Anda adalah tetamu ke blog ini.

Sabtu, 29 September 2007

Tentukan hala tuju anda

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdullillah hari ini dapat lagi kita bertemu dalam lembaran yang agak terhad.

Saya masih lagi menunggu putaran akhir mesin basuh usang di dapur itu berakhir. Sambil itu saya melewati beberapa laman bercorak perbincangan umum berkaitan hobi ini. Apa yang membuatkan saya amat tertarik ialah keluhan seorang rakan radio amatur di negara tetangga yang melahirkan rasa bosan tentang hobi ini. Ya, saya seharusnya tidak menyalahkan beliau atas kebosanan tersebut. Tetapi apa yang diutarakan oleh rakan ini ada logiknya dan hampir menyamai sentimen yang berlaku di Malaysia mutakhir ini.

Saya percaya ramai rakan radio amatur yang membaca tulisan saya ini bukanlah dari teras (core) hobinya radio amatur. Mungkin kerana beberapa aktiviti atau hobi lain yang menemukan bidang radio amatur. Begitu juga ada yang kerana ajakan rakan-rakan lain atau menemani rakan semata-mata hinggakan terjebak dengan hobi ini. Perihal ini bagi saya yang akan menyebabkan mereka ini tidak lama dalam hobi ini.

Ini boleh dilihat dari statistik komunikasi pengamal radio amatur yang akan rancak apabila hari-hari pertama mendapat tiket. Graf ini akan semakin menurun hari ke hari hinggalah rakan ini tidak lagi kedengaran diudara. Ya, itu tidak mengapa tetapi lebih sadis ialah hinggakan terlupa kewujudan lesen sendiri dan akhirnya membawa kepada penamatan peruntukkan lesen tersebut. Itu yang malangnya.

Punca-punca 'kehilangan' mereka ini terlalu banyak. Dari perkara-perkara yang umum kepada yang peribadi. Dari yang melibatkan suasana sekitar hinggalah kepada soal yang remeh temeh.

Itu sebabnya ada rakan-rakan baru yang datang menyerahkan borang RAE untuk diajukan pada MCMC saya sering tanyakan apakah ianya datang dari minat atau semata-mata kerana ajakan kawan-kawan untuk menyertai alam radio amatur. Saya ingatkan yang mereka harus menetapkan apa hala tuju mereka apabila menyertai hobi ini. Hati mesti kental, hati mesti kering, sikap merendah diri harus dijunjung dan keterbukaan dalam pergaulan. Itukan konsep keperibadian dalam radio amatur kan? Jika dari awal kita tidak menetapkan dalam diri maka saya pasti hobi ini tidak akan kekal lama.

Dalam radio amatur, komunikasi bukanlah satu-satu caranya untuk menikmati hobi ini. Terdapat pelbagai cara kita boleh menikmatinya. Ada dikalangan pengamal radio amatur menikmati hobi ini melalui eksperimentasi dengan frequensi, elektronik ataupun alam. Mereka mencari masalah-masalah dalam hukum alam atau kejuruteraan dan menjana penyelesaiaan. Ada juga dikalangan rakan radio amatur yang bermasyarakat melalui hobi ini. Melakukan aktiviti-aktiviti masyarakat melalui pergaulan, kerja sukarela, khidmat bantuan dan sebagainya. Mereka ini jauh lebih matang dan berjaya mengikat hubungan baik sesama komuniti.

Begitu juga ada rakan yang menjadikan hobi ini sebagai platform melatih diri agar berketrampilan dan memahirkan diri dalam komunikasi secara aktif serta pasif. Mereka ini akhirnya mampu menjadi penyampai yang baik. Pembelajaran tidak berakhir begitu saja, warga amatur yang meminati komunikasi pelbagai bahasa juga boleh mengasah kemahiran berbahasa secara langsung. Pengetahuan tidak berakhir begitu saja. Anda juga dapat sentiasa didedahkan dengan pelbagai pengetahuan melalui interaksi radio amatur.

Bagi komuniti radio amatur yang berkongsi hobi ini dengan hobi yang lain mampu melancarkan hobi tersebut. 4x4, kaki mengembara ataupun kaki memancing mampu mempertingkatkan kepuasan berhobi masing-masing dengan adanya radio amatur. Ah.. terlalu banyak yang boleh kita bariskan di sini. Perkara yang penting ialah niat di hati tuan-tuan semasa mula tuan mejejakkan kaki dalam hobi ini. Dan apakah hala tuju tuan-tuan selepas itu.


