sayang sekali. sahabat saya Hafizul tidak lagi aktif dalam dunia radio amatur dan menumpukan pada kerjaya...


Satu lagi gambar dalam simpanan saya.. shack milik Pak Jaini 9W2JM.... Pak Jaini dekat di hati kami bagi para penggiat ham radio sama seperti Pak Ah Hock 9W2GT. Kedua-dua nama ini amat berjasa bagi pembangunan radio amatur ketika itu di kawasan Johor utara selain Pak Din Atan 9M2DA yang lebih awal.


Saya menghampiri saat akhir pengajian di Shah Alam...


Gambar repeater terawal yang terletak di Bukit Bendera milik ASTRA. Jika tidak silap saya, gambar ini diambil ketika program gotong royong ASTRA di masjid Bukit Bendera.


Pandangan sisi...


Pak Rahim 9M2RR dan Allahyarham Pak Kamel 9W2AX sedang berbincang. Gambar ini diambil ketika Pameran Radio Amatur sempena Pesta Udara Sg. Batu Pahat Perlis. Teringat saya berkomunikasi dengan Pak Fuad 9W2PH yang sedang terbang di Udara (Joyride). Juga ketika itu saya baru perasan Allahyarham Kapten Sharudin/Saifudin? (Callsign Lupa) juga memiliki lesen Juruterbang Persendirian.


Nostalgia saya... 9M2PIC (kini 9M4CPO). Antenna megah yang sering mengujakan saya ketika di Jabatan Kejuruteraan Elektrik... Tapi kenapa saya sendiri tidak perasan Pak Lud 9M2LUD juga ham radio? adusss...


Pandangan dari bawah...


Gambar Shack saya di awal penglibatan. rumah sewa di taman cempaka Ipoh. Perhatikan.. hanya handy talkie CB 27mhz yang mampu..(mampu pinjam dari makmal elektronik perhubungan). Radio-radio ini merupakan sumbangan dari Jabatan Telekom.


Satu lagi gambar... walaupun CB AM, tapi ada juga stesen yang aktif di AM ketika itu. Saya beruntung dapat merasai betapa terbukanya propagasi ketika itu... ada beberapa sahabat CB seperti Pak Non (Callsign lupa), Allahyarham Pak rahim (lupa Callsign) Sik serta geng-geng pukat bilis yang rajin menyahut panggilan saya.


Lawatan 9M2PIC ke TLDM Lumut... Rusdi Carloss (Callsign Lupa) (duduk ditengah) merupakan bekas presiden 9W2PIC.


Gambar akhir... kenangan. Mr. Chin, En. Subra (callsign tak nak aktif)... amoi2 dan gegadis yang aktif QSO suatu ketika dulu di HF kelab termasuk anak Mr. Chin (Callsign Lupa)... Tetapi yang paling manis adalah orang yang mengambil gambar ini adalah salah seorang Anggota TLDM yang beberapa tahun kemudian baru saya tahu beliau adalah Allahyarham Pak Nasir 9M2NNL.


Ok... tutup cerita gambar-gambar saya..

Bacaan saya kelmarin di http://advanced-skynet.blogspot.com/2015/03/misi-lawatan-ke-utara-28-29-mac-2015.html  juga mengingatkan saya tentang nostalgia ham-ham lama yang suatu ketika dulu aktif. Ikatan mereka masih kekal rapat hingga kini walaupun pernah ada kalanya berselisih sepatah dua kata...

Apakah generasi saya dalam dunia ham radio di malaysia dapat melakukan seperti mereka lakukan?. Kini bilangan komuniti atau persatuan berkaitan hobi ini terlalu banyak berbanding dulu. Malahan sahabat saya di sisi yang sama-sama berkecimpung hobi ini kian jauh dan tidak lagi kedengaran khabar. Jika saya tahu di mana mereka pasti saya akan jejaki mereka...

Semoga kita punya peluang untuk berjumpa...





Rabu, 20 Jun 2007

Malam mendengar radio

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Saya masih lagi agak sibuk untuk mengemaskini laman ini. Rasanya ini ialah posting terpendek saya. 2 minggu lepas saya ada menerima email dari seorang pembaca yang bertanyakan saya tentang Peperiksaan RAE. Maaf En. Ngatiman dari Kapar, persoalan anda terlalu lewat untuk saya jawab kerana peperiksaan RAE telah pun berlalu ketika saya menulis blog ini. Walaubagaimanapun mungkin soalan kedua anda mungkin boleh saya jawab.

Pertanyaan kedua beliau adalah berkisar tentang strategi untuk menguasai sekurang-kurangnya 40% soalan dalam RAE. Saya dimaklumkan bahawa kebelakangan ini kebanyakkan soalan dalam RAE adalah berkisar tentang Piawai Prosedur Pengendalian (Standard Operating Procedur atau SOP). Manakala soalan-soalan berkisar pengiraan telah dikurangkan. Terpulang pada tuan-tuan untuk memastikan yang mana yang harus difahami. Difahami?dan bagaimana menguasai SOP?.

