Anda adalah tetamu ke blog ini.

Rabu, 14 Februari 2007

Rumah Api Ke Udara a.k.a Light House On The Air

Assalamuailaikum dan salam sejahtera semua.


Kebelakangan ini saya agak keletihan kerana banyak tugasan yang perlu saya selesaikan sebelum menjelang Chinese New Year.


Minggu lepas saya berkesempatan mengikuti rakan-rakan ham di selangor memancing di sekitar permatang sedepa. Ada beberapa gambar yang menarik boleh saya kongsikan bersama.


Apapun motif yang membuatkan saya ke sana kerana ingin mengendalikan QSO di sebuah rumah api yang terletak ditengah-tengah selat melaka antara Kelang dan Bengkalis Sumatera. Dalam istilah yang lain ialah Light House On The Air .
Malangnya rancangan saya menemui kebuntuan kerana atas dasar keselamatan. Hanya beberapa stesyen yang dapat saya QSO terutama dari India VU dan Australia VK manakala Indonesia YB0,7, YC5,6 mendominasi perbualan saya. Lain-lain komunikasi hanya dapat dilakukan di VHF terutama rangkaian repeater ASTRA, Nesrec, Telapak Buruk dan Marts Linking. Selebihnya saya habiskan perbualan dengan memancing dan memasak hehehe.... Apapun saya berpuashati dengan stesyen yang saya QSO pada hari itu.
Ini merupakan persinggahan saya yang ke 2 di kawasan persekitaran Permatang Sedepa
Persinggahan yang lepas hanyalah melalui sahaja dan atas tugasan kerja. Rumah api disini adalah petunjuk permulaan perjalanan saya hingga ke pulau jarak sebelum pulang kembali ke jeti.
Antara perkakasan yang di bawa ialah Antenna Tuner MFJ 949, Yaesu FT817, Dipole (sepanjang hampir 40m) dan untuk komunikasi VHF, beberapa rakan ham yang bersama saya membawa 5/8 wave 2 meter antenna, telescopic antenna dan Icom V8.


Entahlah, saya seakan meminati corak qso sebegini. Jika saya berkomunikasi di rumah adalah berbeza dengan berkomunikasi di field day. Berkomunikasi atau menjalankan hobi ini di luar rumah memberi saya satu kepuasan. Ini kerana sambil saya melihat alam luar, saya juga dapat menguji kemampuan saya dalam mengendalikan stesyen amatur dalam keadaan yang terhad dari segi ruang, mobiliti dan kuasa (bekalan kuasa dan kuasa pemacaran). Disamping itu saya dapat menguji keupayaan antenna saya di pelbagai bentuk muka bumi.


Tetapi tahukah anda, mengendalikan stesyen di luar dari base sebenarnya lebih memberi ruang pada kita saling bekerjasama dengan ham yang lain dan mengeratkan hubungan persahabatan? Mari saya berikan contoh, ketika di field day atau contest, sesuatu stesyen radio amatur adalah mustahil digerakkan secara orang perseorangan dalam tempoh 24jam. Di sinilah perlunya semangat berpasukan dalam bergilir-gilir mengendalikan transceiver. Aktiviti sampingan seperti BBQ dan chit chat ringan membantu antara rakan-rakan ham saling mengenali. Jika stesyen tersebut di setup di rumah pula bagaimana?


Jika di base, pergerakkan rakan-rakan ham yang ikut serta adalah terhad. Sudah tentu kerana ia rumah orang. Adalah suatu yang tidak elok atau sopan jika terlalu bebas di rumah orang hingga mengganggu keluarganya. Tetapi jika di field day? bebas :)


Di bawah ini ialah beberapa gambar yang saya kongsi bersama dengan rakan-rakan. Malangnya gambar ini ialah gambar lama tetapi jika ingin melihat yang terbaru boleh melawati link ini.
Pemandangan Permatang Sedepa atau One Phanthom bank

Dua rumah api dari 2 zaman. Rumah api yang kecil merupakan rumah api yang dibina pada tahun 1881 oleh Inggeris. Menjelang 1 November 1999 tepat matahari jatuh, rumah api ini ditamatkan perkhidmatan dan warta dikeluarkan bagi rumah api baru mula berkhidmat hingga kini.


Dan sudah tentu apabila warga amatur tiba disini.....

