Anda adalah tetamu ke blog ini.

Isnin, 5 Februari 2007

Jalan yang benar dan diredhai...

Salam sejahtera semua para pembaca yang budiman.

Artikel ini menjawab persoalan-persoalan rakan-rakan amatur di suatu mailing list. Ianya bermula apabila saudara (Zeks bukan nama sebenar) mengutarakan konsep pembelajaran kod morse yang dianjurkan oleh komuniti rakan-rakan ham di ibu kota. Diharap ianya tidak mengganggu para pembaca, sekadar pendapat peribadi saya.

Saya sekadar mahu menceritakan pengalaman saya dengan situasi yang dicoretkan oleh rakan-rakan. Walaubagaimanapun harap ianya tidak membuat mana-mana rakan-rakan kecil hati dan mengundur diri dari mempelajari CW. Tahniah buat rakan-rakan yang menduduki kelas tempohari, suatu perkembangan yang positif dan amat dibanggakan.

Pengalaman saya menduduki peperiksaan CW mengajar saya pengalaman yang amat perit, malangnya saya sendiri yang yang menjadikan situasi ini.

Ketika pertama kali saya bersedia menduduki peperiksaan CW, saya yakin.. malahan dengan sombong mengatakan saya mampu lulus dengan cemerlang. Persediaan diatur dan hari peperiksaan tiba. Keputusannya saya gagal! Ianya memberi kesan yang amat mendalam... malam selepas peperiksaan itu saya membawa diri merajuk... hingga ke Ipoh. Malam itu saya dimotivasikan oleh 9W2EI. Ya saya mengaku, saya kurang latihan. Terima kasih juga 9W2KW atas sokongan moral.

2 Bulan selepas itu saya tekad.. jadual ketat diatur, disiplin dikunci dan latihan berjalan. Saya belajar dan terus belajar memahami CW. Kekunci diketuk 2 bulan tanpa henti. Saya puas dan yakin dengan kemampuan saya. Hinggalah tiba ke hari peperiksaan CW... saya tewas!! malam itu saya membawa diri... tapi tidak jauh hanya ke rumah di Jalan Kolam Kuala Lumpur. Beliau memujuk saya ingin tahu cara yang saya belajar tanpa henti itu? Ya saya mengaku saya belajar cara membayangkan simbol dan menghantar dengan key.

Beliau mengatakan saya salah konsep!! katanya tidak pernah beliau mendengar juru-juru operator radio belajar sedemikian sepanjang 50 tahun penglibatan beliau dalam hobi ini. Bingung saya.. Carian di google menjawab segala-galanya.

Oh ya.. kata-kata beliau adalah sama seperti semua rakan radio amatur lesen A yang saya temui ceritakan. Hinggakan ketika saya di suatu festival amatur di Indonesia, saya ditertawakan oleh rakan-rakan radio amatur di dalam suatu dewan (ramai juga) atas kenyataan saya tentang cara yang lebih afdal belajar CW. Saya malu ketika itu. Tetapi ditenangkan dengan nasihat yang bernas selepas itu oleh rakan-rakan ham di situ.

Ketika pulang ke kampung, ayahanda menggelengkan kepala bila mengetahui yang saya gagal lagi. Katanya kalau tak berjaya lagi lebih baik jangan ambil. Bila diberitahu cara terakhir saya belajar CW, beliau spontan berkata, 'Bodoh, hang belajar nak hantar ka nak terima?'. Selepas hari itu saya tidak lagi mendengar komen ayahanda tentang CW saya.

Saya mula membetulkan cara/teknik belajar kod morse.. tiada simbol yang harus diingat atau hafal. Hanya 'dengar' dan terus 'nampak' (tahu). Ya.. Ianya berkesan! Alangkah indahnya kalau saya tahu lebih awal. Makin lama makin asyik (mengambil motto TPI Indonesia). Dan kelajuan menyalin semakin laju. Dikemuncak pembelajaran saya, saya mampu menyalin kelajuan hampir 18wpm tanpa kesalahan selama 5 minit!! Malangnya saya tinggal 19 hari dari tarikh saya mula belajar ke tarikh peperiksaan. .. sempatkah saya?