Apabila para pembaca telah melepasi tahap-tahap awal dalam dunia radio amatur. Ianya tidak berakhir begitu saja. Proses pembelajaran masih lagi berjalan. Sebenarnya radio amatur adalah sebuah pengembaraan. Ia tidak berakhir selepas anda mendapat tiket A atau B. Ketika ini keterbukaan amat penting. Saya melihat seakan ada satu perkara yang kurang positif dikalangan pengamal radio amatur di Malaysia yang sukar untuk saling berkongsi pengalaman atau pengetahuan. Malahan sikap keterbukaan dalam menerima teguran atau pandangan juga semakin luntur selaras dengan usia individu terbabit dalam arena ini.

Satu lagi yang saya terperasan ialah sikap rakan-rakan yang baru mendapat tiket. Mereka memang dahagakan pengetahuan perihal dunia radio amatur. Malangnya terdapat satu sikap yang harus diubah iaitu 'disuap'. Saya amat-amat tidak menyenangi perangai ini. Misalnya ada rakan yang meminta rakan saya maklumat tentang antena slim jim. Bukankah perkara itu banyak terpampang dalam Internet? tetapi perihal itu pun diminta diberi bulat-bulat.. Oh!!

Generasi pemegang lesen radio sebelum saya jauh lebih berdikari. Dulu tiada internet. Jika adapun majalah yang difotokopi dari individu ke individu hinggakan salinan pada orang terakhir amat sukar dibaca. Tetapi mereka kejarkan juga. Mereka jauh lebih baik dari kita. Mereka bangunkan pesawat pemancar sendiri di zaman yang mana perpustakaan pun beratus kilometer dari mereka, apa lagi internet. Bagi saya biarlah kita usahakan dulu mencari maklumat itu kemudian barulah jika tiada kita turuti pada mereka yang disyaki mempunyai maklumat terbabit.


Demikian pendapat saya. Saya percaya jika anda ingin menjadi pengamal radio amatur yang juga menikmati hobi ini dengan baik, semua perkara ini hendaklah diambil kira. Insyallah, perjalanan anda menyusuri hobi ini akan lebis istimewa, terhibur dan penuh manfaat.


Keterbukaan, rajin berusaha mencari pengetahuan, berdikari dan berkomuniti dengan semua lapisan masyarakat tidak kira dari kem yang mana mampu membina mutu hobi anda. Buanglah semua sifat tidak elok. Insyallah anda pasti dihormati.
Nampaknya mesin basuh di dapur saya sudah berhenti berputar. nasihat dari saya mulai dari sekarang tentukanlah hala tuju anda dalam hobi ini. Jika tidak, anda akan menjadi seperti sesetengah rakan-rakan radio amatur yang lain yang kini terus senyap hilang ditelan masa.. kerana apa? kerana hilang hala tuju dalam hobi ini..... 73

Rabu, 26 September 2007

Mereka berada di kelas tersendiri..

Assalamualaikum dan salam sejahtera pada para pembaca yang budiman.

Selamat bertemu kembali. Kali ini dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini saya menyusun jari memohon maaf sekiranya ada salah dan silap sepanjang penulisan saya dalam blog ini.

Semalam saya dikejutkan dengan berita yang amat saya banggakan. Seramai 16 calon menduduki ujian CW dan Alhamdullillah 6 orang calon sahaja yang lulus di Ibu pejabat MCMC. Manakala di Kota Kinabalu pula 11 orang lulus berbanding 14 yang menduduki. Butiran mengenai ujian ini boleh dibaca di laman http://9m2mgl.blogspot.com/2007/09/berita-terkini-dan-sensasi-sekalung.html . Pembetulan fakta dari laman beliau ialah 9W2KA saudara Arifin mengambil TIGA kali peperiksaan CW sebelum lulus dengan bergaya.

Mmmm... membanggakan bukan? hahaha... :)

Statistik calon dari negeri 9M6 lebih baik merungkai banyak persoalan saya. Saya percaya latihan yang sistematik belajar berkumpulan dan latih tubi) dikalangan calon disana serta persediaan awal adalah faktor kecemerlangan rakan-rakan dari Sabah. Mereka telah memalukan calon dari Semenanjung yang selalu mendabik dada 'telah dan telah besedia'. Oh... bagaimana harus ini berlaku? Bukankah kita telah melalui banyak ujian CW yang telah diadakan? Bukankah bilangan pengamal radio amatur di 9M2 jauh lebih banyak dari sana? Bukankah kita jauh berada dari mereka yang serba kekurangan? Kita harus merubah semua itu.

Saya percaya masih ada ramai rakan radio amatur di Malaysia yang berpegang pada pendapat suatu hari nanti jalur HF akan dibuka luas untuk pemegang bagi lesen B. Ini mungkin membuatkan ramai yang tertunggu-tunggu. Tetapi rakan di 9M6 tidak. Ahhh... biarkan ketentuan itu ditetapkan oleh pemerintah. Kenapa kita tidak mahu mencuba? Kenapa? tepuk dada tanyalah selera.

