Anda adalah tetamu ke blog ini.

Ahad, 25 Februari 2007

Forest On The Air (FOTA)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Terima kasih pada Amir yang sudi mengingatkan saya tentang blog ini. Saya hampir terlupa untuk mengemaskini blog ini.

Penat juga, percutian saya yang agak panjang di Pulau Mutiara agak memenatkan. Sempat juga saya ke sempadan asalnya untuk menyeberang ke Hadyai atas urusan hobi tetapi atas beberapa nasihat dari pegawai Imigresen di sana saya membatalkan hasrat. Petang itu saya pulang ke kampung dengan hampa. Sampai saja di rumah, Epon kawan lama saya sudah berada di Rumah. Alhamdullillah sepanjang saya pulang ke kampung hanya beliau saja sahabat saya yang sudi menemani saya. Epon seorang yang baik budi pekerti, rajin dan sentiasa positif. Walaupun sudah beberapa kali dimasukkan ke pusat kesihatan Jalan Perak dan Hospital Bahagia di Ipoh, beliau masih begitu... tiada perubahan. Beliau mengajak saya mencari siput Kapit di batu kawan.... Berbaloi, separuh guni hasilnya hingga air mula pasang.

Keesokkannya pula saya tidak mempunyai sebarang cadangan aktiviti yang harus dilakukan. Sahabat-sahabat lain sudah pulang ke bandar kerana cuti Tahun Baru Cina sudah habis dan tinggal saya di kampung. Apa nak buat yer? Oh.. terlupa saya, petang itu saya cepat-cepat membuat temujanji dengan En. Rahim 9M2RR untuk bertemu. Alhamdullillah beliau berkesudian menerima kedatangan saya walaupun sedikit lewat malam. Wah.. patutlah beliau jarang di udara rupa-rupanya sudah bertukar kecenderungan dalam hobi amatur :). Pertemuan saya pada malam itu banyak berkisar tentang sifat freq Mikrowave terutama C-Band. Banyak ilmu yang dapat saya timba dari beliau.

Mmm... apa lagi ya yang saya boleh kemaskini.. Ooo.. Forest On The Air (FOTA). Sebenarnya istilah ini tidak wujud dalam aktiviti amatur. Tetapi ia diungkap untuk mengambarkan yang aktiviti ini di adakan di dalam hutan. Baru-baru ini sebelum Tahun Baru Cina satu komuniti di Ibu kota telah menganjurkan FOTA bertempat di Wood Resort Ulu Yam. Beberapa rakan ham yang menganjurkan merupakan rakan ham kategori nostalgia buat saya. Melihat wajah mereka mengingatkan saya zaman-zaman kepayahan menjadi warga amatur di ibu kota diawal era MCMC.

9W2HH, 9W2SQ dan 9W2ZF adalah warga ham senior saya yang masih lagi aktif walaupun bukan di udara tetapi berkomuniti. Perjumpaan kali ini tidak seperti yang telah diadakan pada acara yang lepas kerana cuaca agak membantu. Alhamdullillah, Cikgu Fauzan juga membantu menceriakan suasana. Beberapa pesawat digunakan iaitu ICOM 706MKII, Yaesu FT817ND, GP2000 dan ICOM 2100 manakala antenna tuner ICOM, Vertical antenna dan dipole dipasang di tempat tersebut.

Alhamdullillah juga propagasi banyak membantu dengan komunikasi terjauh dicatatkan dari RW9USA Mr. Moscow dan yang terdekat ialah YB0MF En. Fahmi dari Jakarta Pusat. Banyak komunikasi di HF ialah di 80m band manakala di 20m agak kurang menyerlah. Beberapa stesyen dari US dan Kanada gagal di capai kerana antenna yang digunakan tidak berada pada arah yang sesuai.

Apapun bagi saya, aktiviti kali ini memberi kenangan buat saya kerana penglibatan 3 rakan ham yang sebutkan tadi. Kecekalan dan atas nama hobi, mereka tidak merungut atau berpatah arang dengan peristiwa silam.. Tahniah dan syabas!! begitu juga yang tidak saya lupakan 9W2PZ. :)

Perjalanan saya menyusuri kawasan tadahan air Ulu Yam yang sayup menanti senja

Juga lensa saya tidak senyap apabila bertemu dengan..... hehehheeh

Lokasi acara FOTA ini ialah di Woods Resort Ulu Yam, lokasi yang sama seperti tahun-tahun sudah.

