Anda adalah tetamu ke blog ini.

Khamis, 17 Disember 2009

Kemelut Halal Tapi Haram?


SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARAM DARI JURUKAKA :)




Assalamualaikum dan salam sejahtera pada pembaca.

Sambil menghancurkan ubat-ubat di atas meja ini untuk dikunyah, fikiran saya masih berlegar tentang panggilan telefon kelmarin semasa saya di atas motosikal. Saudara Azman 9M2MGL memberi tahu ada pembekal radio di celapak aparat MCMC.

Saya mula memikirkan tentang kemelut dunia radio amatur yang tidak lagi selesai dari dari zaman British, zaman Jepun memerintah Malaya, hinggalah di era darurat. Ia tidak berakhir begitu sahaja malahan era CIMA 1998, satu peraturan yang baik untuk masyarakat tetapi menakutkan buat warga radio amatur di Malaysia dek kecompangan peraturan itu sendiri. Peraturan yang buat jiwa kacau dan serba salah.

Bermula dari kegagalan mentakrifkan pengamal radio amatur dalam kategori yang mana, kormersil dsb hinggalah kepada prosedur permilikan peralatan pemancar yang terlalu sukar serta senarai peralatan radio amatur diiktiraf yang tidak pernah dikemaskini (sehingga artikel ini ditulis).

Mengimbas kembali zaman saya berbasikal jauh, menganyuh demi semukasurat ilmu ke Rapat Setia Ipoh menjelajah berkenalan dengan rakan-rakan radio amatur lama banyak membantu saya mengenal kemelut gampang ini. Ini mampu mematahkan semangat warga ham radio yang baru kerkecimpung. Ahh... internet sudah ada, kenapa harus menggadai diri demi sebuah pemancar dan hobi yang bodoh?

Pak Bahar (sugar baker) 9M2SB, menunjukkan sekeping demi sekeping surat pergerakan dan pindah milik surat pesawat pemancar beliau ketika zaman dulu-dulu. Ketika zaman beliau, pesawat pemancar dikawal ketat oleh rejim pemerintah bagi tujuan pengawalan anasir-anasir komunis, penyebaran fahaman dan medium komunikasi atara trup-trup Komunis yang terpisah berselerakkan di serata Perak ketika itu.

Ketika zaman itu setiap radio punyai surat beranaknya masing-masing. Jika pemiliknya mahu jual maka akan ditaip satu surat pergerakkan atau pindah milik dan diakui oleh Ketua Polis kawasan terbabit. Pengoperasiannya harus dengan kebenaran Polis tempatan. Begitu ketat sekali. Malahan lawatan dari pihak polis untuk mengesahkan radio terbabit selamat dilokasi agak menggerunkan. Tetapi ia berjalan mesra. Mengapa ya?

Ya ia adalah zaman insurgensi. Radio komunikasi adalah amat sensitif. Allahyarham Pak Dollah (Dondang Sayang) 9W2DS, kembar beliau sering mengingatkan saya ketika bertemu tentang betapa pentingnya menjaga pesawat radio sendiri.. katanya, sayangi radio itu lebih dari bini katanya, saya langsung tersengih.. 9W2ADY sama memandang saya ketika lontaran kata-kata Pak Dollah. Katanya jika radio itu jatuh ke tangan mereka yang tak beretika dan disalahguna maka pemiliknya yang akan dipersalahkan. Barulah saya tahu cerita-cerita Tuan Hj. Rashid 9M2RS kenapa mereka sering memberikan radio pada peminat short wave listener tanpa microphone hehe...

Sudah tentu Allahyarham Hj. Idris 9M2GL, juga sering bercerita soal yang saya tentang rejim pengawalan radio. Katanya usah dilihat yang jauh... lihatlah saja cerita Sarjan Hassan lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramli bagaimana orang-orang kampung dihalang dari memiliki radio oleh tentera Jepun ketika zaman itu.

Sudah, soalnya sekarang..ini adalah KEMELUT. Kalau dilihat kita semua ham radio di Malaysia adalah bersalah. Bersalah? Kenapa? Apa salahnya kita. Ya.. kita bersalah kerana dikatakan memiliki alat utama iaitu pesawat pemancar radio amatur tanpa pengesahan Sirim. Tetapi banyak perkara yang ingin saya bangkitkan disini.