Jangan biarkan diri kita dibelenggu dengan kemalasan, mengikut telunjuk mereka yang mempunyai kepentingan peribadi. Mereka walaupun mempromosi agar terus memprotes CW bagi saya tidak patut mengheret rakan-rakan lain yang tidak tahu apa-apa agar bersama-sama bersependapat. Ya, itu tidak menjadi masalah tetapi ia ibarat menarik sama-sama terjun di dalam liang kubur. Tahukah anda, mereka ini juga saya dengar kerana gian mahu berkomunikasi di jalur yang diperuntukkan kepada kelas tertinggi sanggup mempergunakan callsign ayah atau kawan-kawannya. Mahu terjun ke liang lahad tapi ditarik kawannya dahulu. Tak ka kesian? Kesian labu.... Tipah tertipu.

Bagi saya pengamal radio amatur tidak akan rugi (langsung) untuk mempelajari CW. Mungkin atas dasar sekadar mahu mendapat hak istimewa dijalur HF (tidak untuk penggunaan CW nanti)... atau mengejar peluang mempertingkatkan diri ke kelas tertinggi dalam hobi ini... semua ini amat berguna. Jangan menjadi pepatah melayu, memasak batu dalam periuk akhirnya tak masak-masak, anak pula kelaparan.

Ayuh kawan-kawan... dikala rakan-rakan dikelas tertinggi sibuk mengejar ilmu melalui eksperimen, mengembangkan bilangan sahabat diseluruh dunia melalui ikatan radio dan berinteraksi diluar sana dengan masyarakat yang global, kamu masih lagi terlingkup dalam kepompong tempatan. Cubalah, ia tidak sesusah mana. Berpeganglah pada kata-kata saya, jika kamu berjaya dalam peperiksaan CW nanti... suatu perasaan yang tak terkata akan kamu rasa.. sangat-sangat gembira..!

Apapun kita kembali pada topik asal saya. Tentang 9W2KA. Saya amat sayu apabila mendapat berita yang beliau gagal dalam peperiksaan CW yang pertama. Beliau merajuk... satu tempoh yang agak lama jika tidak silap saya beliau menghilangkan diri. Hampir 1 tahun setengah barulah beliau menduduki semula peperiksaan ini, itupun berkat bantuan rakan-rakan memujuk beliau. Kali kedua masih tidak berjaya. Semalam, beliau datang lagi. Dengan persediaan rapi beliau berjaya. Semangat ini yang amat kita mahu dengar. Pertama beliau tidak putus asa. Kedua beliau berani membuat keputusan dan ketiga beliau belajar dari kesilapan. Jika anda. anda berada lebih baik dari beliau atau di bawah beliau? Hahaha.... maka tunjuklah pada peperiksaan nanti. :)




Ehsan Laman web Mares
Juga tidak dilupakan bagi rakan-rakan yang belum berjaya, jangan cepat putus asa. Pembelajaran CW ialah satu pengembaraan. Ia tidak berakhir setakat apabila anda gagal.. ia jauh lebih itu. Percayalah kami juga masih mempelajarinya walaupun telahpun berjaya. rempah ratus pengembaraan ialah halangan dan pencapaian. Kalau tiada rempah ratus ini maka tiadalah kesseronokkan dalam pengembaraan. Ingat! Gagal bersedia ialah bersedia untuk gagal. Dan ingat juga! Gagal hanya takrifan untuk mereka yang tersungkur tetapi tidak berusaha untuk bangun!



9W2HNY jangan putus asa.. perjalanan masih jauh lagi. Jangan lupa ajak 9W2FZ yang merajuk. 9W2SIX pun ambil kali kedua dan kali ini beliau jauh lebih bersedia. Ambil sekali lagi.. kalau dengan persediaan yang mantap insyaallah pasti berjaya. Saudara Rani pun begitu. Ujian seterusnya pastikan sudah bersiap sedia. Datang awal sehari atau semalam di Kuala Lumpur. Tenangkan diri. Sehan 9W2EG, saudara Zakran telah berjaya... Insyallah percubaan keduan nanti pasti lebih baik.

Juga pada beberapa rakan ham yang lain jangan putus asa.. cuba, ujian ini tak lah susah sangat. Pastikan anda bersedia seawal yang mungkin untuk CW seterusnya.


Sampai bilakah anda akan terus ketinggalan?
Untuk Panglima, adakah ujian seterusnya anda akan lebih bersedia? Menjadi Panglima? hahaha.... :)

Saya agak kurang pasti berapakah bilangan anak murid Allahyarham Haji Idris yang masih tinggal (belum lulus CW). Saya hanya mengecam 2 orang lagi iaitu Panglima dan rakan Ham 2 Alphabet Callsign yang tinggal di Kuala Lumpur. Rakan ini dahulunya sewaktu zaman Telekom telah lulus menduduki CW tetapi tidak mendaftarkan untuk mendapatkan callsign. Selepas perubahan ke zaman MCMC maka beliau dikenakan untuk menduduki semula CW. Bagi mana-mana bekas anak murid Allahyarham, diharap dapat menghabiskan perjuangan anda.