Pemandangan tapak perkhemahan ini yang terletak di antara 2 anak sungai yang jernih

Dan 3 orang kuat ini masih tidak ubah seperti 5 tahun dulu... :)

Aktiviti yang saya minati, DXing

Dibantu dengan antenna tuner


Dan bermulalah aktiviti DXing, disamping itu 9W2HH sekeluarga, 9W2SQ dan 9W2ZF sibuk bercelotek dan menenangkan fikiran, saya dan Cikgu Fauzan di konti radio.

Rasanya jutaan terima kasih harus diucapkan pada 9W2SQ atas jemputan mengikuti aktiviti FOTA ini. Bagi saya pemilihan lokasi ini agak bagus disamping konsep bersantai bersama keluarga. Terima kasih sekali lagi!! :)

Antara 2 zaman
Demi sebuah hobi
Tapi yang ni saya No Komen hehehe...
Dan kemuncak pada malam FOTA di Ulu Yam ialah



Melalui komunikasi sambil bersantai mengeratkan hubungan sesama rakan ham dalam aktiviti sebegini.
Demikian perjalan saya pada minggu lepas. Pertemuan dengan rakan-rakan ham dalam aktiviti sebegini banyak membantu dalam merungkai perbagai kekusutan dalam menjalani hobi ini. Ianya mengeratkan tali silaturahim sambil bersantai bersama keluarga. Apa kata anda pula mencuba? Insyallah sekurang-kurangnya ia mengurangkan tekanan di tempat kerja :) !! 73

Rabu, 14 Februari 2007

Rumah Api Ke Udara a.k.a Light House On The Air

Assalamuailaikum dan salam sejahtera semua.


Kebelakangan ini saya agak keletihan kerana banyak tugasan yang perlu saya selesaikan sebelum menjelang Chinese New Year.


Minggu lepas saya berkesempatan mengikuti rakan-rakan ham di selangor memancing di sekitar permatang sedepa. Ada beberapa gambar yang menarik boleh saya kongsikan bersama.


Apapun motif yang membuatkan saya ke sana kerana ingin mengendalikan QSO di sebuah rumah api yang terletak ditengah-tengah selat melaka antara Kelang dan Bengkalis Sumatera. Dalam istilah yang lain ialah Light House On The Air .
Malangnya rancangan saya menemui kebuntuan kerana atas dasar keselamatan. Hanya beberapa stesyen yang dapat saya QSO terutama dari India VU dan Australia VK manakala Indonesia YB0,7, YC5,6 mendominasi perbualan saya. Lain-lain komunikasi hanya dapat dilakukan di VHF terutama rangkaian repeater ASTRA, Nesrec, Telapak Buruk dan Marts Linking. Selebihnya saya habiskan perbualan dengan memancing dan memasak hehehe.... Apapun saya berpuashati dengan stesyen yang saya QSO pada hari itu.
Ini merupakan persinggahan saya yang ke 2 di kawasan persekitaran Permatang Sedepa
Persinggahan yang lepas hanyalah melalui sahaja dan atas tugasan kerja. Rumah api disini adalah petunjuk permulaan perjalanan saya hingga ke pulau jarak sebelum pulang kembali ke jeti.
Antara perkakasan yang di bawa ialah Antenna Tuner MFJ 949, Yaesu FT817, Dipole (sepanjang hampir 40m) dan untuk komunikasi VHF, beberapa rakan ham yang bersama saya membawa 5/8 wave 2 meter antenna, telescopic antenna dan Icom V8.


Entahlah, saya seakan meminati corak qso sebegini. Jika saya berkomunikasi di rumah adalah berbeza dengan berkomunikasi di field day. Berkomunikasi atau menjalankan hobi ini di luar rumah memberi saya satu kepuasan. Ini kerana sambil saya melihat alam luar, saya juga dapat menguji kemampuan saya dalam mengendalikan stesyen amatur dalam keadaan yang terhad dari segi ruang, mobiliti dan kuasa (bekalan kuasa dan kuasa pemacaran). Disamping itu saya dapat menguji keupayaan antenna saya di pelbagai bentuk muka bumi.