Pertama, soal mendapatkan AP itu sendiri. Apa lagi disebabkan kos mendapatkan pengesahan Sirim itu tidak praktikal, harus ke Shah Alam pula, bagaimana rakan-rakan dari pedalaman Borneo?. Jika ditambah dengan kos radio boleh jadi tinggi (disebabkan SIRIM + AP). Cuba anda bandingkan dengan harga radio tersebut dengan negara jiran kita di Asean. ICOM V85 dengan AP sahaja sudah menjangkau RM900. Walhal harga pasaran yang didapati hanya serendah RM400. Terdapat pengedar sah radio jenama Kenwood di Malaysia untuk kegunaan radio amatur. Modelnya ialah TS570D. Saya membuat pertanyaan harga bagi menggantikan radio di kolej lama saya. Harga yang ditawarkan ialah RM20000!! Walhal harga pasarannya hanya RM4000. Lihatlah dengan mata anda sendiri.

Kemelut ini ditambah pula kegagalan rejim pengawal mengemaskini senarai radio yang disahkan SIRIM yang ketinggalan zaman. Misalnya ICOM IC2100 yang sudah tiada dipasaran dan digantikan dengan ICOM IC2200 sudah beberapa tahun lampau. Senarai Handie Talkie pula tidak ada satupun yang menyenaraikan model untuk kegunaan ham radio sebaliknya untuk pasaran kormersil yang langsung tidak praktikal untuk tujuan eksperimentasi (teras hobi) ham radio. Walaupun pengimport tidak perlu menggunakan senarai tersebut sebagai rujukan dan boleh membawa masuk model terbaru tetapi kos untuk pengujian SIRIM agak tidak munasabah. Dan risikonya semasa pengujian juga ’sendiri tanggung’, jika rosak? Saya radio sendiri pun tak bagi orang pegang sebab kalau nak beli sahaja memakan masa bertahun dengan gaji saya ini. Sayugia ham radio rata-rata adalah orang berpendapatan rendah... petani, nelayan, tukang rumah, penternak itik dan ramai lagi. Bagaimana pula ham radio kaki homebrew yang rajin merakit pesawat sendiri untuk tujuan eksperimen? Adakah salah membina radio pemancar sendiri (walaupun takrifan ham radio ialah eksperimen) sekadar suka-suka.. dek kerna tiada cop SIRIM?

Pihak pemerintah harus ingat, radio milik warga radio amatur di Malaysia adalah tidak mutlak. Ia akan menjadi milik negara apabila berlakunya marabahaya, bencana atau keperluan keselamatan. Kewujudan ham radio di serata Malaysia membantu pihak pemerintah menebarkan secara berselerak di seluruh negara satu jaringan komunikasi rahsia dikala peperangan atau marabahaya yang mana boleh diambil alih bila-bila masa. Menyekat pemilikan radio kepada mereka yang diiktiraf diperbolehkan memilikinya adalah sesuatu yang silap. Lihat lah Indonesia bagaimana atas semangat jati diri negara mampu membuatkan Indonesia tidak boleh lumpuh dari jaringan komunikasi walaupun bencana. Sumbangan Ham radio adalah besar buat negara.Menambah bilangan ham radio dan kekuatan ’gear’nya tidak akan merugikan negara.

Sayugia saya ingatkan ham radio bukanlah satu aktiviti yang mendapatkan keuntungan. Malah ia menyemarakkan semangat kemasyarakatan serta khidmat bakti secara kendiri. Terbukti di negara luar ham radio satu medium menyatukan masyarakat dan mewujudkan masyarakat yang berilmu. Dari ham radio maka hobi lain bersemarak seperti berbasikal, pacuan 4 roda dan juga khimat sukarela membantu orang ketika kesusahan.

Dalam hal ini saya merayu agar diperbolehkan pemilikan pesawat radio amatur dipermudahkan dengan mengurangkan karenah birokrasi. Mengemaskini a.k.a polish polisi sediaada pada mereka yang berkelayakkan tanpa mengurangkan tujuan matlamat asal MCMC mengawal kemungkinan perlanggaran peraturan sediada serta kaedah-kaedah kawalan. Pihak pemerintah harus duduk bersama dengan pelanggan iaitu kami ham radio dalam menangani kemelut ini. Jangan hanya dengar pada satu komuniti sahaja.. lihatlah pada semua komuniti.

Saya melihat pada kes tangkapan ini akan menyebabkan sumber mendapatkan radio yang mampu milik tersekat dan menggalakkan penyeludupan secara tidak halal di sempadan negara meningkat. Ia merugikan negara sih.. Adakah baik jika ia dibenarkan secara sah melalui kajian semula peraturan sediada.

