Anda adalah tetamu ke blog ini.

Isnin, 23 April 2007

Promosi Hobi

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada semua pembaca.

Perjalanan saya kali ini merangkumi beberapa perihal yang adakalanya perlu bagi kita sesama warga pengamal hobi radio amatur duduk sejenak berbincang tentang promosi hobi ini.

Mengimbas kembali kenangan saya semasa era awal mendapat tiket hobi ini, saya terlalu ghairah dalam mempromosi hobi ini. Malahan ketika di Kelab Radio Amatur PUO lebih menyeronokkan apabila tiba hari-hari terbuka seperti Hari Konvokesyen dan Hari terbuka Jabatan. Sudah tentu persatuan kami akan diberi ruang pameran dan peluang mempromosikan hobi ini. banyak manfaat yang saya perolehi semasa mempromosikan hobi ini misalnya teknik penyampaian pada orang ramai dan bagaimana kita menyakinkan orang ramai tentang kebaikan hobi ini.

Ya, ianya sukar... kerana bukan atas dasar profit semata-mata. Tiada pulangan yang diperolehi sekadar sekeping sijil penyertaan sahaja. Dari situ saya belajar banyak perkara. Aspek tarikan pada gerai, kandungan penyampaian dan teknik menyakinkan orang ramai tentang kebaikan hobi ini. Dekorasi gerai adalah penting kerana ia adalah imej dan persepsi orang ramai ketika pertama kali melihat. Gerai yang 'selekeh' pasti dijauhi oleh orang ramai. Bahan pameran mestilah cukup berkesan disamping pemilihan susun aturnya.

Kadangkala bahan pameran melalui grafik, broucher dan Nota ringkas jauh lebih berkesan dari penyampaian melalui lisan oleh petugas. Para petugas juga mestilah yang benar-benar berminat secara sukarela. Malahan sukarela semata-mata masih belum sempurna. Individu terbabit mestilah juga berpengetahuan. Demonstrasi juga dilakukan berdasarkan skrip, bukannya spontan dan ia diulang-ulang pada setiap tetamu gerai. Perkara-perkara ini yang selalu saya titikberatkan semasa terbabit dengan promosi di kampus dulu. Kuncinya, persediaan amat perlu apabila menggerakkan aktiviti ini.

Mmmm... bagus juga, ianya banyak membantu memperbaiki kemahiran penyampaian individu dan menggerakkan organisasi sedemikian. Pengalaman semasa di kampus ini saya praktikkan hingga kini, malahan bukan dalam mempromosikan hobi amatur ini sahaja, saya juga pernah mempraktikan kemahiran ini sewaktu membantu saudara saya mempromosi produk karipap segera di Ekspo Usahawan di Seberang Jaya beberapa tahun yang lepas. Alhamdullillah ianya berkesan hinggakan jualan yang dicatatkan amat berbeda dari tahun-tahun yang lepas. Ini istimewanya hobi ini.

Berbalik pada hobi radio amatur, saya melihat persediaan setiap kali mengadakan pameran masih perlu diperbaiki. Saya masih teringat beza antara pameran yang diadakan 5 tahun yang lepas dengan sekarang. Misalnya pameran radio amatur di Sungai Batu Pahat Perlis adalah antara pameran yang digerakkan dengan baik. Ini adalah satu contoh pameran yang mana pihak ASTRA ketika itu mempunyai mekanisma yang baik dari segi bahan pameran. Peta jaluran pengulang, Susunataur Callsign bergantungan baik menyerikan gerai pameran. Malahan ketika itu gandingan gotong royong wujud dengan baik. Begitu juga pameran yang dijalankan oleh MARTS di Ibu Kota juga amat bersedia dari segi bahan dan jurutugas sukarelawan. Misalnya pameran di Lot 10 sempena hari Komunikasi Sedunia lewat 2002.

Berbalik pada masa kini, bilangan pengamal hobi radio amatur berlesen sudah jauh bertambah. Jika dulu lebih kurang 300 orang sahaja ketika saya menyertai hobi ini tetapi bilangannya kini sudah berkali ganda. Cara yang terbaik dalam menggerakkan aktiviti berbentuk promosi hobi ini ialah sesuatu organisasi itu perlu ada mekanisma dan bahan yang boleh bila-bila digerakkan. Juga perlu ada satu komuniti yang boleh berkerja secara berpasukan dan bergilir-gilir dalam aktiviti promosi. Ini adalah perlu kerana jika penyampaian atau promosi dilakukan oleh orang yang sama, saya percaya kualiti promosi individu terbabit pasti merudum. Akan wujud perasaan bosan dan idea individu terbabit pasti kontang.