Tetapi tahukah anda, mengendalikan stesyen di luar dari base sebenarnya lebih memberi ruang pada kita saling bekerjasama dengan ham yang lain dan mengeratkan hubungan persahabatan? Mari saya berikan contoh, ketika di field day atau contest, sesuatu stesyen radio amatur adalah mustahil digerakkan secara orang perseorangan dalam tempoh 24jam. Di sinilah perlunya semangat berpasukan dalam bergilir-gilir mengendalikan transceiver. Aktiviti sampingan seperti BBQ dan chit chat ringan membantu antara rakan-rakan ham saling mengenali. Jika stesyen tersebut di setup di rumah pula bagaimana?


Jika di base, pergerakkan rakan-rakan ham yang ikut serta adalah terhad. Sudah tentu kerana ia rumah orang. Adalah suatu yang tidak elok atau sopan jika terlalu bebas di rumah orang hingga mengganggu keluarganya. Tetapi jika di field day? bebas :)


Di bawah ini ialah beberapa gambar yang saya kongsi bersama dengan rakan-rakan. Malangnya gambar ini ialah gambar lama tetapi jika ingin melihat yang terbaru boleh melawati link ini.
Pemandangan Permatang Sedepa atau One Phanthom bank

Dua rumah api dari 2 zaman. Rumah api yang kecil merupakan rumah api yang dibina pada tahun 1881 oleh Inggeris. Menjelang 1 November 1999 tepat matahari jatuh, rumah api ini ditamatkan perkhidmatan dan warta dikeluarkan bagi rumah api baru mula berkhidmat hingga kini.


Dan sudah tentu apabila warga amatur tiba disini.....

Jika dilihat dari pentas pemetaan sempadan antarabangsa, permatang sedepa merupakan lokasi strategik dari segi ekonomi dan keselamatan kerana terletak ditengah-tengah selat melaka. dari lokasi saya, tanda sempadan Indonesia boleh dilihat jelas dengan lensa saya. Maka tidak hairanlah jika isu keselamatan adalah sangat dititikberatkan disini bagi para pemancing.

Lubuk pemancing disini ialah di tapak di mana terdapat beberapa kapal karam dan tongkang karam menjadi kediaman pelbagai spesis hidupan maritim. Dijangka dalam tahun ini kebanyakkan kapal-kapal karam disini akan dikeluarkan. Rasanya satu lagi kehilangan daya tarikan mungkin berlaku disini.

Dan sepanjang saya di sana saya dibantu dan diberi tunjuk ajar oleh 9W2BYE yang merupakan orang lama dalam industri perikanan memancing. Pertemuan saya dengan beliau membuatkan saya meninggalkan radio kesayangan saya seketika demi satu lagi hobi... memancing. :)
Hahahaha.... Alhamdullillah perjalanan saya kali ini agak menyeronokkan. Walaupun hanya mendapat ikan-ikan kecil tetapi hasil yang diperoleh oleh rakan-rakan lain membuatkan saya teruja. Kerapu.... sotong... ikan pari dan banyak lagi memberikan saya kepuasan yang tak terhingga. Mungkinkah ia mampu membuatkan saya bertukar hobi? Siapa tahu... atau saya perlu menukar slogan Komuniti DXpedition kepada Komuniti mancing dan DXpedition ? :P
Begitulah perjalanan saya minggu ini. Selain saya terdapat beberapa komuniti ham radio di Malaysia yang juga akan mengadakan Ekspedisi Field Day. salah satunya ialah di Pulau Layang-layang dimana infonya boleh dicapai di http://9m4sdx.marts.org.my/ . Ia mengingatkan saya pada 9M0 iaitu di Pulau Layang-layang pada tahun 1998

Mmmmm.... ada sesuatu yang saya harus selesaikan. Mungkin jika ada kesempatan saya akan menulis lagi. Oh ya, ada mesej baru masuk dalam talian bimbit saya, Forest On The Air (FOTA??) satu komuniti di sini akan menganjurkan aktiviti ini pada sabtu ini. Insyallah jika ada kesempatan saya akan ikut serta.... 73 babai!!!