Jika dilihat dari pentas pemetaan sempadan antarabangsa, permatang sedepa merupakan lokasi strategik dari segi ekonomi dan keselamatan kerana terletak ditengah-tengah selat melaka. dari lokasi saya, tanda sempadan Indonesia boleh dilihat jelas dengan lensa saya. Maka tidak hairanlah jika isu keselamatan adalah sangat dititikberatkan disini bagi para pemancing.

Lubuk pemancing disini ialah di tapak di mana terdapat beberapa kapal karam dan tongkang karam menjadi kediaman pelbagai spesis hidupan maritim. Dijangka dalam tahun ini kebanyakkan kapal-kapal karam disini akan dikeluarkan. Rasanya satu lagi kehilangan daya tarikan mungkin berlaku disini.

Dan sepanjang saya di sana saya dibantu dan diberi tunjuk ajar oleh 9W2BYE yang merupakan orang lama dalam industri perikanan memancing. Pertemuan saya dengan beliau membuatkan saya meninggalkan radio kesayangan saya seketika demi satu lagi hobi... memancing. :)
Hahahaha.... Alhamdullillah perjalanan saya kali ini agak menyeronokkan. Walaupun hanya mendapat ikan-ikan kecil tetapi hasil yang diperoleh oleh rakan-rakan lain membuatkan saya teruja. Kerapu.... sotong... ikan pari dan banyak lagi memberikan saya kepuasan yang tak terhingga. Mungkinkah ia mampu membuatkan saya bertukar hobi? Siapa tahu... atau saya perlu menukar slogan Komuniti DXpedition kepada Komuniti mancing dan DXpedition ? :P
Begitulah perjalanan saya minggu ini. Selain saya terdapat beberapa komuniti ham radio di Malaysia yang juga akan mengadakan Ekspedisi Field Day. salah satunya ialah di Pulau Layang-layang dimana infonya boleh dicapai di http://9m4sdx.marts.org.my/ . Ia mengingatkan saya pada 9M0 iaitu di Pulau Layang-layang pada tahun 1998

Mmmmm.... ada sesuatu yang saya harus selesaikan. Mungkin jika ada kesempatan saya akan menulis lagi. Oh ya, ada mesej baru masuk dalam talian bimbit saya, Forest On The Air (FOTA??) satu komuniti di sini akan menganjurkan aktiviti ini pada sabtu ini. Insyallah jika ada kesempatan saya akan ikut serta.... 73 babai!!!

:)

Selasa, 6 Februari 2007

Matlamat menghalalkan cara....

Wooooo.... malam ni saya agak kesenakkan perut. Tom yam yang saya masak tadi agak pedas. Segenggam setengah cili padi dimasukkan ke dalam periuk dek kerana diperli oleh rakan-rakan yang setiap kali masakan saya selalunya tak pedas.... bukan saya sahaja, malahan rakan-rakan yang lain juga sudah mula berulang alik ke kamar kecil heheheeh....

Jam didinding menunjukkan jam 4 pagi...

Tiada apa yang boleh saya buat. Nak buat itu tak selesa, nak buat ini tak selesa. Alih-alih saya hanya terduduk dikerusi ini sambil menyelak-nyelak kertas di atas meja ini samada ada kerja yang boleh saya buat. Oh!.. ada suatu fail yang sudah sedikit berdebu yang sepatutnya saya uruskan tahun lepas masih ada terselit di atas meja. Eh JK69!!

Borang ini masih belum terusik setelah hampir 1 tahun di dalam simpanan. Untuk pengetahuan para pembaca, terdapat satu cara di mana kita diperbolehkan untuk mengimport masuk peralatan amatur. Prosedur-prosedurnya boleh dicapai di sini . ( http://www.marts.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=50&Itemid=25 )

Saya tidak dapat menulis panjang atas faktor perut yang kurang selesa (heheheeheh), rasanya cukuplah saya menyenaraikan beberapa keperluan yang diperlukan dalam memohon permit import peralatan amatur.

1) Borang JK69 yang telah diisi lengkap
2) Salinan Lesen Amatur dan salinan passport/kad pengenalan
3) Surat permohonan (dinyatakan tujuan import untuk tujuan pengecualian cukai)

Kes 1 - Jika peralatan yang ingin diimport ada dalam senarai diluluskan
3) Salinan senarai peralatan yang diluluskan oleh Sirim
( http://mcmc.gov.my/tenders/Amateur%20Radio%20Equipment%20List%20Notice.pdf )
4) Bayaran RM 30 sahaja.

