Hari ini saya agak lapang, almaklumlah cuti umum sempena Hari Thaipusam. Kebetulan pula pada hari ini jatuh hari Wilayah Persekutuan. Banyak email yang terpaksa saya jawab dalam minggu ini. Dalam banyak-banyak email yang saya terima, salah satunya agak menarik hati saya.
Budin (bukan nama sebenar) berasal dari Lambor (Kiri), Sidang (Kiri) Bota (Kiri) (isshh... banyaknya kiri). Beliau merupakan penghantar email saya sejak tahun 1998. Kali ini beliau bertanyakan tentang bagaimana saya mendapat kreativiti dalam mencari projek-projek yang boleh dilaksanakan dalam aktiviti masa lapang.
Kretiviti melalui idea boleh tercipta apabila berlaku kekurangan, keperluan dan penambahbaikkan yang perlu dilakukan. Ini merupakan 3 teras kreativiti saya. Misalnya katakan Mic PTT saya rosak, maka adanya keperluan. Bila ada keperluan tetapi harga Mic PTT baru pula mahal dan memerlukan wang yang cukup, ketika ini wujud pula situasi kekurangan. Dan apabila idea wujud maka sudah tentu saya inginkan satu Mic PTT yang lebih baik dan disinilah wujudnya penambahbaikan.
Tetapi ada juga situasi idea wujud apabila saya bertemu dengan sesuatu.... Dan ianya mengimbas kembali ketika saya berada di Pulau Mutiara.
Lorong Kulit banyak menyimpan kenangan pada saya. Asalnya aktiviti Lorong Kulit bermula di Penang Road hinggalah MPPP memindahkan ke lokasi sekarang. Lorong Kulit atau lebih popular dengan panggilan Rop Walk merupakan pasar jalanan di mana terdapat banyak peniaga yang memperdagangkan barang-barang terpakai dan lusuh. Jika anda bernasib baik anda mungkin akan menemui Mesin Pendua (Fotokopi) yang masih baru dijual dengan harga hanya RM200 sahaja. Begitu juga perkakasan elektronik yang masih boleh berfungsi dijual dengan harga lusuh. Jika anda pandai tawar menawar mungkin boleh memperolehi barang-barang yang diminati serendah RM1!!
Berbalik pada bagaimana idea saya boleh muncul, sukar untuk saya khabarkan kerana ianya secara kebetulan apabila bertemu dengan sesuatu dan spontan. Rop Walk menawarkan pelbagai pakej yang menarik. Jika anda inginkan modifikasi pada Speaker radio anda, speaker hand phone nokia yang terdapat di dalam kereta ada. Jika anda mahukan Variable Kapasitor anda boleh perolehi dari radio-radio lama. Jika anda inginkan PPT mic, jika bernasib baik anda mungkin temui. Jika anda terfikir untuk mencari connector handphone anda untuk tujuan homebrew pun ada disini. Begitu juga kepingan hard disk terpakai untuk tujuan ground plane antenna mobile pun ada.
Bak kata iklan di Astro... Macam-macam ada.....hehehehe
Parking motosikal di Rop Walk berharga 50sen... Nak murah parking di luar kotak ajer.
Perhatikan barang-barang yang dijual, kadangkala pengamatan yang lama barang-barang ini memberi saya idea untuk merekacipta sesuatu. Terlalu banyak barang-barang jenis ini. Ianya jauh lebih rancak berbanding pasar karat di Ibu Kota.
Walaubagaimanapun ada juga peniaga-peniaga yang sepatutnya diutamakan berniaga di dalam ruang perniagaan Rop Walk disisihkan.
Tawar menawar adalah satu kemestian, jika tidak anda pasti kerugian.
Antara barang-barang yang saya temui mempunyai beberapa komponen yang boleh digunapakai seperti variable kapasitor, VFO dan.... Valve nya :)
Juga kebetulan semasa pemergian saya ke sana saya bertemu dengan osiloskop yang ditawarkan dengan harga RM50. Saya agak kurang pasti apakah ianya masih berfungsi atau tidak. Dalam lewat tahun 2001 saya pernah bertemu Spektrum Analyzer yang dijual oleh penjual yang sama. Juga motosikal antik jenama Norton dan Triumph. Harga pun boleh tahan juga bagi peminat barangan ini.Saya juga pernah bertemu dengan lencana sekolah yang tercatat nama saya di Rop Walk. Mungkin saya bernasib baik kerana setahu saya Bonda telah pun membuang lencana tersebut 2 tahun sebelum saya menemuinya semula di Rop Walk. :)
Dan setelah selesai mengharungi kesesakkan para peniaga Rop Walk, sebelum pulang saya selalunya akan menjamu ais kacang disitu dan Mee Macha....
Antara barangan yang saya pernah bertemu ialah sebuah Booster jenama DX Antenna. Ianya banyak membantu saya dalam hobi DX TV. Booster ini membantu saya menangkap isyarat televisyen Indonesia seperti RCTI, SCTV, TransTV dan Indosiar. Satu lagi lokasi di Pulau Pinang yang mempunyai pasar sebegini ialah Taman Selat yang terletak di Bagan. Pernah suatu ketika dulu seorang ham iaitu En. Johari (9W2XO) telah kehilangan sebuah pesawat mobile di dalam kereta beliau kerana dipecah masuk. Kebetulan beberapa hari kemudian 9W2TQ datang ke Taman Selat dan terjumpa pesawat mobile Johari dijual disana. :)
Begitulah kenangan saya di Rop Walk atau nama lainnya Lorong Kulit. Selain Pulau Pinang terdapat juga beberapa tempat yang menjual barang-barang seperti di Rop Walk. Satunya yang agak popular ialah di Lokin di Ipoh. Lokasi dahulunya di tepi sungai Kinta kini telah berpindah ke belakang Pasaraya Ocean. Juga di Singapura di belakang Sim Lim Tower berhadapan Jalan Besar. Mungkin ada rakan-rakan yang mengetahui lokasi lain bolehlah emailkan pada saya untuk dikongsi bersama.
Perjalanan saya di Pulau Pinang berakhir lagi. Ianya menyimpan kenangan yang banyak... penuh dengan idea-idea kreativiti yang masih ligat dalam fikiran saya...... :) 73!!