:)

Isnin, 5 Februari 2007

Matlamat menghalalkan cara....

Wooooo.... malam ni saya agak kesenakkan perut. Tom yam yang saya masak tadi agak pedas. Segenggam setengah cili padi dimasukkan ke dalam periuk dek kerana diperli oleh rakan-rakan yang setiap kali masakan saya selalunya tak pedas.... bukan saya sahaja, malahan rakan-rakan yang lain juga sudah mula berulang alik ke kamar kecil heheheeh....

Jam didinding menunjukkan jam 4 pagi...

Tiada apa yang boleh saya buat. Nak buat itu tak selesa, nak buat ini tak selesa. Alih-alih saya hanya terduduk dikerusi ini sambil menyelak-nyelak kertas di atas meja ini samada ada kerja yang boleh saya buat. Oh!.. ada suatu fail yang sudah sedikit berdebu yang sepatutnya saya uruskan tahun lepas masih ada terselit di atas meja. Eh JK69!!

Borang ini masih belum terusik setelah hampir 1 tahun di dalam simpanan. Untuk pengetahuan para pembaca, terdapat satu cara di mana kita diperbolehkan untuk mengimport masuk peralatan amatur. Prosedur-prosedurnya boleh dicapai di sini . ( http://www.marts.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=50&Itemid=25 )

Saya tidak dapat menulis panjang atas faktor perut yang kurang selesa (heheheeheh), rasanya cukuplah saya menyenaraikan beberapa keperluan yang diperlukan dalam memohon permit import peralatan amatur.

1) Borang JK69 yang telah diisi lengkap
2) Salinan Lesen Amatur dan salinan passport/kad pengenalan
3) Surat permohonan (dinyatakan tujuan import untuk tujuan pengecualian cukai)

Kes 1 - Jika peralatan yang ingin diimport ada dalam senarai diluluskan
3) Salinan senarai peralatan yang diluluskan oleh Sirim
( http://mcmc.gov.my/tenders/Amateur%20Radio%20Equipment%20List%20Notice.pdf )
4) Bayaran RM 30 sahaja.

Kes 2 - Jika peralatan tiada dalam senarai
5) Salinan Manual atau spesifikasi atau broucer (berwarna jika boleh)
6) Bayaran RM 180 (dan mungkin ada caj lain-lain)
(Pengguna mestilah bersedia untuk menghantar peralatan yang tiada dalam senarai ke SIRIM selepas diimport masuk untuk tujuan pemeriksaan dan rekod -jangan risau, tiada apa-apapun)

Permohonan yang telah lengkap hendaklah diajukan terus ke Bahagian Kelulusan Import Sirim Berhad di Shah Alam (Jika tidak silap saya bangunan No 4 atau 10). Pemohon digalakkan hadir untuk 'submit' permohonan. Biasanya proses permohonan selesai dalam satu hari jika pegawai Sirim terbabit ada di pejabat. Jika tidak ianya paling lewat keesokkan hari bekerja.

Bagi permohonan radio amatur, borang tidak perlu ditaip. Memadai ditulis dengan tangan dengan huruf besar dan jelas. Tulisan bersambung biasanya tidak dilayan. Lain-lain permohonan disyaratkan borang ditaip kemas.

Borang yang hendak diisi hendaklah terang dan tiada tanda pembetulan. Borang ini mengandungi 3 salinan dimana salinan berwarna Hijau akan diambil oleh pihak SIRIM, Salinan Biru akan diberikan pada pejabat kastam dimana pintu masuk barang akan diimport dan salinan putih adalah untuk anda.

Saya ingatkan buat semua pembaca, ketika mengimport masuk barang-barang nanti ianya mestilah diimport sekaligus. Tidak boleh barangan yang diimport dibawa secara berasingan pada waktu yang berbeza.