Kes 2 - Jika peralatan tiada dalam senarai
5) Salinan Manual atau spesifikasi atau broucer (berwarna jika boleh)
6) Bayaran RM 180 (dan mungkin ada caj lain-lain)
(Pengguna mestilah bersedia untuk menghantar peralatan yang tiada dalam senarai ke SIRIM selepas diimport masuk untuk tujuan pemeriksaan dan rekod -jangan risau, tiada apa-apapun)

Permohonan yang telah lengkap hendaklah diajukan terus ke Bahagian Kelulusan Import Sirim Berhad di Shah Alam (Jika tidak silap saya bangunan No 4 atau 10). Pemohon digalakkan hadir untuk 'submit' permohonan. Biasanya proses permohonan selesai dalam satu hari jika pegawai Sirim terbabit ada di pejabat. Jika tidak ianya paling lewat keesokkan hari bekerja.

Bagi permohonan radio amatur, borang tidak perlu ditaip. Memadai ditulis dengan tangan dengan huruf besar dan jelas. Tulisan bersambung biasanya tidak dilayan. Lain-lain permohonan disyaratkan borang ditaip kemas.

Borang yang hendak diisi hendaklah terang dan tiada tanda pembetulan. Borang ini mengandungi 3 salinan dimana salinan berwarna Hijau akan diambil oleh pihak SIRIM, Salinan Biru akan diberikan pada pejabat kastam dimana pintu masuk barang akan diimport dan salinan putih adalah untuk anda.

Saya ingatkan buat semua pembaca, ketika mengimport masuk barang-barang nanti ianya mestilah diimport sekaligus. Tidak boleh barangan yang diimport dibawa secara berasingan pada waktu yang berbeza.

Di bawah ini ialah salah satu contoh mengisi borang JK69 untuk panduan para pembaca yang saya kasihi :)

KES - NAAZALI, SEORANG PEMILIK LESEN KELAS A INGIN MENGIMPORT MASUK SEBUAH PESAWAT PEMANCAR HF MODEL ICOM 718. BELIAU INGIN PERGI MEMBELI PESAWAT TRANSCEIVER KE SIM LIM TOWER (SUN EAST LTD) SENDIRI DAN MEMBAWA PULANG KE MALAYSIA MELALUI TAMBAK JOHOR.

Langkah 1 : Pastikan Model yang ingin diimport adalah layak menurut lesen beliau dengan merujuk pada senarai peralatan yang diluluskan oleh MCMC

Langkah 2 : Memastikan model pesawat terdapat di dalam senarai


Langkah 3 : Mendapatkan Borang JK69 dari Jabatan Kastam atau SIRIM. Biasanya SIRIM mengenakan caj RM2 untuk satu set borang.

Langkah 4 : Mengisi ruang-ruang sebagaimana di bawah (maklumat kedai menjual dan cara barang tersebut akan dibawa masuk). Dan tandatangan bersama tarikh.

Langkah 5 : Menyenaraikan barangan (bersama aksesori) yang ingin dibawa masuk ke Malaysia.
Langkah 6 : Menyenaraikan kuantiti yang akan dibawa masuk. dan jangan lupa menyatakan kod tariff Kastam untuk barangan radio amatur (kerana kod ini membawa pengertian kategori pengecualian cukai import). Ingat nombor ini 852520200.


Langkah 7 : Baca syarat-syarat dibelakan borang. Sertakan dengan lain-lain dokumen sebagaimana yang disebutkan di atas. Jika terdapat sebarang pertanyaan atau kurang jelas bolehlah diajukan pada pegawai SIRIM terbabit. Insyallah, sepanjang saya berurusan dengan pegawai tersebut saya dilayan dengan baik dan persoalan tentang kekeliruan dibalas dengan berhemah.


Bagi kes kedua iaitu barangan tiada di dalam senarai, juga serupa seperti langkah 1 hingga 7.

Nampaknya tulisan saya berakhir disini kerana perut saya sudah meluak-luak.... ada sesuatu yang harus dihamburkan....hehehehe

73!!!






Isnin, 5 Februari 2007

Jalan yang benar dan diredhai...

Salam sejahtera semua para pembaca yang budiman.