Pertemuan saya dengan Mr. Sugasan 9W2BBB membantu saya mengenal teknik menerima CW. Katanya belajar apa yang bakal disoal sahaja. Beliau mengajar saya teknik meneka apakah huruf selepas huruf.. (Oppss.. ni dah advanced ni, nanti saya ceritakan pada artikel yang lain).

Apapun sepanjang 18 hari pembelajaran saya hanya belajar mendengar sahaja. Tiada simbol, tiada objek, tiada delay dan terus otak terjemahkan huruf. Mudah, pantas dan lebih laju dari CPU Intel (sebab CPU pun perlukan RAM). Dan pada hari terakhir baru saya belajar menghantar. Wow.. mudah gilerrr.. Dari otak saya hanya mengenal bunyi ia spontan menukarkan ke huruf. Ia seperti ibarat kita mengingati bunyi ton SMS yang masuk itu (dit dit dit-da da-dit dit dit) dan tangan terus mengetik kekunci CW. Cuba lakukan sekarang dengan mengetuk jari anda ke meja, kan mudah? :) berbanding anda cuba bayangkan satu persatu titik-titik itu dan dash dash itu kemudian baru mengetuk. Ada delay kerana memikir.

Harus saya ingatkan bahawa semasa peperiksaan nanti huruf-huruf itu akan dihantar tanpa henti. Delay yang terjadi semasa menerima (disebabkan calon terpaksa 'memikir' baru menterjemah) menyebabkan terdapat huruf yang tertinggal. Otak kita walaupun berkelajuan CPU komputer tetapi ada kelemahannya. Otak kita hanya boleh memberi tumpuan hanya pada satu benda sahaja pada satu-satu masa. Adakah otak tuan-tuan boleh berbuat lebih dari itu?

Jadi kesimpulan yang saya belajar ialah belajar mendengar dulu dan faham terus tanpa sebarang simbol sebagai perantara jauh lebih pantas dari sebuah CPU Intel MMX atau yang paling perlahan Motorola 6388 (kit dalam makmal untuk pembelajaran) . Ianya secara tidak langsung boleh 'revearse' apabila masuk ke sesi menghantar pula.

Saya mengambil masa satu hari sahaja belajar menghantar :), bukan saya sahaja malahan ketika saya di festival ham (seperti yang saya ceritakan di atas) ketika soalan ditanya oleh penceramah berapa ramai yang boleh belajar menghantar CW dalam satu hari, hampir kesemua ham di dalam dewan itu mengangkat tangan. Saya tidak percaya (ketika itu). Dan akhirnya terbukti apabila saya membetulkan kaedahnya.

Hari peperiksaan dinanti-nantikan tiba. Walapun bilangan calon menyusut 5 kali ganda rendah berbanding peperiksaan CW saya yang pertama tetapi kali ini hati saya tenang. Tiada tanda riak lagi dihati. 2 lagi wajah ham yang sama-sama dengan saya mengambil CW buat kali ketiga masih setia di dewan peperiksaan. Alhamdullillah. Saya lulus. Kegembiraan yang tiada galangnya. Melompat-lompat saya di dewan itu selepas melihat keputusan peperiksaan, mahu saja saya peluk Receptionist kat kaunter MCMC (sebab lawa heheheh).

Dan ianya hanya terhenti pada jam 7 petang hari yang sama apabila saya menerima khidmat pesanan ringkas 9W2FOX bilamana pemergian orang yang mengajar saya kembali ke ajaran CW yang benar buat selama-lamanya. Malam itu saya bergegas ke Jalan Kolam. Al-fatihah....




p/s: Semoga pengalaman saya ini akan membantu rakan-rakan yang ingin ikut sertakan bersama-sama dengan kami di HF. Marilah... kami amat kesunyian di HF... hehehehe..

p/s: Bagi rakan-rakan yang berminat dengan CW jangan kecil hati atas pendapat saya. Ianya subjektif tentang corak pembelajaran CW. Dan percayalah, saya mengambil 2 kali CW sebelum berjumpa dengan jalan yang benar dan diredhai...

p/s: Usaha tangga kejayaan!!
Related Posts with Thumbnails