Di bawah ini ialah salah satu contoh mengisi borang JK69 untuk panduan para pembaca yang saya kasihi :)

KES - NAAZALI, SEORANG PEMILIK LESEN KELAS A INGIN MENGIMPORT MASUK SEBUAH PESAWAT PEMANCAR HF MODEL ICOM 718. BELIAU INGIN PERGI MEMBELI PESAWAT TRANSCEIVER KE SIM LIM TOWER (SUN EAST LTD) SENDIRI DAN MEMBAWA PULANG KE MALAYSIA MELALUI TAMBAK JOHOR.

Langkah 1 : Pastikan Model yang ingin diimport adalah layak menurut lesen beliau dengan merujuk pada senarai peralatan yang diluluskan oleh MCMC

Langkah 2 : Memastikan model pesawat terdapat di dalam senarai


Langkah 3 : Mendapatkan Borang JK69 dari Jabatan Kastam atau SIRIM. Biasanya SIRIM mengenakan caj RM2 untuk satu set borang.

Langkah 4 : Mengisi ruang-ruang sebagaimana di bawah (maklumat kedai menjual dan cara barang tersebut akan dibawa masuk). Dan tandatangan bersama tarikh.

Langkah 5 : Menyenaraikan barangan (bersama aksesori) yang ingin dibawa masuk ke Malaysia.
Langkah 6 : Menyenaraikan kuantiti yang akan dibawa masuk. dan jangan lupa menyatakan kod tariff Kastam untuk barangan radio amatur (kerana kod ini membawa pengertian kategori pengecualian cukai import). Ingat nombor ini 852520200.


Langkah 7 : Baca syarat-syarat dibelakan borang. Sertakan dengan lain-lain dokumen sebagaimana yang disebutkan di atas. Jika terdapat sebarang pertanyaan atau kurang jelas bolehlah diajukan pada pegawai SIRIM terbabit. Insyallah, sepanjang saya berurusan dengan pegawai tersebut saya dilayan dengan baik dan persoalan tentang kekeliruan dibalas dengan berhemah.


Bagi kes kedua iaitu barangan tiada di dalam senarai, juga serupa seperti langkah 1 hingga 7.

Nampaknya tulisan saya berakhir disini kerana perut saya sudah meluak-luak.... ada sesuatu yang harus dihamburkan....hehehehe

73!!!






Ahad, 4 Februari 2007

Jalan yang benar dan diredhai...

Salam sejahtera semua para pembaca yang budiman.

Artikel ini menjawab persoalan-persoalan rakan-rakan amatur di suatu mailing list. Ianya bermula apabila saudara (Zeks bukan nama sebenar) mengutarakan konsep pembelajaran kod morse yang dianjurkan oleh komuniti rakan-rakan ham di ibu kota. Diharap ianya tidak mengganggu para pembaca, sekadar pendapat peribadi saya.

Saya sekadar mahu menceritakan pengalaman saya dengan situasi yang dicoretkan oleh rakan-rakan. Walaubagaimanapun harap ianya tidak membuat mana-mana rakan-rakan kecil hati dan mengundur diri dari mempelajari CW. Tahniah buat rakan-rakan yang menduduki kelas tempohari, suatu perkembangan yang positif dan amat dibanggakan.

Pengalaman saya menduduki peperiksaan CW mengajar saya pengalaman yang amat perit, malangnya saya sendiri yang yang menjadikan situasi ini.

Ketika pertama kali saya bersedia menduduki peperiksaan CW, saya yakin.. malahan dengan sombong mengatakan saya mampu lulus dengan cemerlang. Persediaan diatur dan hari peperiksaan tiba. Keputusannya saya gagal! Ianya memberi kesan yang amat mendalam... malam selepas peperiksaan itu saya membawa diri merajuk... hingga ke Ipoh. Malam itu saya dimotivasikan oleh 9W2EI. Ya saya mengaku, saya kurang latihan. Terima kasih juga 9W2KW atas sokongan moral.

2 Bulan selepas itu saya tekad.. jadual ketat diatur, disiplin dikunci dan latihan berjalan. Saya belajar dan terus belajar memahami CW. Kekunci diketuk 2 bulan tanpa henti. Saya puas dan yakin dengan kemampuan saya. Hinggalah tiba ke hari peperiksaan CW... saya tewas!! malam itu saya membawa diri... tapi tidak jauh hanya ke rumah di Jalan Kolam Kuala Lumpur. Beliau memujuk saya ingin tahu cara yang saya belajar tanpa henti itu? Ya saya mengaku saya belajar cara membayangkan simbol dan menghantar dengan key.