Artikel ini menjawab persoalan-persoalan rakan-rakan amatur di suatu mailing list. Ianya bermula apabila saudara (Zeks bukan nama sebenar) mengutarakan konsep pembelajaran kod morse yang dianjurkan oleh komuniti rakan-rakan ham di ibu kota. Diharap ianya tidak mengganggu para pembaca, sekadar pendapat peribadi saya.

Saya sekadar mahu menceritakan pengalaman saya dengan situasi yang dicoretkan oleh rakan-rakan. Walaubagaimanapun harap ianya tidak membuat mana-mana rakan-rakan kecil hati dan mengundur diri dari mempelajari CW. Tahniah buat rakan-rakan yang menduduki kelas tempohari, suatu perkembangan yang positif dan amat dibanggakan.

Pengalaman saya menduduki peperiksaan CW mengajar saya pengalaman yang amat perit, malangnya saya sendiri yang yang menjadikan situasi ini.

Ketika pertama kali saya bersedia menduduki peperiksaan CW, saya yakin.. malahan dengan sombong mengatakan saya mampu lulus dengan cemerlang. Persediaan diatur dan hari peperiksaan tiba. Keputusannya saya gagal! Ianya memberi kesan yang amat mendalam... malam selepas peperiksaan itu saya membawa diri merajuk... hingga ke Ipoh. Malam itu saya dimotivasikan oleh 9W2EI. Ya saya mengaku, saya kurang latihan. Terima kasih juga 9W2KW atas sokongan moral.

2 Bulan selepas itu saya tekad.. jadual ketat diatur, disiplin dikunci dan latihan berjalan. Saya belajar dan terus belajar memahami CW. Kekunci diketuk 2 bulan tanpa henti. Saya puas dan yakin dengan kemampuan saya. Hinggalah tiba ke hari peperiksaan CW... saya tewas!! malam itu saya membawa diri... tapi tidak jauh hanya ke rumah di Jalan Kolam Kuala Lumpur. Beliau memujuk saya ingin tahu cara yang saya belajar tanpa henti itu? Ya saya mengaku saya belajar cara membayangkan simbol dan menghantar dengan key.

Beliau mengatakan saya salah konsep!! katanya tidak pernah beliau mendengar juru-juru operator radio belajar sedemikian sepanjang 50 tahun penglibatan beliau dalam hobi ini. Bingung saya.. Carian di google menjawab segala-galanya.

Oh ya.. kata-kata beliau adalah sama seperti semua rakan radio amatur lesen A yang saya temui ceritakan. Hinggakan ketika saya di suatu festival amatur di Indonesia, saya ditertawakan oleh rakan-rakan radio amatur di dalam suatu dewan (ramai juga) atas kenyataan saya tentang cara yang lebih afdal belajar CW. Saya malu ketika itu. Tetapi ditenangkan dengan nasihat yang bernas selepas itu oleh rakan-rakan ham di situ.

Ketika pulang ke kampung, ayahanda menggelengkan kepala bila mengetahui yang saya gagal lagi. Katanya kalau tak berjaya lagi lebih baik jangan ambil. Bila diberitahu cara terakhir saya belajar CW, beliau spontan berkata, 'Bodoh, hang belajar nak hantar ka nak terima?'. Selepas hari itu saya tidak lagi mendengar komen ayahanda tentang CW saya.

Saya mula membetulkan cara/teknik belajar kod morse.. tiada simbol yang harus diingat atau hafal. Hanya 'dengar' dan terus 'nampak' (tahu). Ya.. Ianya berkesan! Alangkah indahnya kalau saya tahu lebih awal. Makin lama makin asyik (mengambil motto TPI Indonesia). Dan kelajuan menyalin semakin laju. Dikemuncak pembelajaran saya, saya mampu menyalin kelajuan hampir 18wpm tanpa kesalahan selama 5 minit!! Malangnya saya tinggal 19 hari dari tarikh saya mula belajar ke tarikh peperiksaan. .. sempatkah saya?

Pertemuan saya dengan Mr. Sugasan 9W2BBB membantu saya mengenal teknik menerima CW. Katanya belajar apa yang bakal disoal sahaja. Beliau mengajar saya teknik meneka apakah huruf selepas huruf.. (Oppss.. ni dah advanced ni, nanti saya ceritakan pada artikel yang lain).