Oklah. Itu saja nukilan saya. Sambil saya melihat lampiran emel saya terselit beberapa keping gambar bekas guru-guru CW saya. Dua orang yang sudah tidak aktif lagi dan seorang yang sudah meninggalkan kita selama-lamanya. 9M2MP (Pak Manan), 9M2GL (Allahyarham Haji Idris) dan 9M2MAN (saya masih ingat anda menghantar ayat "hentam kromo sajalah" kerana terlalu marah dengan saya yang tak faham-faham CW :) ). Gambar pak Manan tiada dalam simpanan saya.



Demikian nukilan saya.... Pada Pn. Hajar, tahniah atas gelaran tersebut.




Hingga kita jumpa lagi, mohon maaf atas kata-kata saya di atas. jangan kecil hati dan khabarnya tahun depan masih ada lagi ujian CW (khabar anginnya bulan April). Ayuhlah.. sertai mereka di kelas teratas, kelas tersendiri. kami merindui kamu semua di sini (HF). :)

Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak!!

Khamis, 13 September 2007

Projek Amatur Kembali Lagi!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Apa khabar semua para pengunjung tetap laman saya.


Minggu ini idea saya masih lagi berlegar-legar dengan aktiviti membangunkan TNC (Terminal Node Controller) sendiri. Pembuatan TNC tidaklah sukar tetapi masa yang banyak diperlukan... begitu juga Long wire di luar bilik sana pun masih belum diuji stelah sekian lama terpasang...


Mmm... banyak lagi projek yang masih berjalan yang saya terpaksa ketepikan... antaranya


1) KISS TNC.. (kalau ada kawan yang pinjam flash PIC aku yang terbaca ni harap dapat pulangkan hehehe..)
2) Cube Satellite (Projek biayaan rakan dari Uitm hampir 60%, kesian kawan-kawan ni... angkasawan Malaysia dah nak pergi atas tapi projek mereka tak siap-siap lagi hahaha.. :) )
3) Cubical LW (kalau bawak balik tentu mak aku buat penyidai pakaian)
4) 2.4Ghz PCB Antenna terhalus (Belum tempah makmal Mikrowave lagi, 100% guna Microskop Mickron... sehalus rambut)
5) CIV Yaesu (terbengkalai lama, sorry dexter.. saya dah lupa ini projek)


Jadual hingga Disember dah pun penuh. Dari Bangkok hinggalah perancangan ke Gunung Bromo.. mmmm. :). Oktober cuti 11 Hari, November cuti 8 Hari dan Disember cuti 1 bulan.. Terima kasih pada 9M2BL atas nasihat beliau. Katanya, selagi ada ayah dan bonda pulanglah untuk menatap wajah mereka... kerana suatu hari nanti kita pasti merindui mereka. Minggu ini penuh, dengan Tattoo di stadium merdeka, sambutan kemerdekaan di Kuala Lumpur dan yang paling mengecewakan saya ialah tidak dapat ikut serta rakan-rakan 'Malas' Dxing di Gunung Ulu Kali.


Oklah, tinggalkan cerita-cerita di atas. Bagi peminat-peminat homebrew boleh emailkan pada saya hasil rekaan TNC masing-masing dan ulasannya. Saya menggunakan litar TNC KISS yang terdapat dalam laman ARRL ini dan sumber untuk memprogram PIC di link ini .



Rupa KISS TNC murah ehsan dari laman ARRL





Mmm... siapa sangka ya disebalik konsep Sound Card yang agak popular sekarang TNC masih lagi yang terbaik. Melibatkan beberapa protokol AX.25 serta TCP/IP masakini, ia masih belum dijelajahi. Begitu juga ada rakan-rakan yang berminat dengan APRS, cuba-cubalah bangunkan ia.....
Masa untuk bersahur.. 9W2YR sudah kedengaran di 2m mengalunkan acara net Sahur, kembali mengingatkan saya kenangan bersahur saban tahun di negeri orang, suka dan duka hanya radio yang menjadi teman....
Selamat menunaikan ibadah puasa bagi pengamal radio amatur berlesen di malaysia yang beragama Islam dan salam sejahtera buat rakal-rakan lain. Hingga jumpa lagi!!...
P/S: iklan CW dan RAE dah keluar bagi sesi terakhir 2007.
P/S: posting kali ni berterabur... tengah sahur dengan mee maggie dan air suam.. alahai..
Related Posts with Thumbnails