Beliau mengatakan saya salah konsep!! katanya tidak pernah beliau mendengar juru-juru operator radio belajar sedemikian sepanjang 50 tahun penglibatan beliau dalam hobi ini. Bingung saya.. Carian di google menjawab segala-galanya.

Oh ya.. kata-kata beliau adalah sama seperti semua rakan radio amatur lesen A yang saya temui ceritakan. Hinggakan ketika saya di suatu festival amatur di Indonesia, saya ditertawakan oleh rakan-rakan radio amatur di dalam suatu dewan (ramai juga) atas kenyataan saya tentang cara yang lebih afdal belajar CW. Saya malu ketika itu. Tetapi ditenangkan dengan nasihat yang bernas selepas itu oleh rakan-rakan ham di situ.

Ketika pulang ke kampung, ayahanda menggelengkan kepala bila mengetahui yang saya gagal lagi. Katanya kalau tak berjaya lagi lebih baik jangan ambil. Bila diberitahu cara terakhir saya belajar CW, beliau spontan berkata, 'Bodoh, hang belajar nak hantar ka nak terima?'. Selepas hari itu saya tidak lagi mendengar komen ayahanda tentang CW saya.

Saya mula membetulkan cara/teknik belajar kod morse.. tiada simbol yang harus diingat atau hafal. Hanya 'dengar' dan terus 'nampak' (tahu). Ya.. Ianya berkesan! Alangkah indahnya kalau saya tahu lebih awal. Makin lama makin asyik (mengambil motto TPI Indonesia). Dan kelajuan menyalin semakin laju. Dikemuncak pembelajaran saya, saya mampu menyalin kelajuan hampir 18wpm tanpa kesalahan selama 5 minit!! Malangnya saya tinggal 19 hari dari tarikh saya mula belajar ke tarikh peperiksaan. .. sempatkah saya?

Pertemuan saya dengan Mr. Sugasan 9W2BBB membantu saya mengenal teknik menerima CW. Katanya belajar apa yang bakal disoal sahaja. Beliau mengajar saya teknik meneka apakah huruf selepas huruf.. (Oppss.. ni dah advanced ni, nanti saya ceritakan pada artikel yang lain).

Apapun sepanjang 18 hari pembelajaran saya hanya belajar mendengar sahaja. Tiada simbol, tiada objek, tiada delay dan terus otak terjemahkan huruf. Mudah, pantas dan lebih laju dari CPU Intel (sebab CPU pun perlukan RAM). Dan pada hari terakhir baru saya belajar menghantar. Wow.. mudah gilerrr.. Dari otak saya hanya mengenal bunyi ia spontan menukarkan ke huruf. Ia seperti ibarat kita mengingati bunyi ton SMS yang masuk itu (dit dit dit-da da-dit dit dit) dan tangan terus mengetik kekunci CW. Cuba lakukan sekarang dengan mengetuk jari anda ke meja, kan mudah? :) berbanding anda cuba bayangkan satu persatu titik-titik itu dan dash dash itu kemudian baru mengetuk. Ada delay kerana memikir.

Harus saya ingatkan bahawa semasa peperiksaan nanti huruf-huruf itu akan dihantar tanpa henti. Delay yang terjadi semasa menerima (disebabkan calon terpaksa 'memikir' baru menterjemah) menyebabkan terdapat huruf yang tertinggal. Otak kita walaupun berkelajuan CPU komputer tetapi ada kelemahannya. Otak kita hanya boleh memberi tumpuan hanya pada satu benda sahaja pada satu-satu masa. Adakah otak tuan-tuan boleh berbuat lebih dari itu?

Jadi kesimpulan yang saya belajar ialah belajar mendengar dulu dan faham terus tanpa sebarang simbol sebagai perantara jauh lebih pantas dari sebuah CPU Intel MMX atau yang paling perlahan Motorola 6388 (kit dalam makmal untuk pembelajaran) . Ianya secara tidak langsung boleh 'revearse' apabila masuk ke sesi menghantar pula.