Apapun sepanjang 18 hari pembelajaran saya hanya belajar mendengar sahaja. Tiada simbol, tiada objek, tiada delay dan terus otak terjemahkan huruf. Mudah, pantas dan lebih laju dari CPU Intel (sebab CPU pun perlukan RAM). Dan pada hari terakhir baru saya belajar menghantar. Wow.. mudah gilerrr.. Dari otak saya hanya mengenal bunyi ia spontan menukarkan ke huruf. Ia seperti ibarat kita mengingati bunyi ton SMS yang masuk itu (dit dit dit-da da-dit dit dit) dan tangan terus mengetik kekunci CW. Cuba lakukan sekarang dengan mengetuk jari anda ke meja, kan mudah? :) berbanding anda cuba bayangkan satu persatu titik-titik itu dan dash dash itu kemudian baru mengetuk. Ada delay kerana memikir.

Harus saya ingatkan bahawa semasa peperiksaan nanti huruf-huruf itu akan dihantar tanpa henti. Delay yang terjadi semasa menerima (disebabkan calon terpaksa 'memikir' baru menterjemah) menyebabkan terdapat huruf yang tertinggal. Otak kita walaupun berkelajuan CPU komputer tetapi ada kelemahannya. Otak kita hanya boleh memberi tumpuan hanya pada satu benda sahaja pada satu-satu masa. Adakah otak tuan-tuan boleh berbuat lebih dari itu?

Jadi kesimpulan yang saya belajar ialah belajar mendengar dulu dan faham terus tanpa sebarang simbol sebagai perantara jauh lebih pantas dari sebuah CPU Intel MMX atau yang paling perlahan Motorola 6388 (kit dalam makmal untuk pembelajaran) . Ianya secara tidak langsung boleh 'revearse' apabila masuk ke sesi menghantar pula.

Saya mengambil masa satu hari sahaja belajar menghantar :), bukan saya sahaja malahan ketika saya di festival ham (seperti yang saya ceritakan di atas) ketika soalan ditanya oleh penceramah berapa ramai yang boleh belajar menghantar CW dalam satu hari, hampir kesemua ham di dalam dewan itu mengangkat tangan. Saya tidak percaya (ketika itu). Dan akhirnya terbukti apabila saya membetulkan kaedahnya.

Hari peperiksaan dinanti-nantikan tiba. Walapun bilangan calon menyusut 5 kali ganda rendah berbanding peperiksaan CW saya yang pertama tetapi kali ini hati saya tenang. Tiada tanda riak lagi dihati. 2 lagi wajah ham yang sama-sama dengan saya mengambil CW buat kali ketiga masih setia di dewan peperiksaan. Alhamdullillah. Saya lulus. Kegembiraan yang tiada galangnya. Melompat-lompat saya di dewan itu selepas melihat keputusan peperiksaan, mahu saja saya peluk Receptionist kat kaunter MCMC (sebab lawa heheheh).

Dan ianya hanya terhenti pada jam 7 petang hari yang sama apabila saya menerima khidmat pesanan ringkas 9W2FOX bilamana pemergian orang yang mengajar saya kembali ke ajaran CW yang benar buat selama-lamanya. Malam itu saya bergegas ke Jalan Kolam. Al-fatihah....




p/s: Semoga pengalaman saya ini akan membantu rakan-rakan yang ingin ikut sertakan bersama-sama dengan kami di HF. Marilah... kami amat kesunyian di HF... hehehehe..

p/s: Bagi rakan-rakan yang berminat dengan CW jangan kecil hati atas pendapat saya. Ianya subjektif tentang corak pembelajaran CW. Dan percayalah, saya mengambil 2 kali CW sebelum berjumpa dengan jalan yang benar dan diredhai...

p/s: Usaha tangga kejayaan!!

Khamis, 1 Februari 2007

Dimana Idea saya bermula....

Salam sejahtera buat semua pembaca...

Hari ini saya agak lapang, almaklumlah cuti umum sempena Hari Thaipusam. Kebetulan pula pada hari ini jatuh hari Wilayah Persekutuan. Banyak email yang terpaksa saya jawab dalam minggu ini. Dalam banyak-banyak email yang saya terima, salah satunya agak menarik hati saya.

Budin (bukan nama sebenar) berasal dari Lambor (Kiri), Sidang (Kiri) Bota (Kiri) (isshh... banyaknya kiri). Beliau merupakan penghantar email saya sejak tahun 1998. Kali ini beliau bertanyakan tentang bagaimana saya mendapat kreativiti dalam mencari projek-projek yang boleh dilaksanakan dalam aktiviti masa lapang.

