Saya masih menunggu mesin basuh saya selesai satu pusingan membasuh ketika helaian ini ditulis. Gear utama mesin basuh manual sepenuhnya yang saya beli di Jalan Pasir Putih ini sering tergelincir. Ish.., malas rasanya nak memikirkan karenah mesin basuh yang berusia hampir15 tahun ini. Dahulunya dimiliki oleh nenek kepada rakan serumah saya di Lembah Kinta dan ianya turut bersama-sama kami berpindah ke Lembah Klang. Silap haribulan, mungkin ia akan turut berpindah ke Lembah Besi Buruk sendirian.
Dalam menunggu dan menunggu saya mula menala radio saya ke frekuensi VHF amatur radio tempatan. Terdengar beberapa stesyen radio amatur yang rancak berbual, entah topik apa yang diperkatakan. Kadangkala berlaku pertindihan pemancaran kerana keasyikan membalas soalan demi persoalan. Oh.., rupa-rupanya stesyen radio amatur yang baru mendapat tiket, mungkin baru mencari rentak dan membiasakan persekitaran komunikasi yang terlalu protocol. Saya talakan lagi ke frekuensi lain, majoritinya sudah ada yang menggunakan. Semuanya aktif berinteraksi. Ianya mengingatkan saya pada pertemuan saya dengan seorang rakan yang juga pengamal radio amatur berlesen yang telah sekian lama hilang dari frekuensi. Ke manakah beliau pergi? Adakah beliau telah hilang minat mengenai hobi ini? Jawapannya yang membuatkan saya mengerut dahi, ‘Eh, saya malulah nak ke udara”.
Apakah yang anda tahu mengenai Radio Amatur? Dan saya sering juga masih menepuk dahi bertanyakan apakah yang saya juga tahu mengenai radio amatur? Adakah radio amatur semata-mata kerana berkomunikasi semata-mata? Saya percaya para pembaca akan memberi beberapa contoh aktiviti dalam radio amatur seperti bereksperimen dengan pesawat pemancar serta penerima, litar-litar elektronik, membangunkan antenna sendiri, berinteraksi dengan angkasawan, mengakses satelit Amatur, mengaitkan hobi radio amatur dengan hobi yang lain dan sebagainya. Tetapi jika situasi berlaku seperti rakan saya yang pemalu di atas bagaimana? Tetapi bukankah semua contoh di atas akan berakhir dengan seseorang pengamal radio amatur akan berkomunikasi dengan stesyen lain untuk melengkapkan contoh-contoh diatas? Sedangkan jika anda sendiri adalah seorang yang pemalu, kurang idea semasa berinteraksi dan tidak mahu menjadi seseorang yang terlalu menonjol di dalam hobi ini.
Perihal inilah yang akan cepat membuatkan peminat hobi radio amatur akan cepat bosan dengan hobi ini. Dalam tulisan kali ini saya ingin mengajak para pembaca bersama-sama saya mempelbagaikan corak komunikasi supaya kita tidak cepat boring.
Komunikasi dalam radio amatur bukanlah semata-mata bersuara. Ya, ada rakan-rakan akan berkata yang bahasa kod Morse adalah salah satu lagi mod yang boleh digunakan. Tetapi berapa ramai pula yang tahu tentang bahasa ini. Kita tinggalkan perkara tadi. Terdapat beberapa cara komunikasi lain yang membolehkan interaksi sesama stesyen dilaksanakan. Misalnya SSTV, RTTY, Radio Packet dan PSK. Eh? Apa ini?
Ketika saya berkenalan dengan Mode digital ini oleh 9M2CW Mr. Chin, kebanyakkan mod ini memerlukan satu perkakasan khusus untuk menterjemah isyarat yang dihantar dan diterima ke sebuah skrin TV. Sesuatu yang terlalu saya sukar terima. Tetapi menjelang kebangkitan zaman computer berlandaskan IBM (dan Apple) dan perisian pengoperasian berkonsepkan Tetingkap (GUI?), sedikit demi sedikit penggunaan computer mengambil kedudukannya.
Apa itu SSTV? Ia adalah singkatan pada perkataan ‘Slow Scan Television’. Anda boleh saling bertukar imej antara 2 stesyen radio , tidak kira dalam bentuk format JPEG, BMP, GIF dan sebagainya. Kadangkala semasa kita berkomunikasi, terdapat rakan yang meminta misalnya gambar kita ataupun pelan ke sesuatu lokasi, anda boleh menghantar gambar tersebut terus kepada peminta. Disamping itu gambar tersebut juga dapat dikongsi kepada penerima yang lain secara serentak. Selain itu terdapat juga FSTV (Fast Scan Televisyen) dan ATV (Amateur Television) ATV? Ia adalah satu mode dimana 2 (atau lebih) stesyen mengadakan sidang video. Antara perisian yang agak popular digunakan untuk aktiviti SSTV ialah seperti CromaPix, MMSSTV, MSCAN, WinPix32 dan banyak lagi. Saya pertama kali menggunakan perisian CromaPix dengan harga yang agak mahal ketika itu. Tetapi buat masa sekarang sudah terdapat banyak perisian percuma di internet. Dan tahukah anda yang mode ini telah hampir 50 tahun wujud dalam aktiviti radio amatur? Jika anda seorang yang suka mengambarkan suasana riang, mungkin mode ini agak sesuai, jika ada orang lain meminta gambar anda, anda boleh menghantar gambar imej yang boleh mengambarkan suasana ceria.