Saya mengambil masa satu hari sahaja belajar menghantar :), bukan saya sahaja malahan ketika saya di festival ham (seperti yang saya ceritakan di atas) ketika soalan ditanya oleh penceramah berapa ramai yang boleh belajar menghantar CW dalam satu hari, hampir kesemua ham di dalam dewan itu mengangkat tangan. Saya tidak percaya (ketika itu). Dan akhirnya terbukti apabila saya membetulkan kaedahnya.

Hari peperiksaan dinanti-nantikan tiba. Walapun bilangan calon menyusut 5 kali ganda rendah berbanding peperiksaan CW saya yang pertama tetapi kali ini hati saya tenang. Tiada tanda riak lagi dihati. 2 lagi wajah ham yang sama-sama dengan saya mengambil CW buat kali ketiga masih setia di dewan peperiksaan. Alhamdullillah. Saya lulus. Kegembiraan yang tiada galangnya. Melompat-lompat saya di dewan itu selepas melihat keputusan peperiksaan, mahu saja saya peluk Receptionist kat kaunter MCMC (sebab lawa heheheh).

Dan ianya hanya terhenti pada jam 7 petang hari yang sama apabila saya menerima khidmat pesanan ringkas 9W2FOX bilamana pemergian orang yang mengajar saya kembali ke ajaran CW yang benar buat selama-lamanya. Malam itu saya bergegas ke Jalan Kolam. Al-fatihah....




p/s: Semoga pengalaman saya ini akan membantu rakan-rakan yang ingin ikut sertakan bersama-sama dengan kami di HF. Marilah... kami amat kesunyian di HF... hehehehe..

p/s: Bagi rakan-rakan yang berminat dengan CW jangan kecil hati atas pendapat saya. Ianya subjektif tentang corak pembelajaran CW. Dan percayalah, saya mengambil 2 kali CW sebelum berjumpa dengan jalan yang benar dan diredhai...

p/s: Usaha tangga kejayaan!!

Khamis, 1 Februari 2007

Dimana Idea saya bermula....

Salam sejahtera buat semua pembaca...

Hari ini saya agak lapang, almaklumlah cuti umum sempena Hari Thaipusam. Kebetulan pula pada hari ini jatuh hari Wilayah Persekutuan. Banyak email yang terpaksa saya jawab dalam minggu ini. Dalam banyak-banyak email yang saya terima, salah satunya agak menarik hati saya.

Budin (bukan nama sebenar) berasal dari Lambor (Kiri), Sidang (Kiri) Bota (Kiri) (isshh... banyaknya kiri). Beliau merupakan penghantar email saya sejak tahun 1998. Kali ini beliau bertanyakan tentang bagaimana saya mendapat kreativiti dalam mencari projek-projek yang boleh dilaksanakan dalam aktiviti masa lapang.

Kretiviti melalui idea boleh tercipta apabila berlaku kekurangan, keperluan dan penambahbaikkan yang perlu dilakukan. Ini merupakan 3 teras kreativiti saya. Misalnya katakan Mic PTT saya rosak, maka adanya keperluan. Bila ada keperluan tetapi harga Mic PTT baru pula mahal dan memerlukan wang yang cukup, ketika ini wujud pula situasi kekurangan. Dan apabila idea wujud maka sudah tentu saya inginkan satu Mic PTT yang lebih baik dan disinilah wujudnya penambahbaikan.

Tetapi ada juga situasi idea wujud apabila saya bertemu dengan sesuatu.... Dan ianya mengimbas kembali ketika saya berada di Pulau Mutiara.

