Assalamualaikum dan salam sejahtera.
10 Julai 2026 lepas saya baru mendapat perkhabaran salah seorang guru saya dalam hobi radio amatur telah kembali ke Rahmatullah.
Pak Rahim 9M2RR, tidak asing lagi. Beliau menjiwai hobi radio amatur sehingga akhir hayat. Saya tidak mampu enjoy hobi ini sama seperti beliau lagi-lagi saya sudah 30 tahun merantau keluar dari kampung saya di sana. Dari zaman SPM hinggalah saya juga akan memasuki fasa pencen tidak lama lagi.
Antara yang saya masih ingat lagi ialah menerima siaran TV underground beliau yang dipancarkan dari lokasi beliau dan sampai ke rumah orang tua saya hampir 30km. Kuasa pemancaran saya kira dalam 500mw atau 1watt..
Satu lagi ialah kerana beliau, dapatlah saya merasai naik ke puncak pergunungan strategik di semenanjung kerana projek pemasangan repeater Astra ketika itu.
Gunung Jerai, Bukit Bendera, Larut, Pulai hinggalah ke Selatan tanaha air iaitu Gunung Kulai Johor. Gara-gara minat Allahyarham khabarnya pernah membuat personal loan RM50K untuk melengkapkan misi nya link kan repeater seluruh semenanjung. Ada suatu kisah, repeater beliau telah ditendang jatuh ke bawah gaung oleh penjaga di gunung ledang, beliau terus seorang diri memandu kereta kancilnya dari Tg Piandang ke puncak ledang untuk bawa pulang. Begitu sayangnya beliau pada hasil tangan ekperimen beliau.
Antara ilmu yang tersebar beliau ialah linking repeater dan duplexer/BPF yang kemudiannya ramai ham radio semakin berani bereksperiman dengan pembinaan repeater murah dan praktikal. Sesungguhnya kita tidak boleh lepas dari menempuhi kematian, dan kami juga bakal dijemputnya... selepas kematian kita hanya 3 perkara yang pahalanya tidak akan terputus, anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah... Dan semoga Allahyarham Pak Rahim beroleh balasan atas sumbangan beliau pada hobi kita ini...