Kretiviti melalui idea boleh tercipta apabila berlaku kekurangan, keperluan dan penambahbaikkan yang perlu dilakukan. Ini merupakan 3 teras kreativiti saya. Misalnya katakan Mic PTT saya rosak, maka adanya keperluan. Bila ada keperluan tetapi harga Mic PTT baru pula mahal dan memerlukan wang yang cukup, ketika ini wujud pula situasi kekurangan. Dan apabila idea wujud maka sudah tentu saya inginkan satu Mic PTT yang lebih baik dan disinilah wujudnya penambahbaikan.

Tetapi ada juga situasi idea wujud apabila saya bertemu dengan sesuatu.... Dan ianya mengimbas kembali ketika saya berada di Pulau Mutiara.

Lorong Kulit banyak menyimpan kenangan pada saya. Asalnya aktiviti Lorong Kulit bermula di Penang Road hinggalah MPPP memindahkan ke lokasi sekarang. Lorong Kulit atau lebih popular dengan panggilan Rop Walk merupakan pasar jalanan di mana terdapat banyak peniaga yang memperdagangkan barang-barang terpakai dan lusuh. Jika anda bernasib baik anda mungkin akan menemui Mesin Pendua (Fotokopi) yang masih baru dijual dengan harga hanya RM200 sahaja. Begitu juga perkakasan elektronik yang masih boleh berfungsi dijual dengan harga lusuh. Jika anda pandai tawar menawar mungkin boleh memperolehi barang-barang yang diminati serendah RM1!!
Berbalik pada bagaimana idea saya boleh muncul, sukar untuk saya khabarkan kerana ianya secara kebetulan apabila bertemu dengan sesuatu dan spontan. Rop Walk menawarkan pelbagai pakej yang menarik. Jika anda inginkan modifikasi pada Speaker radio anda, speaker hand phone nokia yang terdapat di dalam kereta ada. Jika anda mahukan Variable Kapasitor anda boleh perolehi dari radio-radio lama. Jika anda inginkan PPT mic, jika bernasib baik anda mungkin temui. Jika anda terfikir untuk mencari connector handphone anda untuk tujuan homebrew pun ada disini. Begitu juga kepingan hard disk terpakai untuk tujuan ground plane antenna mobile pun ada.
Bak kata iklan di Astro... Macam-macam ada.....hehehehe
Parking motosikal di Rop Walk berharga 50sen... Nak murah parking di luar kotak ajer.

Perhatikan barang-barang yang dijual, kadangkala pengamatan yang lama barang-barang ini memberi saya idea untuk merekacipta sesuatu. Terlalu banyak barang-barang jenis ini. Ianya jauh lebih rancak berbanding pasar karat di Ibu Kota.









Walaubagaimanapun ada juga peniaga-peniaga yang sepatutnya diutamakan berniaga di dalam ruang perniagaan Rop Walk disisihkan.







Tawar menawar adalah satu kemestian, jika tidak anda pasti kerugian.





Antara barang-barang yang saya temui mempunyai beberapa komponen yang boleh digunapakai seperti variable kapasitor, VFO dan.... Valve nya :)



Juga kebetulan semasa pemergian saya ke sana saya bertemu dengan osiloskop yang ditawarkan dengan harga RM50. Saya agak kurang pasti apakah ianya masih berfungsi atau tidak. Dalam lewat tahun 2001 saya pernah bertemu Spektrum Analyzer yang dijual oleh penjual yang sama. Juga motosikal antik jenama Norton dan Triumph. Harga pun boleh tahan juga bagi peminat barangan ini.







Saya juga pernah bertemu dengan lencana sekolah yang tercatat nama saya di Rop Walk. Mungkin saya bernasib baik kerana setahu saya Bonda telah pun membuang lencana tersebut 2 tahun sebelum saya menemuinya semula di Rop Walk. :)

















Dan setelah selesai mengharungi kesesakkan para peniaga Rop Walk, sebelum pulang saya selalunya akan menjamu ais kacang disitu dan Mee Macha....