Bentuk demostrasi juga harus dipelbagaikan. Sekarang segala-galanya berbeza dengan 30 tahun dulu. Jika dulu bagi orang ramai, dapat berkomunikasi suara adalah hebat, kerana dulu sistem komunikasi telefon tidak mampu dimiliki semua orang. Tetapi kini orang ramai sudah tidak hairan lagi. Dengan telefon bila-bila masa boleh berbual dengan orang tersayang. Kumpulan sasaran dalam promosi harus diselidik. Misalnya remaja masa kini lebih tertarik dengan komputer, apa kata jika dalam pameran yang melibatkan banyak remaja juga dimasukkan komputer sebagai elemen penarik. Komunikasi juga harus dipelbagaikan semasa demonstrasi. Masukkan komunikasi digital, seperti teks (RTTY, PSK dsb), Gambar (SSTV, Amateur TV dan Sidang video) dan teknologi yang agak agresif (kononnya) seperti Satelit Amatur. Jangan biarkan setiap kali mempromosikan hobi ini hanya sekadar demonstrasi suara sahaja. Freq juga harus dibuka seluas-luasnya, bukan hanya VHF malahan tunjukkan HF pada mereka. Tunjukkan mereka sains radio!

Pada pendapat saya juga, tidak semua jemputan untuk mengadakan pameran perlu diterima. Kajian atau homework perlu dijalankan. Perlu atau tidak? Adakalanya penganjur sekadar tangkap muat sahaja jemputan semata-mata untuk memenuhi aktiviti anjurannya sahaja. Tetapi kumpulan sasaran yang kita jangkakan tiada atau tidak kena. Ini semua harus diambil kira supaya tidak dianggap membuang masa sahaja. Sudah tentu ada pameran yang mencapai objektifnya dalam memperkenalkan hobi ini dan ada juga yang hambar. Apapun rasanya komuniti-komuniti radio amatur di Malaysia sudah arif. Yang istimewanya dan bezanya apabila menganjurkan promosi di suatu tempat tetapi didapati tiada sambutan, warga radio amatur sebenarnya tidak rugi. Mereka masih boleh melanjutkan aktiviti pameran sambil berqso. Dan ada ketikanya kedatangan rakan ham stempat ke tempat pameran banyak menceriakan keadaan dan mengeratkan tali silaturahim walaupun dari segi kedatangan pengunjung agak kurang.

Oklah... demikian pendapat saya berkaitan aktiviti promosi dalam hobi ini. Kita harus keluar dari kepompong yang membelengu penyampaian kita. Adakalanya kita perlu duduk sejenak bersama-sama bertukar pendapat dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian supaya golongan sasaran mendapat faedahnya.

Oh ya bercakap tentang promosi baru-baru ini, saya menerima jemputan dari Saudara Pak Yob untuk bersama-sama mengikut satu jemputan untuk mengadakan pameran ringkas di Uitm Melaka. Aktiviti ini adalah digerakkan oleh 9W2JAR dan pelajar di bawah beliau. Mmm.. boleh tahan juga. Saya berkesempatan berkenalan dengan warga Ham di Melaka dan beberapa lagi dari Johor. Juga Saudari Seri, pelajar Masscom yang agak aktif berkomunikasi di tapak pameran tersebut. Berikut ialah beberapa gambar yang sempat lensa saya amati di Melaka.

Perjalanan ke Melaka
Sekitar aktiviti demonstrasi radio amatur di Uitm Melaka
Pak Yob, tersenyum. Saya berkesempatan meneliti beberapa gambar lama wajah pak Yob. Di raut wajah beliau ada bezanya, 5 tahun perkenalan saya dengan Pak Yob banyak mendidik saya erti Persahabatan dalam hobi ini. Cuma kali ini saya terperasan, Pak Yob kebelakangan ini kerap termenung panjang. Syabas Pak yob... sebagai warga amatur contoh.
Pak Mahadi menyampaikan sesuatu pada saudara Aimil
Lensa saya sempat menatap saat Pak Mahadi berkomunikasi diudara. Orangnya bersahaja dan simple
Saudara Aimil
Punyala kreatif... hehehe..
Senyuman.....
Dan terima kasih atas makan malam ikan bakar :). Pak Zol memilih ikan yang terbaik.
Harganya.... macam kat rumah ajer.
Cikgu dan anak-anak murid
Anak-anak murid
Teringat saya atas pertanyaan dari seorang pembaca, En. Farouk dari Gombak. Persoalan tuan telah saya ajukan pada 9W2JAR. Diharap Farouk berpuas hati dengan jawapan Hajar. :p
Lupa pulak saya, ada seorang lagi cikgu...hehehe...
Dan senja pun berlabuh di kota Melaka. Kenangan di kota Melaka pasti saya kenang.
Demikianlah perjalanan saya kali ni ke Melaka.. Terima ksaih pada semua warga komuniti Shah Alam, Pak Rahim 9M2ARR, Rakan Ham dari Johor dan tuan empunya majlis atas jemputan. Jam ditangan saya sudah pukul 9 malam, saya harus bergegas ke Janda Baik untuk satu lagi sesi bersama rakan-rakan ham yang akan menduduki peperiksaan CW. Buat Warga komuniti Shah Alam, Rakan-rakan Ham Johor dan Melaka, semoga maju jaya dan 73!! :)
Related Posts with Thumbnails