Antaramuka perisian SSTV yang saya gunakan iaitu MMSSTV
Antara gambar yang saya perolehi dari HF iaitu dari stesyen amatur dari Taiwan
Dan saya membalas imej beliau kembali untuk memberi laporan isyarat
Tahukan anda yang kita juga boleh berkomunikasi antara beberapa stesyen secara text sahaja sama seperti IRC (internet Realy Chat) dengan menggunakan radio transceiver! Wah, ini memang menarik!. Jika anda memang seorang pemalu, inilah mod yang dinantikan. Mod ini mula diperkenalkan sebelum perang dunia kedua. Tentera Jerman mula secara aktif menggunakan mode Hellscreiber (jika tidak salah saya). Kemudian beberapa mode yang lebih pantas mula diperkenalkan seperti Radio Teletype (RTTY), dan yang terkini mode dimana dalam satu frekuensi boleh dioperasikan oleh beberapa stesyen ialah PSK (Phase Shift Keying). Radio Packet?, ialah satu kosep penghantaran data (teks) secara leraian paket-paket kecil sebelum stesyen penerima menggabung semula paket-paket kecil tadi menjadi bentuk data asal. Hasil dari mode ini disampaikan melalui Buletin Board Services, Mailbox ataupun dipamerkan terus. Kadang kala kita terpaksa ke sesuatu tempat dan meninggalkan seketika ‘shack’ seketika, rakan-rakan boleh meninggalkan mesej teks dan sekembalinya kita ke ‘shack’, mesej tersebut akan terpampang pada skrin komputer. Tetapi jika mesej itu di sampaikan semasa kita tiada pada ‘shack’ secara suara, bagaimana?
Antaramuka salah satu perisian RTTY yang saya gunakan iaitu MMRTTY
Adakah kita juga boleh menghantar fail-fail seperti Dokumen MSWord? Hehehe…
Antara perisian yang amat bagus dicuba iaitu UISS
Bagi mode PSK, perisian yang saya gunakan ialah DXPSK
Antara bentuk gelombang isyarat yang saya dapat amati dalam aktiviti PSK, perhatikan imej 'waterfall' data PSK yang saya perolehi dari perisian Hamscope
Jika para pembaca menggunakan perisian Hamscope, cuba analisa bentuk gelombang yang terhasil pada freq 150.XXXMhz dimana terdapat isyarat trunking/pager. Hasilnya seperti di bawah. Terdapat 2 bentuk yang menarik.
Bagaimana mengendalikan mod-mode di atas? Apa yang diperlukan adalah sebuah pengantaramuka ringkas antara Kad Bunyi pada computer dan pesawat transceiver anda. Anda boleh mendapatnya melalui carian di google.com. Cuba binakan sendiri projek ini, saya percaya anda pasti kagum. Bagi mereka yang telah mempunyai pengantaramuka Echolink atau Eqso, konsep pengantaramuka adalah sama dan boleh digunakan.
Perkakasan perantara yang saya gunakan.
Gambarajah litar peranti saya.
Begitulah 2 jenis komunikasi yang dapat kita tambahkan dalam aktiviti radio amatur seharian kita. Selain suara, kita juga boleh berhubung secara imej mahupun teks sahaja.
Terpulang pada anda. Mudah-mudahan diharap para pembaca dapat mencuba mod ini, ada sesuatu yang anda juga patut merasainya.
Terpulang pada anda. Mudah-mudahan diharap para pembaca dapat mencuba mod ini, ada sesuatu yang anda juga patut merasainya.
p/s Terima kasih pada seorang rakan ham dari Pahang yang memberikan saya satu salinan program WinPSK For All, menurut beliau perisian tersebut diberi oleh 9M2ZA. Satu perisian yang meliputi semua mod digital yang bagus.
p/s Dengan interface yang sama dan perisian pembaca Kod Morse, anda juga boleh menterjemahkan bahasa ini ke dalam bentuk teks.
p/s Anda boleh mencuba mengenali bunyi digital serta mengenalpasti samada ia adalah PSK atau SSTV atau RTTY atau lain-lain mode. Antara Frekuensi yang aktif mengendalikan mode ini ialah 14.23Mhz (SSTV) dan 14.27Mhz, terdapat lain-lain frekuensi seperti 28.680Mhz yang juga aktif. Manakala 14.070Mhz pula PSK.
p/s Mahu melihat bentuk gelombang audio yang anda dengari atau di frekuensi 151.??? Yang berbunyi berdengung itu, gunakan perisian Hamscope dan interface yang sama. Cantik!
p/s Tahukah anda, walaupun tiada signal strength pada frekuensi yang didengari di dalam mode digital, imej gambar atau teks masih boleh diterima dengan baik.
p/s Tahukah anda yang terdapat beberapa rakan ham radio di Malaysia yang aktif dalam aktiviti digital! Misalnya 9M2DA dan 9M2AZ.
Terima kasih sekali lagi atas kesudian membaca tulisan saya.
Nota kaki
www.geocities.com/muar_fc
http://9m2az.tripod.com/
http://www.qsl.net/wm2u/psk31.html
http://mmhamsoft.ham-radio.ch/
http://photos1.blogger.com/blogger/96/2162/1600/SSTV%20attemp.jpg
http://www.mymorninglight.org/ham/PSKbox.htm
dan jangan lupa lawati link ini:
http://www.arrl.org/tis/info/pdf/99753.pdf
Alhamdulillah, mesin basuh saya sudah selesai membasuh baju saya. Kebetulan ketika perenggan terakhir saya menulis. ..... Cherioo... 73!!!