Antara barangan yang saya pernah bertemu ialah sebuah Booster jenama DX Antenna. Ianya banyak membantu saya dalam hobi DX TV. Booster ini membantu saya menangkap isyarat televisyen Indonesia seperti RCTI, SCTV, TransTV dan Indosiar. Satu lagi lokasi di Pulau Pinang yang mempunyai pasar sebegini ialah Taman Selat yang terletak di Bagan. Pernah suatu ketika dulu seorang ham iaitu En. Johari (9W2XO) telah kehilangan sebuah pesawat mobile di dalam kereta beliau kerana dipecah masuk. Kebetulan beberapa hari kemudian 9W2TQ datang ke Taman Selat dan terjumpa pesawat mobile Johari dijual disana. :)

Begitulah kenangan saya di Rop Walk atau nama lainnya Lorong Kulit. Selain Pulau Pinang terdapat juga beberapa tempat yang menjual barang-barang seperti di Rop Walk. Satunya yang agak popular ialah di Lokin di Ipoh. Lokasi dahulunya di tepi sungai Kinta kini telah berpindah ke belakang Pasaraya Ocean. Juga di Singapura di belakang Sim Lim Tower berhadapan Jalan Besar. Mungkin ada rakan-rakan yang mengetahui lokasi lain bolehlah emailkan pada saya untuk dikongsi bersama.



Perjalanan saya di Pulau Pinang berakhir lagi. Ianya menyimpan kenangan yang banyak... penuh dengan idea-idea kreativiti yang masih ligat dalam fikiran saya...... :) 73!!

Empat segi menawan di hati

Ketika artikel ni ditulis saya sedang menonton filem Behind Enemy Lines. Cantik juga radio Burnett yang gunakan dan bagaimana sebuah antenna rubber duckie sebuah beliau mampu menghubungi markas di atas Carrier? Freq apa yang digunakan? Atau satellite transmisi mungkin. Sambil itu laman mel saya menunjukkan ada mesej yang masih masuk.

Wow... banyaknya email yang saya terima dari pembaca yang bertanyakan bermacam-macam soalan.


Apa yang menarik perhatian saya ialah email dari pembaca benama 'John' (bukan nama sebenar) menceritakan masalah yang beliau apabila ingin ingin berkomunikasi jarak jauh menggunakan 2 meter. Dari antenna yang beliau gunakan saya dapati terdapat kelemahan 'memilih' jenis antenna yang sesuai dikalangan amatur baru. Majoriti yang ingin DX, hanya mempunyai antenna jenis vertikal sahaja. Jika demikian, para pembaca harus memecahkan peraturan mengenai 'line off sight', kuasa pemancaran yang berganda ataupun mungkin propagasi. Untuk antenna dari jenis vertical, jarak jauh pemancaran dan line off sight adalah kriteria yang penting. Jika bernasib baik, propagasi akan membantu.

Walaubagaimanapun bagaimana anda mahu menjangkau jarak pemancara yang lebih hebat? Antenna dari jenis pengarah merupakan penyelesaiaan yang terbaik. Anda tidak perlukan Line Of Sight yang baik, Kuasa pemancaran yang terlalu tinggi dan apabila propagasi medukung ianya pasti memberi keputusan yang mengagungkan.

Terdapat pelbagai antenna dalam keluarga ini boleh digunakan. Misalnya antenna Yagi Dan Qubical Quad antenna. Saya mencadangkan pada John agar menggunakan salah satu dari jenis antenna tersebut.

2 minggu kemudian saya mendapat balasan mel dari John bertanyakan 2 perkara, macam mana rupanya antenna Quad? dan mana yang lebih bagus samada yagi atau quad.

Untuk menjawab persoalan terakhir John, saya senaraikan link laman web yang dapat membantu iaitu di http://www.cebik.com/quad/qyc.html . Pada pendapat saya pula Quad antenna memberi kelebihan yang lebih bagus berbanding yagi:

Kebaikan
1) Sensitiviti yang lebih baik.
2) Lebih Narrow
3) Gain yang tinggi berbanding yagi
4) Feed antenna tidak memerlukan gamma match/Stub dsb atau balun
5) Audio yang tajam
6) Binaaan yang mudah.