Biasanya kita akan lebih mudah memahami sesuatu perkara tatkala ianya menjadi perkara yang kita selalu kita lakukan. Maka cara terbaik ialah mempraktikkan ia. Dan bagaimana sedangkan seorang yang belum mempunyai lesen mempraktikkan kerana mungkin ketiadaan medium? Nah, maka terdapat beberapa inisiatif rakan-rakan ham mewujudkan pelbagai cara. Ada yang mengadakan kelas-kelas SOP radio amatur, ada juga yang memperuntukkan suatu jaluran bukan amatur untuk memberi peluang SWL (takrifan yang sebenarnya merujuk pada pendengar siaran kormersil di gelombang pendek tetapi kini dirujuk sebagai peminat amatur radio belum berlesen) berbicara secara bebas sesama mereka dalam ruang lingkup SOP amatur. Dan ada juga mewujudkan hari-hari istimewa warga SWAL (takrifan yang sama seperti SWL tetapi merujuk pada pendengar khusus gelombang amatur) mempergunakan callsign radio amatur individu berlesen untuk berkomunikasi sambil dipantau oleh pemilik callsign terbabit.

Pada pendapat saya aktiviti ini ada baiknya berbanding keburukkannya. Tinggalkan keburukkannya....Yang pertama ia membantu membentuk keberanian individu SWAL berkomunikasi di khalayak ramai (diudara). Keduanya membantu membentuk individu supaya mampu berkomunikasi mengikut lingkup SOP yang betul melalui kod Q, tatacara mengendalikan komunikasi ramai stesyen, keutamaan-keutamaan dan yang penting menghindari 5 perkara dalam perbualan. Ketiganya membantu mempertajam kemahiran serta idea dalam komunikasi spontan dalam penyampaian. Ketiga-tiga ini mampu mempersediakan SWAL untuk menghadapi soalan-soalan SOP di dalam RAE.

Oh ya, bercakap tentang perkara ini saya masih teringat. Saudara Abd. Rashid atau dikenali dengan panggilan manja 9W2YR banyak menyimpan kenangan apabila memperkatakan tentang SOP dikalangan SWAL. Perjuangan beliau dalam memberi peluang anak-anak muda mendekati dunia radio amatur banyak bertitik tolak dari penganjuran malam SWL beliau. Saya masih ingat apabila pertama kali menetap di TTDI Jaya, saya diajak oleh rakan-rakan mengikuti malam SWL anjuran Pak Yob. Antara beberapa anak-anak muda yang berjaya mendekati alam amatur ini termasuklah saudara Shafik dan beberapa lagi rakan-rakan dari bidang 4X4 ketika itu. Antara gambar-gambar diera tersebut boleh dicapai di http://www.astra.org.my/gambar/pics01/gam_yopromeo.htm .

Itu gambar-gambar di era tersebut di Ibu Kota. Jika di Utara juga sama meriah.... malangnya saya tidak mempunyai koleksi gambar-gambar kenangan itu. Saya juga ada menerima kiriman email dari Shaharuddin tentang gambar-gambar malam SWAL yang lepas. Saya sertakan gambar malam tersebut untuk tatapan rakan-rakan.

Malam SWAL di Kelana Jaya anjuran Pak Yob dan warga Shah Alam


Malam itu aktiviti dilimpahi cahaya stadium Kelana Jaya


Sudah pasti ada pemerhatinya


Antara mereka yang hadir....



Dan mereka yang terpaksa 'bertugas' hehehehe...
Lalu berakhir di....
Dan berlakulah pertemuan sahabat yang terpisah......


Tumpuan pada SOP..... apa yang boleh...

dan yang tak boleh masa berkomunikasi...
Saya juga tertarik pada hasil buatan tangan rakan ini.

Sebuah transceiver boleh ubah yang kemas

Cantik

Dan lain dari yang lain

Demikian catatan perjalan saya kali ini. oh ya saya terlupa sesuatu. Buat Saudara 9W2BCT, kuatkan semangat anda. Harapannya mudah-mudahan anda cepat sembuh. Insyallah...


Beliau sempat tersenyum semasa lawatan Pak LT


Itu saja dari saya, masih banyak lagi tugasan yang harus saya laksanakan. Dua guni jagung yang saya beli semalam belum dibersihkan. Esok semua itu harus saya jual di pasar malam... Harapan saya moga-moga jualan jagung rebus saya malam esok memberansangkan berbanding minggu lepas. Sambil membersihkan jagung-jagung malam ni saya mendengar radio..... 73!!




Isnin, 16 April 2007

Mari bermasyarakat..

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada semua pembaca yang setia.


Saya dapat rasakan yang blog ini mungkin akan meniti zaman penghujungnya tidak lama lagi. Kesibukan pada laman web yang lain dan faktor masa semakin mencemburui. Terima kasih pada Encik Mutalib 9W2SQL atas memperingatkan saya tentang kepentingan dokumentasi dan penekanan konsep jurnal dalam penyampaian, semua itu akan saya ambil kira.


