Anda adalah tetamu ke blog ini.

Sabtu, 29 September 2007

Tentukan hala tuju anda

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdullillah hari ini dapat lagi kita bertemu dalam lembaran yang agak terhad.

Saya masih lagi menunggu putaran akhir mesin basuh usang di dapur itu berakhir. Sambil itu saya melewati beberapa laman bercorak perbincangan umum berkaitan hobi ini. Apa yang membuatkan saya amat tertarik ialah keluhan seorang rakan radio amatur di negara tetangga yang melahirkan rasa bosan tentang hobi ini. Ya, saya seharusnya tidak menyalahkan beliau atas kebosanan tersebut. Tetapi apa yang diutarakan oleh rakan ini ada logiknya dan hampir menyamai sentimen yang berlaku di Malaysia mutakhir ini.

Saya percaya ramai rakan radio amatur yang membaca tulisan saya ini bukanlah dari teras (core) hobinya radio amatur. Mungkin kerana beberapa aktiviti atau hobi lain yang menemukan bidang radio amatur. Begitu juga ada yang kerana ajakan rakan-rakan lain atau menemani rakan semata-mata hinggakan terjebak dengan hobi ini. Perihal ini bagi saya yang akan menyebabkan mereka ini tidak lama dalam hobi ini.

Ini boleh dilihat dari statistik komunikasi pengamal radio amatur yang akan rancak apabila hari-hari pertama mendapat tiket. Graf ini akan semakin menurun hari ke hari hinggalah rakan ini tidak lagi kedengaran diudara. Ya, itu tidak mengapa tetapi lebih sadis ialah hinggakan terlupa kewujudan lesen sendiri dan akhirnya membawa kepada penamatan peruntukkan lesen tersebut. Itu yang malangnya.

Punca-punca 'kehilangan' mereka ini terlalu banyak. Dari perkara-perkara yang umum kepada yang peribadi. Dari yang melibatkan suasana sekitar hinggalah kepada soal yang remeh temeh.

Itu sebabnya ada rakan-rakan baru yang datang menyerahkan borang RAE untuk diajukan pada MCMC saya sering tanyakan apakah ianya datang dari minat atau semata-mata kerana ajakan kawan-kawan untuk menyertai alam radio amatur. Saya ingatkan yang mereka harus menetapkan apa hala tuju mereka apabila menyertai hobi ini. Hati mesti kental, hati mesti kering, sikap merendah diri harus dijunjung dan keterbukaan dalam pergaulan. Itukan konsep keperibadian dalam radio amatur kan? Jika dari awal kita tidak menetapkan dalam diri maka saya pasti hobi ini tidak akan kekal lama.

Dalam radio amatur, komunikasi bukanlah satu-satu caranya untuk menikmati hobi ini. Terdapat pelbagai cara kita boleh menikmatinya. Ada dikalangan pengamal radio amatur menikmati hobi ini melalui eksperimentasi dengan frequensi, elektronik ataupun alam. Mereka mencari masalah-masalah dalam hukum alam atau kejuruteraan dan menjana penyelesaiaan. Ada juga dikalangan rakan radio amatur yang bermasyarakat melalui hobi ini. Melakukan aktiviti-aktiviti masyarakat melalui pergaulan, kerja sukarela, khidmat bantuan dan sebagainya. Mereka ini jauh lebih matang dan berjaya mengikat hubungan baik sesama komuniti.

Begitu juga ada rakan yang menjadikan hobi ini sebagai platform melatih diri agar berketrampilan dan memahirkan diri dalam komunikasi secara aktif serta pasif. Mereka ini akhirnya mampu menjadi penyampai yang baik. Pembelajaran tidak berakhir begitu saja, warga amatur yang meminati komunikasi pelbagai bahasa juga boleh mengasah kemahiran berbahasa secara langsung. Pengetahuan tidak berakhir begitu saja. Anda juga dapat sentiasa didedahkan dengan pelbagai pengetahuan melalui interaksi radio amatur.

Bagi komuniti radio amatur yang berkongsi hobi ini dengan hobi yang lain mampu melancarkan hobi tersebut. 4x4, kaki mengembara ataupun kaki memancing mampu mempertingkatkan kepuasan berhobi masing-masing dengan adanya radio amatur. Ah.. terlalu banyak yang boleh kita bariskan di sini. Perkara yang penting ialah niat di hati tuan-tuan semasa mula tuan mejejakkan kaki dalam hobi ini. Dan apakah hala tuju tuan-tuan selepas itu.


Apabila para pembaca telah melepasi tahap-tahap awal dalam dunia radio amatur. Ianya tidak berakhir begitu saja. Proses pembelajaran masih lagi berjalan. Sebenarnya radio amatur adalah sebuah pengembaraan. Ia tidak berakhir selepas anda mendapat tiket A atau B. Ketika ini keterbukaan amat penting. Saya melihat seakan ada satu perkara yang kurang positif dikalangan pengamal radio amatur di Malaysia yang sukar untuk saling berkongsi pengalaman atau pengetahuan. Malahan sikap keterbukaan dalam menerima teguran atau pandangan juga semakin luntur selaras dengan usia individu terbabit dalam arena ini.

Satu lagi yang saya terperasan ialah sikap rakan-rakan yang baru mendapat tiket. Mereka memang dahagakan pengetahuan perihal dunia radio amatur. Malangnya terdapat satu sikap yang harus diubah iaitu 'disuap'. Saya amat-amat tidak menyenangi perangai ini. Misalnya ada rakan yang meminta rakan saya maklumat tentang antena slim jim. Bukankah perkara itu banyak terpampang dalam Internet? tetapi perihal itu pun diminta diberi bulat-bulat.. Oh!!

Generasi pemegang lesen radio sebelum saya jauh lebih berdikari. Dulu tiada internet. Jika adapun majalah yang difotokopi dari individu ke individu hinggakan salinan pada orang terakhir amat sukar dibaca. Tetapi mereka kejarkan juga. Mereka jauh lebih baik dari kita. Mereka bangunkan pesawat pemancar sendiri di zaman yang mana perpustakaan pun beratus kilometer dari mereka, apa lagi internet. Bagi saya biarlah kita usahakan dulu mencari maklumat itu kemudian barulah jika tiada kita turuti pada mereka yang disyaki mempunyai maklumat terbabit.


Demikian pendapat saya. Saya percaya jika anda ingin menjadi pengamal radio amatur yang juga menikmati hobi ini dengan baik, semua perkara ini hendaklah diambil kira. Insyallah, perjalanan anda menyusuri hobi ini akan lebis istimewa, terhibur dan penuh manfaat.


Keterbukaan, rajin berusaha mencari pengetahuan, berdikari dan berkomuniti dengan semua lapisan masyarakat tidak kira dari kem yang mana mampu membina mutu hobi anda. Buanglah semua sifat tidak elok. Insyallah anda pasti dihormati.
Nampaknya mesin basuh di dapur saya sudah berhenti berputar. nasihat dari saya mulai dari sekarang tentukanlah hala tuju anda dalam hobi ini. Jika tidak, anda akan menjadi seperti sesetengah rakan-rakan radio amatur yang lain yang kini terus senyap hilang ditelan masa.. kerana apa? kerana hilang hala tuju dalam hobi ini..... 73
Related Posts with Thumbnails