Lorong Kulit banyak menyimpan kenangan pada saya. Asalnya aktiviti Lorong Kulit bermula di Penang Road hinggalah MPPP memindahkan ke lokasi sekarang. Lorong Kulit atau lebih popular dengan panggilan Rop Walk merupakan pasar jalanan di mana terdapat banyak peniaga yang memperdagangkan barang-barang terpakai dan lusuh. Jika anda bernasib baik anda mungkin akan menemui Mesin Pendua (Fotokopi) yang masih baru dijual dengan harga hanya RM200 sahaja. Begitu juga perkakasan elektronik yang masih boleh berfungsi dijual dengan harga lusuh. Jika anda pandai tawar menawar mungkin boleh memperolehi barang-barang yang diminati serendah RM1!!
Berbalik pada bagaimana idea saya boleh muncul, sukar untuk saya khabarkan kerana ianya secara kebetulan apabila bertemu dengan sesuatu dan spontan. Rop Walk menawarkan pelbagai pakej yang menarik. Jika anda inginkan modifikasi pada Speaker radio anda, speaker hand phone nokia yang terdapat di dalam kereta ada. Jika anda mahukan Variable Kapasitor anda boleh perolehi dari radio-radio lama. Jika anda inginkan PPT mic, jika bernasib baik anda mungkin temui. Jika anda terfikir untuk mencari connector handphone anda untuk tujuan homebrew pun ada disini. Begitu juga kepingan hard disk terpakai untuk tujuan ground plane antenna mobile pun ada.
Bak kata iklan di Astro... Macam-macam ada.....hehehehe
Parking motosikal di Rop Walk berharga 50sen... Nak murah parking di luar kotak ajer.

Perhatikan barang-barang yang dijual, kadangkala pengamatan yang lama barang-barang ini memberi saya idea untuk merekacipta sesuatu. Terlalu banyak barang-barang jenis ini. Ianya jauh lebih rancak berbanding pasar karat di Ibu Kota.









Walaubagaimanapun ada juga peniaga-peniaga yang sepatutnya diutamakan berniaga di dalam ruang perniagaan Rop Walk disisihkan.







Tawar menawar adalah satu kemestian, jika tidak anda pasti kerugian.





Antara barang-barang yang saya temui mempunyai beberapa komponen yang boleh digunapakai seperti variable kapasitor, VFO dan.... Valve nya :)



Juga kebetulan semasa pemergian saya ke sana saya bertemu dengan osiloskop yang ditawarkan dengan harga RM50. Saya agak kurang pasti apakah ianya masih berfungsi atau tidak. Dalam lewat tahun 2001 saya pernah bertemu Spektrum Analyzer yang dijual oleh penjual yang sama. Juga motosikal antik jenama Norton dan Triumph. Harga pun boleh tahan juga bagi peminat barangan ini.







Saya juga pernah bertemu dengan lencana sekolah yang tercatat nama saya di Rop Walk. Mungkin saya bernasib baik kerana setahu saya Bonda telah pun membuang lencana tersebut 2 tahun sebelum saya menemuinya semula di Rop Walk. :)

















Dan setelah selesai mengharungi kesesakkan para peniaga Rop Walk, sebelum pulang saya selalunya akan menjamu ais kacang disitu dan Mee Macha....




Antara barangan yang saya pernah bertemu ialah sebuah Booster jenama DX Antenna. Ianya banyak membantu saya dalam hobi DX TV. Booster ini membantu saya menangkap isyarat televisyen Indonesia seperti RCTI, SCTV, TransTV dan Indosiar. Satu lagi lokasi di Pulau Pinang yang mempunyai pasar sebegini ialah Taman Selat yang terletak di Bagan. Pernah suatu ketika dulu seorang ham iaitu En. Johari (9W2XO) telah kehilangan sebuah pesawat mobile di dalam kereta beliau kerana dipecah masuk. Kebetulan beberapa hari kemudian 9W2TQ datang ke Taman Selat dan terjumpa pesawat mobile Johari dijual disana. :)

Begitulah kenangan saya di Rop Walk atau nama lainnya Lorong Kulit. Selain Pulau Pinang terdapat juga beberapa tempat yang menjual barang-barang seperti di Rop Walk. Satunya yang agak popular ialah di Lokin di Ipoh. Lokasi dahulunya di tepi sungai Kinta kini telah berpindah ke belakang Pasaraya Ocean. Juga di Singapura di belakang Sim Lim Tower berhadapan Jalan Besar. Mungkin ada rakan-rakan yang mengetahui lokasi lain bolehlah emailkan pada saya untuk dikongsi bersama.



Perjalanan saya di Pulau Pinang berakhir lagi. Ianya menyimpan kenangan yang banyak... penuh dengan idea-idea kreativiti yang masih ligat dalam fikiran saya...... :) 73!!
Related Posts with Thumbnails