Dalam meniti minggu-minggu mendatang ini agak bosan semuanya. Hidup ini jika hanya makan, tidor, pergi kerja dan sebagainya sebenarnya agak hambar. Tambahan lagi orang-orang seperti saya di perantauan. Alhamdullillah hobi radio amatur memberi saya pengisian yang bermakna apabila datang saat-saat bosan.


Beberapa minggu lepas saya dijemput oleh pak Mahadi bersama-sama komuniti ham radio Shah Alam berkhemah di pantai Morib. Hummmm... menarik jugak ni. Walaupun agak terlewat untuk saya ikut serta tetapi kehadiran pada malam itu amat memberangsangkan. Ketam dan ikan segar dipindahkan terus dari bot ke pantai di mana kami berkhemah. Woww..... beza... memang berbeza konsep komuniti ini berkampung. :)


Saya dimaklumkan aktiviti ini kerap dilakukan oleh komuniti ham shah alam dan ham-ham yang lain dimana platform ini dijadikan ruang untuk bersama keluarga, melepaskan tekanan selepas seminggu bekerja dan juga merapatkan hubungan antara keluarga sesama ham.

Antara aktiviti sampingan yang diadakan termasuklah DXing HF, CBer, Chit chat, makan-makan dan ada juga yang menjala ikan bersama keluarga!!


Saya amat tertarik dengan alunan tiupan udara dari laut ke pantai yang amat mendayu-dayu.... indah di sebalik melihat dari dalam kegelapan sekumpulan keluarga ham mengutip hasil dari pukat yang dipasang. Sambil itu saya duduk di hadapan unggun api dan ditemani statik bunyi hf dari sebuah radio CB terpasang... indah... cukup indah. Di tengah lautan kelihatan cahaya kapal berbaris untuk masuk ke perlabuhan Klang.


Malam itu hidangan nya juga cukup istimewa, ketam bakar dan ikan segar..........peh!

Tiada apa yang boleh saya ungkapkan kerana apabila mengenangkan kembali malam itu membuatkan saya kerap berhenti menulis....


Antara pesawat pemancar yang digunakan pada malam itu.

Dan sudah tentu apabila ada pesawatnya sudah ada wujud pula pengendalinya

Tetapi bila ada pengendalinya pasti ada bomohnya heheheeh... 9w2OO
Kedatangan saya pada malam itu disambut dengan sergahan pak Din 9W2GTi, nasib baik bukan dalam uniform hehehe...
Hidangan istimewa malam itu... segala-galanya segar!!
Di balik unggun api.....
Disamping itu juga interaksi antara warga radio berjalan dengan harmoni. Rakan-rakan dari sekitar Banting dan Kelang juga hadir. Pak Mahadi 9W2MDY berbaju kuning sebagai tekong pada malam itu.
Pemilihan lokasi pada malam tersebut agak cantik kerana pantainya yang landai dan surut. Ada rakan ham yang memasang pukat. Peh!!. Perhatikan jarak saya, bentuk lantai pantai dan cahaya dimana aktiviti memukat dijalankan jauh kelaut... boleh berjalan kaki sahaja ke sana dari pantai!
Hari pun beransur cerah.... pemandangan nyaman di situ yang sempat saya ambil.
Demikian berakhir lagi perjalanan saya bersama-sama hobi radio ini. Siapa kata hobi ini menghalang seseorang itu bermasyarakat dan terperap di rumah sahaja? Ini yang istimewanya hobi ini :)
Satu gambar yang sempat saya ambil di mana secara tidak disengajakan timbul dalam kamera saya. Misteri... saya gagal mengenalpasti lembaga tersebut. para pembaca boleh membesarkan imej gambar di bawah dan mungkin lebih arif tentang susuk misteri di bawah pokok besar yang agak seram juga jika anda berada keseorangan di bawahnya....
Demikian sahaja coretan pengalaman saya kali ini. Kepada para pembaca setia diharap memahami kenapa saya agak kurang mengemaskini laman ini lagi. Dan diharap ini bukanlah posting terakhir... itu saha. Oh ya, satu lagi gambar terakhir saya paparkan... ingat lagikan, di awal tadi saya memilih mengatakan lokasi perkhemahan yang dipilih adalah cantik? Ya, memang cantik kerana pada waktu saya tiba, hari telahpun malam. Hinggalah ketika saya ingin pulang pada pagi itu.... papan tanda ini membuatkan saya rasa sedikit seram apabila beredar dari kawasan perkhemahan tersebut.......hehehee.....
Terima kasih dan..73!!
p/s : Terima kasih pada komuniti Ham Shah Alam, Banting terutama 9W2MDY dan 9W2GTi atas jemputan ini. Segala-galanya terbaik!! Ketika saya beredar... acara di tapak perkhemahan, pelbagai acara menarik masih berjalan... termasuklah acara 2 meter net Ceria bersama Astra pagi Ahad yang diacarakan dari tapak perkhemahan tersebut.
Related Posts with Thumbnails