Keburukan
1) Tulang sokongan (boom dan palang memegang elemen) yang berat dan perlu kuat
2) Terlalu sensitif hinggakan jika lari sedikit arahnya, stesyen satu lagi langsung tidak dapat menerima isyarat.
3) Kedudukan Elemen quad pada antenna mudah berubah dan memberi kesan pada pemancaran (SWR, Gain dan direction)
4) Bahan Elemen biasa dugunakan ialah tembaga (mahal jugak)
5) Tak tahan lasak



Manakala Yagi pula:

Kebaikan
1) Ringan
2) Mudah alih
3) Gain yang ok
4) Lasak

Keburukan
1) Binaan yang kritikal cth memerlukan feeding spt gamma match, alpha match atau balun
2) Risiko matching yang tidak betul memberi kesan pada radio (Qubical Quad pun sama juga)
3) Binaan yang sedikit sukar berbanding Quad (tak la banyak.. sikit ajer)

Oleh yang demikian saya memilih Qubical Quad sebagai antenna pilihan saya bulan ini hehehehe..

Ianya tidak pernah mengecewakan saya. Hanya apabila burung bertenggek diatasnya yang membuatkan elemennya lari dan terlalu berat sahaja. Lain-lain sangat mengagumkan. Kalau dilihat radiation patern antenna quad, bentuk gelombang yang keluar dari antenna ini hampir 'straight' atau lurus berbanding yagi yang akan sedikit menyimpang. Ini bermakna jika anda menggunakan yagi, arah yang anda halakan belum tentu disitulah arah stesyen yang ditala. Ianya mungkin sedikit menyimpang ke kanan. Manakala quad, arah yang dihalakan hampir-hampir disitulah arah stesyen yang dipancar atau terima.

Perbandingan Qubical Quad dari kacamata kormersil boleh dilihat di sini .

Di bawah ini saya lampirkan beberapa gambar antenna Qubical quad milik rakan-rakan amatur di malaysia buat tatapan pembaca.

Antenna 4 Elemen Quad 2 Meter milik 9W2YR.


9W2QC juga memilih Quad antenna sebagai salah satu antenna untuk aktiviti komunikasi Satellite dan ISS. Perhatikan Elemen Quad beliau - 11 Elemen Quad 70cm


Mmmm.... apa kata Qubical Quad bagi freq yang lain? Di bawah ialah antenna quad milik 9W2AU yang berkendali di freq HF iaitu 10m band (mungkin 6m Band??). Lihat Bilah yang menyokong elemennya.. Besar dan mengerikan!!


Untuk memastikan antenna jenis quad ini memberi impak yang melampau, adalah sesuai anda bangunkan ia di kawasan yang tinggi dan tiada berhalangan. Misalnya seperti 9W2YR dimana beliau mampu mengakses rangkaian pengulang di Bukit Larut dan jika tidak silap saya Bukit Bendera Pulau Pinang dari Kelana Jaya.


Saya juga teringat lewat tahun 2002, ketika Pak Yob bermastautin seketika di Pulau Mutiara Pulau Pinang, Beliau selalu ber'DX' dari Gelugor Pulau Pinang ke Ulu Kali tanpa sebarang masalah dengan menggunakan antenna Qubical Quad. Artikel mengenai antenna beliau semasa tahun 2002 di Pulau Pinang boleh dicapai di http://www.geocities.com/astradioham/gam_quad4ele.htm .

Dan demi menjawab soalan terakhir dari John, beliau bertanyakan tentang laman-laman yang ada menyenaraikan koleksi projek antenna yang boleh beliau praktikkan atau homebrew. Saya tidak sempat menyemak koleksi-koleksi artikel antenna homebrew dalam koleksi saya tetapi cukuplah jika saya galakkan para pembaca melakukan carian sendiri di Google.com. Kadangkala anda akan bertemu dengan maklumat yang lain yang akan menyokong kajian anda. Satu laman yang agak popular tentang antenna homebrew ialah http://www.ac6v.com/antprojects.htm dan http://members.fortunecity.com/xe1bef/2meters-antenna.htm .

Walaubagaimanapun terdapat kelemahan yang terlalu ketara apabila anda menggunakan antenna dari jenis pengarah. Jika anda berkomunikasi dengan beberapa stesyen di pelbagai arah, anda terpaksa kerap memusingkan arah antenna anda. Juga potensi rakan-rakan lain tidak dapat mendengar pemancaran anda kerana antenna ditumpukan pada arah stesyen yang lain. Tambahan lagi apabila anda terpaksa menggunakan rotator untuk mengawal arah antenna ini. Bukankah ianya kos tambahan? :)

Oleh itu sebagai pengamal radio amatur berlesen, anda perlu bijak memilih antenna yang sesuai dengan motif, situasi dan kewangan hehehee......

Jadi selamat mencuba!! :)

73!!
Related Posts with Thumbnails