Kendatipun saya masih memahami niat murni MCMC dalam menangani penggunaan perkakasan radio amatur bagi tujuan pemancaran haram oleh mereka yang bukan dilesenkan. Saya juga resah bila melihat handie talkie radio amatur digunakan oleh Pak Guard walhal ia untuk ham radio. Ada juga Tonto yang menyalahgunakan VFO pada radio ini untuk tujuan memantau komunikasi freq lain.Malahan menggunakan kebebasan VFO memilih mana-mana freq untuk berbicara. Saya menyokong penguatkuasaan anda tetapi tolonglah.. bukalah satu medium yang sah dan membantu ham radio mendapatkan alatan ini dengan cara halal dan mampu milik. Makin bertambah kami maka makin kuatlah MCMC kerana kami adalah pendokong anda.

Saya telah melihat rejim pemilikan radio di negara-negara luar terutamanya di negara komunis (R.R China dan Singapura misalnya) dan bagaimana mereka memberi ruang yang baik pada golongan ini. Pada masa yang sama ia mewujudkan pengawalan barangan yang dijual diteruskan pada golongan yang dilesenkan sahaja. Tidak semua orang boleh membeli radio yang khusus bagi ham radio, perlu mengemukakan dokumen khas dan nombor sirinya didaftarkan terus pada nama pemiliknya secara online. Sekiranya terdapat kelulusan atau kebenaran itu barulah ham radio terbabit boleh membelinya. Sekiranya jenayah berlaku, melalui rekod nombor siri dapat diketahui siapa pemilik asal radio terbabit. Secara tidak langsung ia membantu memberi peringatan pada pemilik tentang tanggungjawabnya menjaga sebaiknya radio dari disalahguna . Sama seperti prosedur pemilikan senjata api.

Dengan alternatif ini saya percaya masalah kucing mengejar tikus tidak akan berlaku. Malahan ia mampu membantu pihak pemerintah mengawal pembekalan perkakasan ini. Marilah kita sama-sama duduk semeja dengan pelanggan mendengar masalah. Mungkin ini melegakan situasi wahai bapak pemerintah. Anda punyai kuasa, dan kami adalah pendokong anda. Ham radio apabila lulus akan diiktiraf kompetan dalam mengendalikan radio tanpa menyebabkan interference.. itu menurut peraturan di atas, maka berikanlah kepercayaan pada kami.

Akhir kata dari saya, jika ini tidak berlaku maka semua ham radio di Malaysia akan mengendalikan radio dengan penuh perasaan ketakutan. Dan MCMC akan makin dibenci dan dijauhi kerana takut perkara ini.

P/S: Bagaimana nasib ham radio sezaman Pak Bahar dan seangkatan yang memiliki radio sebelum era CIMA 1998 yang ketika itu istilah Sirim tidak wujud ketika itu?Mereka juga bersalah ketika ini?
P/S: Bagi mereka yang rajin bereksperimen merakit pesawat pemancar sendiri atau perkakasan radio amatur sendiri juga akan berasa takut. Ambil lesen kerana lesen kata hobi ini untuk eskperimen tapi pada masa yang sama ada satu hal lagi eksperimen yang akan dijalankan adalah haram.
P/S: Lepas ni aktiviti ham radio di Malaysia seperti Field Day, Dxpedition, Fox Hunt dan sebagainya dilaksanakan dalam keadaan takut-takut sebab takut kena rush dengan penguatkuasa heheeheh....


Penulisan saya adalah 100% emosi dan tidaklah tepat... jangan ambil hati

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kita mogok/ piket kat MCMC. Kumpulkan seberapa ramai rakan2 HAM seluruh Malaysia. Tunjuk perasaan. Hantar memo. Yang penting semua persatuan mesti bersatu.

Tanpa Nama berkata...

bagus dan bernas ulasan anda, bukan nak menuding jari, penyelesaian hanya akan ada jika duduk semeja bersama, kalau kita semua sepakat, segala permasalahan dan kemelut akan selesai...

......

9m2rie berkata...

Saya sependapat dengan anda. Dimana saluran dan kepada siapa untuk selesaikan masalah ini. Kenapa ikan bilis di cari kenapa tak ikan paus.

9w2mzl berkata...

dah letih bagi pendapat kepada mcmc.. setiap tahun mcmc buat seminar, dialog tapi masih camtu jugak.. cakap tak serupa bikin.. kita pun lembut sangat, jaga hatilah katakan.. lagi pun tiada kepentingan politik.. ham kat malaysia ni macam anak tiri je bagi mcmc.. tak penting pun.. orang dah ke bulan kita masih kat takuk lama.. orang dah digital, kita masih tak dapat nak aplikasikan digital walau pun lesen kelas a.. entahlah.. rasanya orang mcmc ni tido, tak buat keje kot!

Related Posts with Thumbnails